Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Khamis, 31 Disember 2020

USTAZAH HAMIDAH BERSARA

PUAN Hajah Hamidah binti Mohamad, menamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam dalam bidang pendidikan hari ini.


Beliau yang merupakan Guru Pendidikan Islam, mula berkhidmat di SMKSO pada 1 Januari 2010.

Puan Hajah Hamidah mengetik kad perakam kehadiran terakhirnya hari ini, disaksikan oleh Encik Afandi bin Harun, Penolong Kanan Kokurikulum, dan Cik Khamisah binti Mohammad, Ketua Pembantu Tadbir.


PEMBUGARAN AKADEMIK CALON SPM

WALAUPUN sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan penutupan sekolah untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19, Jawatankuasa Projek Kecemerlangan SPM meneruskan agenda membugarkan akademik pelajar melalui program yang dilaksanakan dengan sokongan padu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru.


Antara programnya ialah Program Santai Pelajar Target SPM 2020 yang diadakan di Mayang Sari Resort, Dungun. Dalam program itu, pelajar sasaran untuk memperoleh semua A bagi mata pelajaran yang diambil telah dikumpulkan dan diberikan semangat oleh pengurusan sekolah, di samping suntikan motivasi "Pengurusan Masa" daripada Cik Masitah binti Hassim dari Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKSO.

Selain itu, pada 13 Disember hingga 14 Disember pula 2020, PIBG menaja Kem Bimbingan Berfokus SPM bagi mata pelajaran Matematik, Sains, dan Sejarah, yang melibatkan kehadiran 56 orang pelajar.


Sementara itu, pada 30 dan 31 Disember 2020, pelajar SMKSO akan menyertai Tuisyen Rakyat anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun. Dalam program ini, pelajar yang disasarkan memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikuti seminar teknik menjawab soalan bagi kedua-dua mata pelajaran.



Selasa, 10 November 2020

PENUTUPAN SEKOLAH: PEMBELAJARAN DARI RUMAH DILAKSANAKAN HINGGA 17 DISEMBER 2020

BERIKUTAN penutupan institusi pendidikan di seluruh Malaysia yang diumumkan oleh YB Senator Dr. Radzi bin Jidin, Menteri Kanan Pendidikan pada 8 November 2020, pendidik SMKSO melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).

Guru dan pelajar berinteraksi melalui dalam talian menerusi perantaraan media sosial, antaranya Whatsapp dan Telegram, di samping penggunaan aplikasi Google Meet, Borang Google, Google Classroom, Quizziz, dan sebagainya. 

Guru-guru melaksanakan PdPR mengikut jadual yang disediakan, yang melibatkan tempoh dua hingga tiga jam bagi menengah rendah, dan tiga hingga empat jam bagi menengah atas, setiap hari, seperti yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan. Walau bagaimanapun, guru dan pelajar boleh melaksanakan PdPR mengikut kesesuaian masa masing-masing atas persetujuan bersama.

Setiap sesi pembelajaran dilaporkan melalui borang Google yang disediakan oleh pihak pengurusan, kemudian digantikan dengan penggunaan sistem pelaporan yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

PdPR dilaksanakan sehingga 17 Disember 2020. Cuti akhir tahun 2020 akan berlangsung pada 18 Disember hingga 31 Disember 2020.


Selasa, 27 Oktober 2020

PENGHARGAAN KEPADA PELAJAR DAN KELAS YANG MENCATATKAN KEHADIRAN TERBAIK

PENGURUSAN SMKSO dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Bimbingan dan Kaunseling menyampaikan penghargaan kepada pelajar dan kelas yang mencatatkan kehadiran terbaik pada hari ini.



Dalam majlis yang unik itu, pihak pengurusan yang diketuai oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang, bergerak dari kelas ke kelas yang melibatkan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 untuk menyampaikan sijil penghargaan dan baucar sagu hati kepada pelajar dan kelas yang mencatatkan kehadiran terbaik.

Pengetua Cemerlang diiringi oleh Puan Hajah Wan Noriman binti Wan Jaffar, Penolong Kanan Pentadbiran, Tuan Haji Rusli bin Mohd Nor, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, dan Cik Masitah binti Hassin.

Penyampaian sijil penghargaan dan baucar sagu hati kepada pelajar dan kelas yang mencatatkan kehadiran terbaik merupakan aktiviti bulanan yang dikelolakan oleh Unit Hal Ehwal Murid sekolah ini. Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), majlis diadakan semasa Perhimpunan Mingguan Sekolah.

Ahad, 27 September 2020

BENGKEL PENGISIAN DESKRIPSI TUGAS HRMIS 2

BENGKEL khas untuk mengisi Deskripsi Tugas setiap gred guru diadakan di Dewan Warisan pada petang ini. 

Pengisian ini perlu untuk melengkapkan maklumat bidang tugas guru yang didokumentasikan dalam HRMIS 2.

Bengkel petang ini dikendalikan oleh Puan Wan Noor Mahzira binti Wan Mustaffa, yang turut dihadiri oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO.

Dalam tugasan ini, guru perlu melengkapkan deskripsi tugas mengikut gred hakiki dan jawatan masing-masing. Aspek yang perlu diisi ialah tujuan pewujudan jawatan, akauntabiliti, dimensti, kelulusan akademik, kompetensi, dan pengalaman mengajar.

Maklumat yang dilengkapkan akan disahkan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, dan diluluskan oleh Pengetua Cemerlang.

