Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Rabu, 31 Januari 2018

PU HAFIDZ BERSAMA DENGAN PELAJAR TINGKATAN TIGA DAN TINGKATAN LIMA

PELAJAR Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 berpeluang untuk berjumpa dengan pemenang program realiti agama terbitan Astro Oasis, Pencetus Umah Musim Pertama, 2013, Ustaz Mohd Hafidz bin Mohd Zawawi dalam program Motivasi Inspirasi Unggul yang diadakan di Dewan Warisan hari ini.


Beliau yang digelar PU Fidz dan meminta pelajar DESSO memanggilnya Ustaz Fidz hari ini menyampaikan panduan untuk menjadi pelajar yang berjaya.

Sebelum itu, dalam majlis perasmian ringkas, Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua DESSO meminta semua pelajar yang hadir agar memanfaatkan peluang bersama dengan orang yang berwibawa dan berjaya. Ceramahnya turut disertai oleh pelajar-pelajar bukan Islam.

Program dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Projek Kecemerlangan PT3 dan SPM, dan Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling DESSO.

Penceramah yang berasal dari Machang, Kelantan itu kemudiannya memberikan tazkirah kepada pelajar-pelajar Islam di Surau Al-Ikhlas selepas menunaikan solat Zuhur berjemaah.

Selasa, 30 Januari 2018

PELAJAR DESSO DIPELAWA BELAJAR TAE KWAN DO

SENI pertahanan diri dari Korea, tae kwan do, yang belum pernah bertapak di DESSO diperkenalkan kepada pelajar hari ini semasa Perhimpunan Kokurikulum.


Sekumpulan penggiat seni itu, Turtle Warrior dari persatuan tae kwan do negeri Terengganu, tampil di hadapan pelajar untuk memperkenalkan seni itu dan membuat pertunjukannya secara ringkas, tetapi menarik perhatian pelajar dan guru dengan tepukan gemuruh.

Sungguhpun tae kwan do belum wujud di sekolah ini, terdapat segelintir pelajar sekolah ini yang telah mempelajari seni pertahanan diri itu dan pernah menyertai dan mendapat pingat perak dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang diadakan di Kedah.

Pelajar yang berminat telah mendapatkan borang penyertaan yang diedarkan hari ini dan diserahkan pada hari Sabtu, 3 Februari ini ketika latihan pertama diadakan di Dewan Warisan sekolah.

Khamis, 18 Januari 2018

JOHAN MERENTAS DESA MENDAPAT HADIAH BASIKAL

PEMENANG bagi Kategori Lelaki 18, Perempuan 18, Lelaki 15, dan Perempuan 15 masing-masing menerima sebuah basikal dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat DESSO 2018 yang diadakan pada pagi ini.


Selain hadiah utama itu, mereka juga menerima sebuah hamper dan sebutir pingat atas kejayaan tersebut.

Dalam kejohanan itu, pasukan Rumah Garuda yang lebih dikenali sebagai Rumah Hijau muncul sebagai johan keseluruhan setelah mengumpulkan 2951 mata untuk mengetepikan penguasaan tiga lagi rumah sukan lain.

Tempat kedua dimenangi oleh Rumah Pelanduk (Rumah Biru), diikuti oleh Rumah Singa (Rumah Merah) dan Rumah Harimau (Rumah Kuning).

Kejohanan ini mempertandingkan lima kategori, iaitu Lelaki 18 dan Perempuan 18 (Tingkatan 4 dan 5), Lelaki 15 dan Perempuan 15 (Tingkatan 1, 2, dan 3), dan Pendidikan Khas.

Selain johan, pemenang-pemenang tempat kedua hingga ke-20 bagi setiap kategori menerima pingat dan hamper.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua PIBG, Pengetua SMKSO, dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKSO.

Melalui kejohanan ini, peserta akan dipilih untuk mewakili DESSO dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah Dungun yang akan diadakan pada 25 Januari 2018 di Bandar Al-Mukhtafi Billah Shah, Dungun.

