Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Khamis, 13 Ogos 2020

TINGKATAN ENAM ATAS MENGHADAPI STPM SEMESTER 2

TIGA puluh dua orang pelajar Tingkatan Enam Atas SMKSO mula menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 2 bagi sesi 2020 hari ini.


Peperiksaan Semester 2 di Malaysia bermula semalam bagi mata pelajaran tertentu. Namun demikian, peperiksaan di SMKSO bermula hari ini dengan mata pelajaran pertama yang terlibat ialah Pengajian Am 2 (900/2) yang berlangsung pada pukul 11:00 pagi hingga 12:30 tengah hari.

Peperiksaan bagi mata pelajaran Pengajian Perniagaan 2 (946/2) dan Bahasa Melayu 2 (910/2) akan berlangsung pada hari Isnin ini, 17 Ogos 2020, masing-masing pada pukul 8:00 pagi hingga 10:00 pagi dan pukul 11:00 pagi hingga 12:30 tengah hari. Peperiksaan bagi mata pelajaran Ekonomi 2 (944/2) dan Sejarah 2 (940/2) akan dilangsungkan pada hari Selasa, 18 Ogos 2020, masing-masing pada pukul 8:00 hingga 10:00 pagi dan 11:00 pagi hingga 12:30 tengah hari.

Peperiksaan STPM Semester 2 kebiasaannya berlangsung pada bulan Mei, sebelum bermulanya cuti pertengahan tahun. Disebabkan oleh pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19, peperiksaan itu ditangguhkan.

Rabu, 12 Ogos 2020

BIMBINGAN TS25 DARIPADA RAKAN ELIT

BARISAN pengurusan SMKSO diberikan bimbingan tentang pelaksanaan program Transformasi Sekolah 2025 (TS 25) daripada dua orang Rakan Elit TS25 pada 10, 11 dan 12 Ogos 2020.




Bimbingan diberikan oleh Puan Sapinah binti Zakaria, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Bahasa dan Komunikasi Institut Aminuddin Baki, dan Dr. Tajuldin bin Mohamed, SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Dungun.

Dalam siri bimbingan itu, kedua-duanya berkongsi dokumen TS25 yang wajar diberikan tumpuan untuk memudahkan pelaksanaan program itu. Puan Sapinah memberikan penataran tentang program itu kepada barisan pengurusan sekolah pada 10 Ogos 2020 (Isnin), dan mengadakan pemantauan tentang PdPC melalui aktiviti "Learning Walks" bersama dengan pengurusan sekolah pada 11 Ogos 2020 (Selasa). Selain itu, beliau turut mengadakan bimbingan kepada Middle Leads Team (MLT) pada sebelah petangnya.

Dr. Tajuldin pula mengadakan ladap, "Analisis Jurang, PInTas dan OPPM" kepada barisan pengurusan sekolah pada 12 Ogos 2020 (Rabu).


Selasa, 11 Ogos 2020

RESTU ILMU UNTUK PELAJAR STPM SEMESTER 2

PROJEK Kecemerlangan STPM mengadakan Majlis Restu Ilmu khas untuk pelajar STPM Semester 2 yang akan mula menghadapi peperiksaan pada 13 Ogos 2020, Khamis ini.


Program ringkas yang melibatkan pelajar berkenaan dan guru-guru Tingkatan Enam, walau bagaimanapun turut disertai oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO.

Dalam majlis itu, Saudara Ahmad Muhsin bin Mohd Yusoff, Ketua Pelajar SMKSO, menyampaikan ucapan memohon restu daripada guru, sebagai mewakili 31 orang rakannya yang lain.

Cikgu Suhaimi bin Mohd Salleh, Ketua Panitia Bahasa Melayu Tingkatan 6, berucap mewakili guru-guru akademik Tingkatan 6 untuk merestui setiap ilmu yang dicurahkan sepanjang sesi Semester 2 ini berlangsung.

Tuan Haji Mazlan bin Mohd, Guru Penolong Kanan Tingkatan 6, turut memberikan ucapannya dengan harapan segala ilmu yang telah dititiskan oleh guru-guru dapat membantu pelajar untuk memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan itu. Tuan Haji Che Rashid bin Sulong dalam ucapannya turut menyatakan keyakinannya bahawa pelajar dapat mencapai impian masing-masing.

Pelajar STPM Semester 2 SMKSO akan menduduki kertas pertama pada 13 Ogos 2020, diikuti empat kertas lain pada 17 dan 18 Ogos 2020.