Rabu, 23 September 2020

LAWATAN PENANDAARASAN SMKSO DI SMK SULTAN AHMAD

BARISAN pengurusan dan kumpulan SLT dan MLT Sekolah Transformasti 2025 (TS25) SMKSO mengadakan lawatan penandaarasan di SMK Sultan Ahmad, Kuala Terengganu hari ini.


Kumpulan ini diberikan taklimat tentang pengurusan dan pelaksanaan TS25, dan kejayaan yang diperoleh pelajar dan guru di sekolah tersebut dalam pelbagai bidang oleh pengurusan SMK Sultan Ahmad.

Selain itu, kumpulan pelawat telah dibawa ke beberapa kawasan di sekolah tersebut yang telah mengalami transformasi yang ketara.

Khamis, 10 September 2020

MEMASAK BUBUR ASYURA DAN BUBUR LAMBUK

SEBAGAI mengekalkan tradisi tahun sebelumnya, Unit Kokurikulum DESSO menganjurkan Program Memasak Bubur Asyura dan Bubur Lambuk, bersempena dengan bulan Muharam 1442 Hijrah.

Program yang dilaksanakan di hadapan Blok Pendidikan Khas Integrasi itu melibatkan empat buah kawah asyura dan dua buah periuk besar bubur lambuk. Setiap buah kawah asyura masing-masing dikendalikan oleh rumah sukan, iaitu Rumah Merah, Rumah Kuning, Rumah Biru, dan Rumah Hijau. Setiap rumah sukan tersebut menyediakan pelajar dari rumah masing-masing untuk mengacau asyura sehingga masak. 

Bubur lambuk pula dikendalikan oleh pelajar Pendidikan Khas dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG dan timbalannya serta beberapa orang AJK PIBG hadir untuk menyertai barisan pengurusan DESSO.

Beberapa orang pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun turut hadir ke majlis ini, termasuklah ketuanya, Tuan Haji Kasman bin Embong, dan Tuan Haji Mohd Fadzilah bin Mohd Ibrahim, Timbalan PPD Sektor Pembelajaran. Pegawai SICS+, Dr. Tajulddin bin Mohamad dan Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, dan Pegawai SIC+, Encik Mohamad bin Ibrahim dan Encik Mohd Isham bin Embong, juga hadir.

Bubur asyura dan bubur lambuk diagihkan kepada guru dan pelajar bermula pukul 1:30 tengah hari.

Khamis, 13 Ogos 2020

TINGKATAN ENAM ATAS MENGHADAPI STPM SEMESTER 2

TIGA puluh dua orang pelajar Tingkatan Enam Atas SMKSO mula menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 2 bagi sesi 2020 hari ini.


Peperiksaan Semester 2 di Malaysia bermula semalam bagi mata pelajaran tertentu. Namun demikian, peperiksaan di SMKSO bermula hari ini dengan mata pelajaran pertama yang terlibat ialah Pengajian Am 2 (900/2) yang berlangsung pada pukul 11:00 pagi hingga 12:30 tengah hari.

Peperiksaan bagi mata pelajaran Pengajian Perniagaan 2 (946/2) dan Bahasa Melayu 2 (910/2) akan berlangsung pada hari Isnin ini, 17 Ogos 2020, masing-masing pada pukul 8:00 pagi hingga 10:00 pagi dan pukul 11:00 pagi hingga 12:30 tengah hari. Peperiksaan bagi mata pelajaran Ekonomi 2 (944/2) dan Sejarah 2 (940/2) akan dilangsungkan pada hari Selasa, 18 Ogos 2020, masing-masing pada pukul 8:00 hingga 10:00 pagi dan 11:00 pagi hingga 12:30 tengah hari.

Peperiksaan STPM Semester 2 kebiasaannya berlangsung pada bulan Mei, sebelum bermulanya cuti pertengahan tahun. Disebabkan oleh pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19, peperiksaan itu ditangguhkan.

Rabu, 12 Ogos 2020

BIMBINGAN TS25 DARIPADA RAKAN ELIT

BARISAN pengurusan SMKSO diberikan bimbingan tentang pelaksanaan program Transformasi Sekolah 2025 (TS 25) daripada dua orang Rakan Elit TS25 pada 10, 11 dan 12 Ogos 2020.




Bimbingan diberikan oleh Puan Sapinah binti Zakaria, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Bahasa dan Komunikasi Institut Aminuddin Baki, dan Dr. Tajuldin bin Mohamed, SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Dungun.

Dalam siri bimbingan itu, kedua-duanya berkongsi dokumen TS25 yang wajar diberikan tumpuan untuk memudahkan pelaksanaan program itu. Puan Sapinah memberikan penataran tentang program itu kepada barisan pengurusan sekolah pada 10 Ogos 2020 (Isnin), dan mengadakan pemantauan tentang PdPC melalui aktiviti "Learning Walks" bersama dengan pengurusan sekolah pada 11 Ogos 2020 (Selasa). Selain itu, beliau turut mengadakan bimbingan kepada Middle Leads Team (MLT) pada sebelah petangnya.

Dr. Tajuldin pula mengadakan ladap, "Analisis Jurang, PInTas dan OPPM" kepada barisan pengurusan sekolah pada 12 Ogos 2020 (Rabu).


Selasa, 11 Ogos 2020

RESTU ILMU UNTUK PELAJAR STPM SEMESTER 2

PROJEK Kecemerlangan STPM mengadakan Majlis Restu Ilmu khas untuk pelajar STPM Semester 2 yang akan mula menghadapi peperiksaan pada 13 Ogos 2020, Khamis ini.