Isnin, 15 Januari 2018

SUMBANGAN BEG SEKOLAH DARIPADA BEKAS PELAJAR DESSO

LIMA puluh orang pelajar menerima sumbangan beg sekolah dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Bilik Mesyuarat Gemilang pagi ini.


Penerima-penerima sumbangan itu terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6. Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua DESSO.

Beg sekolah tersebut disumbangkan oleh seorang individu yang pernah menuntut di sekolah ini pada tahun 1981 hingga 1985. Laman ini difahamkan bahawa individu tersebut turut memberikan sumbangan yang sama kepada pelajar dari sekolah lain.

Pengetua DESSO dalam ucapannya meminta pelajar yang menerima sumbangan agar tidak berasa rendah diri, sebaliknya menggesa mereka agar belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya dengan cemerlang dan seterusnya dapat memberikan sumbangan kepada orang lain pula suatu hari nanti.

Penyampaian sumbangan ini menjadi satu aktiviti dalam Program Sekolah Penyayang, dikendalikan oleh Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling DESSO.

Isnin, 8 Januari 2018

MINGGU ASPIRASI TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 1

UNIT Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling DESSO mengadakan Minggu Aspirasi Tingkatan 4 dan Tingkatan 1 di Dewan Warisan.


Pelajar Tingkatan 4 mengikuti aktiviti dalam program tersebut pada 8 dan 9 Januari, manakala pelajar Tingkatan 1 mengikutinya pada 10 dan 11 Januari.

Minggu Aspirasi diadakan untuk mengukuhkan jati diri pelajar Tingkatan 4 tentang motivasi belajar, dan program untuk pelajar Tingkatan 4 untuk mendedahkan persekitaran DESSO kepada pelajar yang baru masuk ke sekolah ini.

Pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) membantu Guru Bimbingan dan Kaunseling, Tuan Haji Ramli bin Musa, dan Puan Hajah Kamar Bahnu binti T. Mohamed mengendalikan program untuk Tingkatan 1.

Ahad, 7 Januari 2018

LATIHAN MERENTAS DESA

AKTIVITI kokurikulum bermula pada minggu pertama persekolahan dengan aktiviti merentas desa peringkat sekolah.


Selepas Mesyuarat Agung Rumah Sukan diadakan pada 4 Januari 2018 lalu, latihan untuk setiap rumah sukan diadakan mulai 7 Januari 2018. 

Latihan bermula pada pukul 3:30 petang dengan jarak larian dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Kejohanan Merentas Desa Peringkat SMKSO akan diadakan pada Khamis depan, 19 Januari 2018. Kejohanan ini akan memilih peserta yang akan mewakili SMKSO bagi Kejohanan Merentas Desa Peringkat Daerah Dungun yang akan diadakan pada 25 Januari 2018.

Isnin, 1 Januari 2018

MINGGU ADAB PEMBUKA SESI BAHARU PERSEKOLAHAN

SMK Sultan Omar meneruskan tradisi mengadakan Minggu Adab sebagai pembuka sesi baharu persekolahan dengan slot pertamanya hari ini yang bermula pukul 11:00 pagi hingga 2:00 petang.


Program Minggu Adab dimulakan tiga tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini dengan pengubahsuaian pelaksanaannya. Program ini pada tahun ini hanya melibatkan pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3, dan Tingkatan 4 sahaja, manakala pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Program ini mengemukakan empat modul utama yang membekalkan panduan tentang tatacara dan perlakuan yang sewajarnya bagi setiap pelajar. 

Program yang bermula hari ini akan berlangsung hingga 4 Januari ini. Walau bagaimanapun, setiap modul pada hari kedua hingga hari keempat nanti akan bermula pada pukul 8:00 pagi hingga 9:30 bagi pelajar Tingkatan 1 dan 2, dan 9:30 pagi hingga 10:30 pagi bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5. Pada waktu lain, pelajar berkenaan mengikuti sesi pembelajaran di dalam bilik darjah seperti biasa.

Semua modul diadakan di Dewan Warisan kecuali bagi modul keagamaan diadakan di Surau Al-Ikhlas.