Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Khamis, 31 Mac 2022

KERAIAN PERTUKARAN ENCIK AHMAD HAMDANY

PENGURUSAN Tingkatan 6 mengadakan Majlis Lambaian Kasih Seharum Budi sempena dengan pertukaran Encik Ahmad Hamdany bin Ahmad Halimy di Mayangsari Resort, Dungun tengah hari ini.






Encik Ahmad Hamdany yang mula bertugas di SMKSO pada 21 September 2016 sebagai guru Bahasa Inggeris kemudiannya menyertai kumpulan guru Tingkatan 6 pada tahun 2020. Beliau mengajarkan mata pelajaran MUET, dan dilantik sebagai Penyelaras Tingkatan 6, serta Penyelaras Batch Ibnu Sina, Al-Fateh, dan Al-Ghazali.

Beliau bertukar ke SMJK Chung Hwa, Kota Bharu dan akan melaporkan diri pada 3 April 2022 ini.

Beliau menerima cenderamata kenang-kenangan daripada kumpulan Guru Akademik Tingkatan Enam (GATE), guru individu, dan pelajar lelaki dan perempuan Batch Al-Fateh dan Al-Ghazali.

Ahad, 27 Mac 2022

GURU TERIMA ANUGERAH KUALITI 2020/2021

HAMPIR lima puluh orang guru SMKSO menerima anugerah kecemerlangan dalam Majlis Anugerah Kualiti Guru 2020/2021 hari ini.

Majlis yang disempurnakan perasmian dan penyampaian sijil anugerah oleh Tuan Haji Kasman bin Embong, Ketua Pegawai Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun itu meliputi bidang kurikulum, kokurikulum, dan hal ehwal murid.



Bagi bidang kurikulum, anugerah terdiri daripada kategori pencapaian SPM dan STPM 2020. Untuk kategori SPM, anugerah diberikan kepada guru yang mencapai 100% lulus, peningkatan CGPA dan lompatan saujana, 100% lulus dan peningkatan CGPA, peningkatan CGPA, dan 100% lulus peperiksaan Diploma Antarabangsa Bahasa Perancis. Untuk kategori STPM pula, guru menerima anugerah kerana  peningkatan bilangan A dan peningkatan gred penuh, peningkatan bilangan A dan pencapaian 100% lulus, dan pencapaian 100% lulus MUET 2021.

Anugerah bagi bidang hal ehwal murid melibatkan penarafan gred A kantin sekolah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, kejayaan dalam Pertandingan Foto Pendek Kerjaya peringkat kebangsaan 2020, dan pencapaian hadiah sagu hati dalam Pertandingan Cerita Pendek Berkumpulan Transformasi Minda Pendidikan Pencegahan Dadah peringkat kebangsaan 2020.

Dalam bidang kokurikulum, penyampaian anugerah yang melibatkan penyertaan dan kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, Puan Azida binti Abdul Aziz dan Encik Fazri bin Mohd terpilih menerima anugerah e-RPH terbaik.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Ustaz Saiful Bahari bin Abdul Ghani, Pegawai SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, dan Encik Chong Yep Kin, Timbalan Yang Dipertua PIBG SMKSO.


Rabu, 16 Mac 2022

GURU BAHARU DAN GURU BERTUKAR PADA PERMULAAN PENGGAL 1 2022/2023

DUA guru baharu yang bertukar dari sekolah lain akan mula berkhidmat di SMKSO mulai hari pertama sesi persekolahan penggal pertama 2022/2023, 21 Mac 2022 ini.

Hal ini diumumkan oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO dalam Mesyuarat Guru 1/Sesi 2022/2023 hari ini.

Guru baharu tersebut ialah Encik Akmal bin Mohd Hashim yang bertukar dari SMK Jengka 21, Maran, Pahang, dan Puan Siti Sarah binti Mohd Saifuddin, yang bertukar dari Sempurna, Sabah.

Encik Akmal bin Mohd Hashim

Puan Siti Sarah binti Mohd Saifuddin

Sementara itu, Tuan Haji Che Rashid juga mengumumkan pertukaran Puan Norhaizam binti Mohd Mohd Nor ke SMK Sultan Mansor, Kuala Terengganu, mulai 21 Mac 2022.

Mesyuarat hari ini diadakan secara hibrid dengan barisan pengurusan berada di Bilik Mesyuarat Gemilang, SMKSO, dan guru lain mengikuti mesyuarat melalui aplikasi Google Meet.

Sekolah akan bermula pada 21 Mac 2022 (Isnin) minggu depan dengan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan melalui dalam talian, tetapi semua guru berada di sekolah.

Ahad, 6 Mac 2022

PERSEKOLAHAN SESI 2022/2023 SEKOLAH MENENGAH BERMULA DENGAN PDPR

PERSEKOLAHAN sesi baharu 2022/2023 yang dijadualkan bermula pada 21 Mac 2022 kekal tetapi sidang pembelajarannya dikehendaki diadakan secara dalam talian sehingga 3 April 2022, demikian diumumkan oleh Menteri Pendidikan.


Menurut pengumuman itu, sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) selama dua minggu itu melibatkan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di semua sekolah menengah, kecuali Sekolah Menengah Berasrama Sepenuhnya.

Sesi pembelajaran secara bersemuka akan bermula 4 April 2022 tanpa penggiliran bagi sekolah menengah.

Rabu, 2 Mac 2022

PELAJAR TINGKATAN 5 MENDUDUKI SPM 2021

PELAJAR Tingkatan 5 mula menduduki peperiksaan SPM sesi 2021 hari ini, dengan menjawab soalan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1, Pendidikan Seni Visual Kertas 1, dan Bahasa Melayu Kertas 2.

Peperiksaan akan berlangsung selama 12 hari, yang dijadualkan akan tamat pada 28 Mac 2022. Pada hari terakhir, sebahagian pelajar menduduki penilaian bagi mata pelajaran Bahasa Cina Kertas 1 dan Bahasa Cina Kertas 2.

Sebanyak 15 mata pelajaran terlibat dalam keseluruhan peperiksaan, termasuklah mata pelajaran teras wajib lulus, Bahasa Melayu dan Sejarah. Mata pelajaran teras lain yang diambil ialah Sains, Matematik, dan Pendidikan Islam bagi calon beragama Islam.

Bagi pelajar aliran Sains, mereka turut menduduki Matematik Tambahan, Kimia, Fizik, dan Biologi, sementara pelajar bukan Islam turut menduduki kertas Pendidikan Moral.

Mata pelajaran pilihan pula antaranya Perniagaan, Tasawwur Islam, Prinsip Perakaunan, dan Sains Komputer. 

Pada hari pertama ini, Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, turut meninjau perhimpunan calon dan kata-kata semangat akhir daripada guru bertugas sebelum mereka memasuki Dewan Warisan dan beberapa buah bilik darjah untuk memulakan peperiksaan.