Program ringkas yang melibatkan pelajar berkenaan dan guru-guru Tingkatan Enam, walau bagaimanapun turut disertai oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO.

Dalam majlis itu, Saudara Ahmad Muhsin bin Mohd Yusoff, Ketua Pelajar SMKSO, menyampaikan ucapan memohon restu daripada guru, sebagai mewakili 31 orang rakannya yang lain.

Cikgu Suhaimi bin Mohd Salleh, Ketua Panitia Bahasa Melayu Tingkatan 6, berucap mewakili guru-guru akademik Tingkatan 6 untuk merestui setiap ilmu yang dicurahkan sepanjang sesi Semester 2 ini berlangsung.

Tuan Haji Mazlan bin Mohd, Guru Penolong Kanan Tingkatan 6, turut memberikan ucapannya dengan harapan segala ilmu yang telah dititiskan oleh guru-guru dapat membantu pelajar untuk memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan itu. Tuan Haji Che Rashid bin Sulong dalam ucapannya turut menyatakan keyakinannya bahawa pelajar dapat mencapai impian masing-masing.

Pelajar STPM Semester 2 SMKSO akan menduduki kertas pertama pada 13 Ogos 2020, diikuti empat kertas lain pada 17 dan 18 Ogos 2020.


Ahad, 26 Julai 2020

TEMU MURNI PELAJAR STPM SEMESTER 2

PROJEK Kecemerlangan STPM mengadakan Temu Murni dengan Ibu Bapa Pelajar Tingkatan 6 Atas di Bilik Mesyuarat Gemilang tengah hari ini.


Program temu murni ini dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga pelajar Tingkatan 6 Atas yang akan menduduki STPM Semester 2 pada 13, 17 dan 18 Ogos ini.

Dalam pertemuan tersebut, Penolong Setiausaha Projek Kecemerlangan STPM, Puan Siti Zubaidah binti Fazai memberikan taklimat tentang hala tuju STPM di SMKSO pada tahun ini, di samping mengupas pencapaian pelajar dalam peperiksaan Percubaan STPM Semester 2 yang diadakan minggu lepas.

Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang, dan Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran, turut meluangkan masa bersama-sama dengan pelajar dan guru Tingkatan 6 Atas.

Rabu, 22 Julai 2020

DIALOG PRESTASI TIMBALAN PPD DUNGUN DENGAN PELAJAR SEMESTER 2 STPM DAN SPM

TIMBALAN Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Sektor Pembelajaran, Tuan Haji Mohd Fadhilah bin Ibrahim mengadakan dialog prestasi dengan pelajar Tingkatan 5 yang akan menghadapi SPM dan Tingkatan 6 Atas yang akan menghadapi STPM Semester 2 pada pagi ini.


Pertemuan itu merupakan rangka jerayawara Pejabat Pendidikan Daerah Dungun ke semua sekolah menengah di daerah Dungun.

Kedua-dua pertemuan itu diadakan secara berasingan. Pertemuan dengan pelajar SPM diadakan di Dewan Warisan, kemudian diikuti dengan pertemuan dengan pelajar STPM Semester 2 di Bilik Mesyuarat Gemilang.

Dalam pertemuan dengan pelajar Tingkatan 6 Atas, Timbalan PPD itu menganalisis keputusan Percubaan STPM Semester 2 yang diadakan pada minggu lalu. Berdasarkan data, keputusan di SMKSO menunjukkan penurunan bagi semua mata pelajaran, malahan SMKSO berada pada kedudukan keempat di daerah Dungun, selepas SMK Durian Mas dan SMK Paka, dan SMK Tengku Intan Zaharah.

Dalam pertemuan itu, pegawai itu menyatakan keyakinan bahawa keadaan itu dapat dibaiki dalam tempoh yang ada ini sekiranya pelajar berusaha gigih. Beliau mahu pelajar menunjukkan keinginan yang tinggi untuk berjaya tanpa mengharapkan kesungguhan yang lebih daripada guru. Menurutnya, guru hanya boleh menunjukkan jalan, dan pelajar perlu berusaha untuk mengikuti jalan itu untuk sampai ke destinasi.

Rabu, 15 Julai 2020

PELAJAR BUKAN PEPERIKSAAN KEMBALI KE SEKOLAH

PELAJAR SMKSO yang tidak terlibat dengan peperiksaan awam mula kembali ke sekolah hari ini setelah "bercuti" akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula semasa cuti pertengahan penggal satu persekolahan.


Dengan hadirnya pelajar Tingkatan 1, 2, 3, dan 4 ke sekolah, semua warga pelajar kembali meneruskan pelajaran masing-masing secara rasmi, selepas pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 mula ke sekolah semula pada 24 Jun 2020 lalu.

Kedatangan mereka di sambut di pintu pagar utama sekolah dengan pemeriksaan suhu badan yang dikendalikan oleh guru yang bertugas khas. Mereka kemudiannya bergerak ke kaunter tingkatan masing-masing untuk mencatatkan suhu badan mereka pada kertas yang disediakan dengan dibantu oleh guru yang bertugas.

Tinjauan mendapati bahawa terdapat pelajar yang sudah tiba di sekolah pada pukul 6:45 pagi ketika guru bertugas sibuk menyediakan laluan mengikut tingkatan, mengagihkan pen, pencuci tangan, dan kertas catatan suhu di kaunter tingkatan yang disediakan.

Ahad, 12 Julai 2020

UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING MERAIKAN HARI LAHIR PELAJAR

SERAMAI 28 orang pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Lahir di Bilik Mesyuarat Gemilang pagi ini.


Majlis yang merupakan aktiviti di bawah Program Amalan Guru Penyayang dan dianjurkan Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKSO itu meraikan pelajar yang menyambut hari lahir pada bulan Januari hingga Julai tahun ini. Program itu diadakan lewat akibat daripada pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Dalam majlis ringkas yang disempurnakan oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO itu, pelajar menerima cenderamata, di samping aktiviti memotong kek hari lahir.

Khamis, 25 Jun 2020

KHUN JIA YIE DAN BOON YI JUN TERIMA ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STEM EXXONMOBIL

DUA orang bekas pelajar SMKSO yang merupakan pelajar terbaik SPM 2019, Khun Jia Yie dan Boon Yi Jun, menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil 2019.



Kedua-duanya menerima anugerah yang berjumlah RM1500.00 setiap orang daripada Tuan Haji Kasman bin Embong, Ketua Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, di pejabat itu pagi ini.

Kedua-duanya memperoleh semua A untuk 10 mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan awam tersebut. Jia Yie memperoleh 5A+, 4A dan 1A-, manakala Yi Jun memperoleh 5A+, 3A, 2A-.

Majlis penyerahan anugerah di peringkat negeri telah diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu pada hari Khamis, 4 Jun 2020 lalu, tetapi kedua-duanya tidak hadir ke majlis itu kerana mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang berlangsung di negara ini.

TINJAUAN PPD DUNGUN DAN ADUN SURA PADA HARI KEDUA PERSEKOLAHAN

SEKIRANYA semalam Encik Shaiful Bahari bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Sektor Pengurusan Sekolah memantau pelaksanaan prosedur operasi standard pembukaan sekolah untuk hari pertama, pada hari ini, Tuan Haji Kasman bin Embong, Pegawai Pendidikan Daerah Dungun turut membuat tinjauan di pintu masuk utama sekolah. 


Beliau bersama dengan Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO, dan guru pengurusan lain meninjau proses pemeriksaan suhu badan dan pengawasan penjarakan individu dalam kalangan pelajar.

Selepas itu sekolah dikunjungi oleh Tuan Berhormat Haji Wan Hapandi bin Wan Nik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sura. Beliau yang diiringi oleh Tuan Haji Che Rashid berkesempatan singgah di bebeapa buah kelas, termasuk Tingkatan Enam. Dalam perjumpaan ringkas itu, beliau menyampaikan hasrat agar pelajar terus belajar dengan lebih tekun kerana peperiksaan akan berlangsung tidak lama lagi. ADUN itu juga sempat beramah mesra dengan guru-guru Tingkatan Enam di Bilik Guru Mawaddah.


Rabu, 24 Jun 2020

PROSES PEMBELAJARAN HARI PERTAMA BERLANGSUNG LANCAR

HARI pertama persekolahan di SMK Sultan Omar selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berlangsung dengan lancar dari segi pematuhan prosedur operasi standard.


Seawal pukul 7:00 pagi, pelajar yang hadir ke sekolah melalui pintu pagar utama dikesan suhu badan oleh guru petugas kesihatan dan dipantau pematuhan penjarakan individu oleh guru petugas keselamatan.

Encik Shaiful Bahari bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Sektor Pengurusan Sekolah, hadir untuk memantau pelaksanaan prosedur operasi standard di pintu masuk dan di bilik darjah pada waktu pertama persekolahan yang bermula pada pukul 8:00 pagi.

Pada waktu rehat, pelajar dibenarkan ke kantin mengikut tiga peringkat masa untuk membeli makanan yang dibungkus. Makanan yang dibeli dimakan di meja masing-masing di bilik darjah dengan diawasi oleh guru. 

Sebelum pulang, semua murid diperiksa suhu badan, dan dilepaskan pulang berperingkat-peringkat.

Isnin, 22 Jun 2020

TAKLIMAT SIAP SIAGA MENGENDALIKAN PEMBELAJARAN MULAI RABU INI

PENGURUSAN SMKSO mengadakan satu taklimat khusus mengenai pengendalian aktiviti pembelajaran pelajar SPM dan STPM yang akan bermula Rabu ini. Taklimat yang diadakan di Dewan Warisan sekolah ini merupakan perhimpunan secara bersemuka yang pertama semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di negara ini pada Mac lalu.



Taklimat yang mematuhi arahan penjarakan individu itu dilaksanakan mengenai tugas guru yang mengendalikan saringan kesihatan pelajar, pengawasan keselamatan, dan proses sanitasi selepas setiap bilik darjah dan bilik khas digunakan setiap hari, hebahan dan peringatan berkala kepada warga sekolah, dan tindakan-tindakan lain yang perlu yang mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Dalam proses mematuhi prosedur operasi standard itu, setiap pelajar, guru, kakitangan dan pelawat yang hendak memasuki kawasan sekolah akan diperiksa suhu badan di pintu masuk utama. Suhu badan pelajar akan diperiksa oleh guru yang bertugas, manakala suhu badan guru, kakitangan, pekerja swasta, dan pelawat lain akan dilakukan oleh pengawal keselamatan.

Pembelajaran secara formal akan bermula pada pukul 8:00 pagi hingga pukul 2:00, tetapi beberapa kelas akan berakhir pada 2:40 petang. Sepuluh bilik darjah digunakan untuk pelajar Tingkatan Lima, manakala tiga bilik asal digunakan oleh pelajar Tingkatan Enam Atas.




Ahad, 21 Jun 2020

MAJLIS SANJUNGAN BUDI LAMBAIAN KASIH UNTUK CIKGU HAJI ELIAS DAN CIKGU ROSMALINA

KELAB Guru dan Kakitangan DESSO mengadakan majlis khas untuk seorang guru SMKSO yang menamatkan perkhidmatan dan seorang guru yang bertukar ke sekolah lain pada pagi ini. 



Majlis yang dilangsungkan melalui terminal Google Meet hari ini khusus untuk memberikan penghargaan kepada Tuan Haji Elias bin Haji Othman, Guru Akademik Biasa Bahasa Melayu yang bersara wajib pada 27 April 2020 yang lalu.

Tuan Haji Elias mula berkhidmat di sekolah ini pada 1 Mac 2003 setelah bertukar dari SMK Sura. Sebelumnya beliau bertugas di SMK Ahmad, Pekan, Pahang, dan bertukar ke Terengganu untuk berkhidmat di SMK Padang Pulut.

Selain itu, majlis turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Rosmalina binti Abd. Rashid, Guru Kanan Mata Pelajaran Sains dan Matematik, yang bertukar ke SMK Sura dengan jawatan yang setara. Puan Rosmalina mula bertugas di SMKSO pada 16 Disember 2015. Tempat yang ditinggalkannya digantikan oleh Encik Ahmad Burham bin Awang.

Kedua-duanya menerima hadiah penghargaan daripada pelbagai pihak, termasuk hadiah peribadi di Bilik Mesyuarat Gemilang, SMKSO, yang diikuti oleh guru lain melalui Google Meet.

Majlis di Bilik Mesyuarat Gemilang turut disertai oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG SMKSO bersama-sama Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang, dan semua Guru Penolong Kanan dan Guru Kanan Mata Pelajaran.

Isnin, 15 Jun 2020

DESSO BERSEDIA MENGENDALIKAN PERSEKOLAHAN SEMULA PELAJAR SPM DAN STPM

SMK Sultan Omar sudah membuat persediaan untuk menerima kehadiran semula pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas mulai 24 Jun 2020 ini selepas sekolah di seluruh Malaysia ditutup berikutan pengisyitaharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak Covid-19 mulai 18 Mac 2020 lalu.


Persediaan untuk membuka semula sekolah dilakukan dengan menyediakan keperluan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Majlis Keselamatan Negara. Pada 10 Jun 2020 lalu, Senator Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan mengisytiharkan bahawa persekolahan untuk pelajar yang akan menduduki SPM, STPM dan peperiksaan setara lain akan bermula pada 24 Jun 2020.

Prosedur pematuhan itu melibatkan penyusunan meja dan tempat duduk pelajar di dalam bilik darjah dan di dalam bilik khas berjarak satu meter, dan penetapan laluan pergerakan keluar dan masuk ke bilik-bilik berkenaan.

Operasi persediaan bermula oleh guru Tingkatan Enam pada 10 Jun 2020, diikuti oleh guru-guru Tingkatan Lima pada 11 Jun 2020. Pada 14 Jun 2020, semua guru hadir untuk melaksanakan pematuhan prosedur di semua bilik khas.

Pada 11 Jun 2020, Encik Shamsul Bahari bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Pengurusan Sekolah, yang merupakan Pegawai Perhubungan Sekolah, meninjau persiapan tersebut bersama dengan Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO, dan Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran SMKSO. 

Selain prosedur di bilik pembelajaran dan di bilik khas, sekolah membuat persediaan untuk melaksanakan operasi pemeriksaan suhu badan semua warga sekolah yang hadir pada setiap hari persekolahan mulai 24 Jun 2020.

Rabu, 3 Jun 2020

LADAP TENTANG TRANSFORMASI SEKOLAH 2025

PENGURUSAN SMKSO menganjurkan latihan dalam perkhidmatan tentang Menerajui Pembelajaran dalam Transformasi Sekolah 2025, yang lebih dikenali dengan singkatannya, TS25, melalui talian Google Meet pada pukul 9:00 pagi hari ini.


Ladap ini diadakan setelah SMK Sultan Omar dipilih untuk melaksanakan Modul 3 Program TS25. Pengetua Cemerlang dan Penolong Kanan Pentadbiran SMKSO telah mengikuti kursus tentang program itu pada bulan Februari dan Mac lalu melalui dua siri bengkel. 

Dalam latihan dalam perkhidmatan itu, Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang membentangkan perihal Pendidikan Abad Ke-21, manakala Puan Hajah Wan Nooriman bin Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran menjelaskan kaedah penulisan Rancangan Pelajaran Harian Elektronik (e-RPH) terkini.

Ladap tersebut merupakan siri yang ketiga dan julung-julung kali diadakan semasa negara sedang menghadapi ancaman wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Melalui aplikasi Google Meet, semua guru SMKSO mengikuti kursus tersebut di kediaman masing-masing.

Isnin, 18 Mei 2020

MAJLIS KHATAM AL-QURAN MELALUI GOOGLE MEET

PANITIA Pendidikan Islam menganjurkan Majlis Khatam al-Quran secara ringkas melalui aplikasi Google Meet selepas Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah.


Dalam majlis itu, Ustaz Za'imuddin bin Husain, Setiausaha Majlis Khatam al-Quran mengetuai acara yang disertai oleh guru dan pelajar.

Sebelum itu, guru dan pelajar yang mengikuti sesi tersebut di rumah masing-masing diberikan halwa kalbu oleh Ustaz Ahmad Zakwan bin Mohd melalui ceramah ringkasnya tentang hikmah Ramadan.

Puan Hajah Suhaima binti Abdullah, Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan, selaku Penyelaras Majlis Khatam al-Quran menjelaskan bahawa beberapa aktiviti maya dalam Program Ihya Ramadan kali ini telah dilaksanakan. Hadiah pertandingan akan diserahkan kepada pemenang pada waktu yang sesuai nanti. 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada guru dan kakitangan sekolah yang bermurah hati menjayakan program prihatin sekolah, khususnya penyerahan zakat dan bantuan kepada pelajar miskin yang telah disempurnakan pada 9 Mei 2020 lalu. Pengagihan tersebut menggunakan wang daripada potongan zakat guru oleh MAIDAM, zakat peribadi guru, Tabung Covid-19 anjuran PIBG, Tabung Amal Jariah DESSO, dan Tabung Ihya Ramadan.


SAMBUTAN HARI GURU 2020 DALAM TALIAN

SAMBUTAN Hari Guru Peringkat Sekolah yang dilaksanakan pada hari ini mencatatkan sejarah kerana julung-julung kalinya perhimpunan diadakan melalui talian, berikutan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 18 Mac 2020 lalu.    



Dalam majlis itu, Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang, membacakan teks ucapan "Selamat Hari Guru" daripada Perdana Menteri Malaysia.

Sambutan Hari Guru tahun ini bertema "Berguru demi Ilmu, Bina Generasi Baharu".

Turut hadir dan memberikan ucapan ialah Yang Berusaha, Inspektor Md. Zuraiemee bin Samsudin, Pegawai Perhubungan Polis Sekolah dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Dungun, Encik Shamsul Bahari bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pengurusan Sekolah,dan Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Program itu diadakan melalui aplikasi Google Meet yang membolehkan guru, pelajar, dan dif jemputan mengikutinya dari kediaman masing-masing.

Dalam majlis itu juga, Saudara Ahmad Muhsin bin Md Yusoff, Ketua Pelajar SMKSO dari Tingkatan 6 Atas Gemilang, menyampaikan ucapan untuk mewakili pelajar SMKSO, selain diserikan dengan persembahan video daripada pelajar yang mewakili Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6, dan dendangan lagu oleh Cikgu Mohd Helmi.

Sabtu, 9 Mei 2020

AGIHAN SUMBANGAN ZAKAT DAN TABUNG COVID-19

UNIT Makdis SMKSO menyampaikan sumbangan zakat dan sumbangan derma Covid-19 kepada pelajar miskin pada hari ini, 16 Ramadan 1441 Hijrah.


Sumbangan yang berupa barangan keperluan makanan harian dikendalikan di Kedai Runcit Idea Mart Dungun. Sejumlah 215 orang pelajar layak menerima zakat dan sumbangan tersebut pada kadar RM100.00 seorang. Barangan dari kedai tersebut diambil oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan dari pukul 9:00 pagi hingga 4:30 petang. Setiap keluarga memperoleh satu sumbangan sahaja walaupun mempunyai lebih daripada seorang anak belajar di SMKSO.

Menurut Puan Hajah Suhaima binti Abdullah, sebanyak RM21,500 diperuntukkan untuk pengagihan zakat dan sumbangan derma tersebut. Peruntukan tersebut disediakan daripada potongan zakat guru daripada MAIDAM (RM7514.25), sumbangan zakat individu guru dan sumbangan pelajar miskin (RM8685.75), Tabung Covid-19 daripada guru dan kakitangan SMKSO (RM2300.00), Tabung Amal Jariah DESSO (RM2000.00) dan Tabung Ihya Ramadan (RM1000.00).

Khamis, 30 April 2020

TEMU MESRA PENGURUSAN SEKOLAH DENGAN PELAJAR SPM DAN STPM

PENGURUSAN SMKSO mengadakan Majlis Temu Mesra dengan Pelajar Tingkatan 5 dan Majlis Temu Mesra dengan Pelajar Tingkatan 6 Atas melalui platform Google Meet.


Pertemuan maya itu diadakan pada dua tarikh yang berbeza. Pertemuan dengan pelajar SPM diadakan pada 30 April 2020, manakala pertemuan dengan pelajar STPM diadakan pada 3 Mei 2020.

Pertemuan diadakan untuk mengetahui keadaan pelajar semasa menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah yang dihadapi, tahap pembelajaran, dan memberikan motivasi agar setiap pelajar memanfaatkan masa terluang yang banyak di rumah untuk mengulang kaji pelajaran.

Penyertaan pelajar dalam kedua-dua pertemuan maya itu amat memberangsangkan dan disenangi oleh barisan pengurusan, walaupun terdapat kalangan pelajar yang sering mengalami masalah gangguan Internet.

Khamis, 5 Mac 2020

GPS SPM 2019 MENINGKAT MENJADI 4.88 BERBANDING DENGAN KEPUTUSAN 2018

JUMLAH calon yang memperoleh semua A berkurang seorang berbanding dengan tahun 2018, namun kecemerlangan dicatat berdasarkan gred purata sekolah yang meningkat daripada 5.15 pada tahun 2018 menjadi 4.88 bagi tahun 2019, memperlihatkan kejayaan yang memberangsangkan bagi warga DESSO.


Dua orang calon yang memperoleh semua A untuk 10 mata pelajaran yang diambil ialah Khun Jia Yie dan Boon Yi Jun. Jia Yie memperoleh 5A+, 4A, dan 1A-, manakalah Yi Jun memperoleh 5A+, 3A, dan 2A-.

Calon tunggal yang mendapat 9A ialah Fu Chuan Yan, dengan satu mata pelajaran lain dia mendapat B+.

Selain itu lima orang calon masing-masing mendapat 8A 7A, dan 6A, sementara enam orang calon lain mendapat 5A.

Pelajar Melayu yang terbaik ialah Hasan bin Abd. Aziz, dari Tingkatan 5 Elit, yang mengambil sembilan mata pelajaran, dan memperoleh 8A, iaitu 3A+, 3A, dan 2A-, manakala satu lagi mata pelajaran merupakan B+.

Sejumlah 151 orang calon menduduki peperiksaan tersebut, dengan 131 orang calon layak mendapat sijil, iaitu 87.33%, dan 98 orang calon lulus semua mata pelajaran.

Slip keputusan kepada pelajar terbaik disampaikan oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang DESSO di Dewan Warisan.

Sabtu, 29 Februari 2020

MESYUARAT AGUNG PIBG KE-43: JAWATANKUASA 2019 DIKEKALKAN

IBU bapa yang menjadi ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) DESSO bersetuju untuk mengekalkan keseluruhan ahli jawatankuasa 2019 dalam Mesyuarat Agung PIBG sekolah ini di Dewan Warisan, pagi ini.


Keputusan sebulat suara itu mengekalkan Tuan Haji Mokhtar bin Omar sebagai Yang Dipertua, Encik Chong Yep Kin sebagai Naib Yang Dipertua, dan ahli jawatankuasa yang lain, iaitu Encik Rashid bin Abu Bakar, Puan Hasnah binti Abbas Khuty, Encik Rosdi bin Abdullah, Puan Marizah binti Mat Baru, dan Puan Noraini binti Kamaruddin. Hanya dua orang ahli jawatankuasa baharu yang dipilih untuk menggantikan Encik Arif Tan bin Abdullah yang meninggal dunia, dan Dr. Saripah Fauziah binti Syed Draman yang mempunyai tugas berat setelah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Rektor Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Bukit Besi.

Mesyuarat agung kali ini dirasmikan oleh Encik Shamsul Bahri bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Pengurusan Sekolah, merangkap Pegawai Perhubungan Sekolah (1P 1S).

Mesyuarat dimeriahkan oleh acara cabutan bertuah yang dimenangi oleh ibu bapa dan guru.

Khamis, 27 Februari 2020

SINGA RAMPAS TAKHTA KEJOHANAN OLAHRAGA DESSO DARIPADA HARIMAU

RUMAH Sukan Singa (Merah) mencatatkan kejayaan kedua dalam aktiviti sukan tahun ini apabila menjuarai Kejohanan Olahraga DESSO Ke-45 yang berlangsung pada 25 hingga 27 Februari lalu.


Sebelum ini, dalam Kejohanan Merentas Desa pada 16 Januari lalu, Singa mengulangi kejayaan tahun lepas dengan mengetepikan terdekatnya, Rumah Harimau (Kuning).

Kejayaan Rumah Singa muncul juara Kejohanan Olahraga tahun 2020 ini merupakan kejayaan terbaiknya apabila menumbangkan juara tahun lepas, Rumah Harimau. Rumah Singa memperoleh 293 mata, manakala Rumah Harimau mengumpul 272 mata. Sementara itu, Rumah Pelanduk mengumpul 252 mata untuk tempat ketiga, diikuti oleh Rumah Garuda dengan 174 mata, dan Rumah Seladang dengan 119 mata.

Kejohanan kali ini unik kerana melibatkan pertandingan daripada lima penjuru dengan wujudnya rumah sukan yang baharu, Rumah Seladang, yang dianggotai oleh pelajar Pendidikan Khas yang bertanding dalam kategori yang sama dengan pelajar lain.

Muhammad Wikri Syukran bin A. Rahim dari Rumah Singa dinobatkan sebagai olahragawan setelah memperoleh dua kalung pingat emas dalam acara 800 meter dan 1500 meter, dan dua kalung pingat perak dalam acara 4X100 meter dan 4X400 meter. Nur Anis Sofea binti Zainudin dari Rumah Garuda pula diisytiharkan sebagai olahragawati setelah memperoleh pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter, dan pingat gangsa dalam acara 4X400 meter.

Kejohanan ini juga mengikhtiraf kejayaan atlet mengikut kategori. Muhammad Alif Zikri bin Mohd Zubekri dari Rumah Singa merupakan peserta terbaik kategori Lelaki 15 dengan perolehan emas dalam acara lempar cakera dan 4X400 meter, pingat perak dalam acara lontar peluru, dan pingat gangsa dalam acara 4X100 meter. Ainul Safiyyah binti Abdul Hidier, juga dari Rumah Singa, menjadi peserta terbaik kategori Perempuan 15 setelah mendapat pingat emas dalam acara 400 meter dan 1500 meter, dan menduduki tempat keempat dalam acara 4X400 meter dan 4X100 meter.

Bagi kategori Lelaki 18, Muhammad Izzat bin Abdullah, atlet dari Rumah Pelanduk, menjadi atlet terbaik apabila meraih pingat emas dalam acara 100 meter dan 400 meter. Fatin Nur Fatihah binti Mohd, Farisham, juga dari Rumah Pelanduk, memperoleh gelaran atlet terbaik kategori Perempuan 18 setelah menyarung pingat emas dalam acara lontar peluru dan lempar cakera.

Selain acara olahraga, kejohanan dimeriahkan oleh pertandingan sampingan antara rumah sukan yang bertanding. Rumah Garuda (Hijau) mengungguli Pertandingan Hiasan Khemah dan Pertandingan "War Cry". Rumah Seladang (PPKI) memenangi Pertandingan Maskot, dan Rumah Pelanduk memenangi Pertandingan Perbarisan. Dalam acara tarik tali, Rumah Harimau muncul sebagai pemenang apabila menewaskan Rumah Seladang dalam pertandingan akhir.

Selasa, 4 Februari 2020

PEMIMPIN PELAJAR TERIMA WATIKAH PELANTIKAN

SMK Sultan Omar mengadakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pemimpin Pelajar di Dewan Warisan, pagi ini.


Majlis disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Inspektor Md. Zuraiemee bin Samsudin, Ketua Pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

Pemimpin pelajar yang menerima watikah terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pengawas Koperasi, Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks, dan Briged Bestari. Mengetuai penerimaan watikah oleh Ketua Pengawas, Sdr. Ahmad Muhsin bin Md. Yusoff, pelajar Tingkatan 6 Atas Gemilang.

Turut hadir dalam majlis tahunan itu ialah Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG.

Ketua Pengawas, Sdr. Ahmad Muhsin turut mengetuai bacaan ikrar yang diiringi oleh Pasukan Kadet Polis. Ketua Pelajar itu kemudiannya menyerahkan skrol ikrar kepada Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO.

Selasa, 21 Januari 2020

PRA-SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA

SEPERTI pada tahun sebelum ini, acara Pra-Sambutan Tahun Baharu Cina diadakan di Dataran Perhimpunan.


Walaupun acaranya ringkas, program yang dianjurkan oleh Pembimbing Rakan Sebaya dan Unit Kaunseling SMKSO ini turut dihadiri oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG, dan Timbalan Yang Dipertua PIBG, dan AJK PIBG dari kalangan kaum Cina.

Dalam majlis itu, selain ucapan daripada daripada pelajar, kad ucapan turut diserahkan kepada guru-guru berbangsa Cina SMKSO, iaitu Puan Loh Chin Eng, Encik Shee Soon Yee, dan Puan Tan Lee Kim. Wakil pelajar juga menyerahkan kad ucapan gergasi kepada Yang Dipertua PIBG.

Khamis, 16 Januari 2020

SINGA MENGAUM LAGI...

RUMAH Singa, yang lebih dikenali sebagai Rumah Merah, mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah 2020.


Kejayaan pada tahun ini lebih berkualiti kerana kebanyakan kedudukan teratas dalam kategori-kategori yang dipertandingkan diungguli oleh peserta dari pasukan tersebut.

Tempat kedua dimenangi oleh Rumah Harimau (Kuning), selepas pada tahun lepas menduduki tempat tercorot, diikuti oleh Rumah Garuda (Hijau) dan Rumah Pelanduk (Biru).

Para pemenang menerima pingat dan hamper yang disampaikan di Dewan Warisan. Kejohanan kali ini dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah kepada pelajar yang menyertai pertandingan dan guru yang semuanya menjadi pegawai pertandingan.

Rabu, 8 Januari 2020

HAJI CHE RASHID PENGETUA CEMERLANG

PENGETUA SMKSO ke-26, Tuan Haji Che Rashid bin Sulong memulakan kecemerlangan pada awal tahun baharu 2020 dengan memperoleh pangkat Pengetua Cemerlang DG54.


Beliau bersama dengan lima orang pengetua lain menerima sijil kenaikan pangkat itu daripada Encik Salim bin Ab. Ghani,Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu yang baharu di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu hari ini. 

Pengetua lain yang menerima pelantikan yang sama adalah dari SMK Sultan Sulaiman, SMK Seri Nering, SMK Padang Midin, SMK Seeri Nilam, dan SMK Seri Serating.

Sebelum ini, Pengetua Cemerlang SMKSO ialah Encik Abdul Rahman bin Husin, yang menjadi pengetua pada tahun 2009 hingga 2013.

Khamis, 2 Januari 2020

DUA ORANG GURU TINGKATAN ENAM BERSARA

TINGKATAN Enam SMKSO khususnya, dan SMKSO umumnya, kehilangan serentak dua orang guru yang berpengalaman mulai hari ini.


Puan Rosni binti Ibrahm dan Puan Saira Begum binti Abdul Majeed memulakan hari persaraan hari ini dan diraikan dalam satu majlis di Bilik Mesyuarat Gemilang.

Puan Rosni mengajarkan mata pelajaran MUET Tingkatan 6 semenjak 7 Januari 2015 setelah bertukar dari SMK Tengku Intan Zaharah. Puan Saira Begum pula yang mengajarkan mata pelajaran Pengajian Perniagaan Tingkatan 6 mula berkhidmat di sekolah ini pada 5 Julai 1995. Kedua-duanya yang berusia 55 tahun.

Dalam majlis keraian yang bermula pukul 12:00 tengah hari, kedua-duanya diarak dan menerima lambaian terakhir daripada pelajar. Kemudiannya, kedua-duanya diraikan oleh guru di Bilik Mesyuarat Gemilang.