Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Isnin, 24 Disember 2018

PENDAFTARAN PELAJAR DESSO SESI 2019 PADA 27 DISEMBER 2018

PENDAFTARAN pelajar DESSO untuk sesi persekolahan 2019 akan diadakan pada hari Khamis, 27 Disember 2018 ini. Pendaftaran pada hari tersebut melibatkan pelajar Tingkatan1, Tingkatan 2, Tingkatan 3, Tingkatan 5, dan PPKI.


Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Tuan Haji Rusli bin Mohd Nor, pendaftaran pelajar Tingkatan 1 diadakan di Dewan Warisan, pelajar PPKI di Blok PPKI, dan pelajar Tingkatan 2, 3 dan 5 di bilik tingkatan masing-masing.

Pendaftaran akan berlangsung mulai pukul 8:30 pagi hingga 11:00 pagi. Maklumat ini telah disampaikan kepada ibu bapa atau penjaga melalui surat yang telah diedarkan sebelum ini. 

Pelajar Tingkatan 1 perlu beruniform sekolah semasa mendaftar, manakala pelajar Tingkatan 2, 3 dan 5 hendaklah berpakaian sopan.

Sementara itu, pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 6 Atas mendaftar pada hari pertama persekolahan 2019, iaitu pada 1 Januari 2019. 

Isnin, 12 November 2018

PENANGAN PAKAIAN ARAB DAN BOLLYWOOD: JAMUAN AKHIR TAHUN KELAB GURU MERIAH

JAMUAN akhir tahun guru-guru DESSO yang dikendalikan oleh Kelab Guru dan Kakitangan DESSO di The Qamar, Paka petang ini berwarna-warni dan meriah dengan kehadiran guru yang berpakaian mengikut tema Arab dan Bollywood.


Majlis yang dikendalikan oleh Encik Muhammad Termizi berlangsung dengan penuh ceria dengan cabutan bertuah dan cabutan bertuah perdana. Di samping itu, majlis juga menyampaikan hadiah kepada pemenang berpasukan dan individu bagi Pertandingan Boling "Road to Hi-Tea" yang diadakan di Mesra Mall pada akhir bulan lalu.

Majlis turut dihadiri oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG DESSO.

Guru-guru turut mengikuti tayangan video tentang aktiviti guru yang berlangsung sepanjang tahun 2017 dan 2018.

Dalam majlis itu, guru-guru yang memakai pakaian tema Arab dan Bollywood yang lengkap dan menarik menerima hadiah mengikut kategori pakaian lelaki dan perempuan. Pemenang diumumkan oleh Pengetua DESSO.

Pada akhir majlis, Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan, Encik Ramlan bin Jusoh mengumumkan jawatankuasa baharu kelab tersebut yang akan mengambil alih kepimpinan untuk sesi 2019-2020. Tuan Haji Roazian bin Abdul Rahman dipilih sebagai Pengerusi, manakala YM Raja Nazreen dipilih sebagai Naib Pengerusi.

PELAJAR TINGKATAN ENAM MOHON RESTU ILMU STPM SESI 2018 DAN 2019

JAWATANKUASA Projek Kecemerlangan STPM mengadakan Majlis Restu Ilmu pagi ini sebagai aktiviti terakhir untuk memotivasikan pelajar Tingkatan Enam sekolah ini.


Majlis disertai oleh pelajar Enam Atas yang akan menghadapi peperiksaan STPM Semester 3 pada 14, 15, dan 19 November 2018, dan juga pelajar Enam Bawah yang akan menghadapi peperiksaan STPM Semester 1 pada 27, 28 dan 29 November 2018. Selain itu, terdapat pelajar Enam Atas yang akan menduduki peperiksaan Ulangan Semester 1 pada 27 hingga 29 November 2018 dan sesetengahnya pula menduduki peperiksaan Ulangan Semester 2 pada 3 hingga 5 Disember 2018.

Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran, turut hadir memberikan ucaptama dengan memberikan galakan dan motivasi kepada pelajar.

Dalam majlis itu, setiap pelajar dan guru Tingkatan Enam menerima cenderahati. Majlis diakhiri dengan selawat dan acara bersalaman antara pelajar dengan guru.

Khamis, 8 November 2018

PELAJAR DAN GURU TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM 2018

UNIT Kokurikulum DESSO mengadakan Majlis Anugerah Kokurikulum 2018 di Dewan Warisan pagi ini, yang dirasmikan oleh Tuan Haji Zulkefly bin Abdul  Rahim, Pengetua DESSO.


Dalam majlis yang turut dihadiri oleh Tuan Haji Moktar bin Omar, Yang Dipertua PIBG DESSO, seramai 20 orang pelajar dan 10 orang guru menerima penghargaan kerana sumbangan dalam kategori masing-masing.

Kategori Atlet Terbaik dimenangi oleh Muhammad Adi Amin bin Kamaruddin dan Nur Syahira binti Zakaria. Kategori Atlet Harapan terbaik dimenangi oleh Mohamad Amir Zulkarnain bin Zainuddin dan Syarifah Afiqah Farzana binti Syed Ali. Selain itu, Ahmad Khurraizy bin Khuzainol dan Nur Amira Tasya binti Atan menerima anugerah kategori Murid Terbaik Koakademik, serta Loqman Hakim bin Mohd Zaki dan Nur Fatin Alia binti Mohd Azam dianugerahi Murid Terbaik Kokurikulum.

Sementara itu, dua orang pelajar Pendidikan Khas, Mohamad Amirul Zulhairi bin Mohd Ashid dan Mohamad Amirul Hakimi bin Abdul Halim dianugerahi Anugerah Terbaik Kokurikulum PPKI. Tengku Mahmud bin Tengku Nordin dari Tingkatan 6B1 pula menerima Anugerah Terbaik Kokurikulum Tingkatan Enam, dan Syed Afiq Fakri bin Syed Ali dan Nur Ummi Liyana binti Muhammad @ Kamal menerima Anugerah Tokok Kokurikulum Murid.

Lapan orang pelajar lain menreima Anugerah Khas, iaitu Adam Nurhafeez bin Rosdi, Nik Muhammad Hafizuddin bin Nik Rasly, Ahmad Khairul Ikhwan bin Talha'Rauh, Lee Kai Hong, Tan Chun Tack, Lee Kain Yan dan Chong Zhi Hao.

Guru yang menerima anugerah ialah Tuan Haji Roazian @ Roezwan bin Abdul Rahman dan Puan Fauzan binti Ali menerima anugerah Pengurus Pasukan Terbaik, manakala Encik Ahmad Hamdany bin Ahmad Halimy dan Puan Nordiana binti Abdul Manap menerima anugerah Jurulatih Terbaik. 

Encik Ahmad Burham bin Awang dan Yang Mulia Tengku Mazura binti Tengku Ibrahim pula menerima Anugerah Tokoh Kokurikulum Guru.

Sijil penghargaan turut disampaikan kepada Encik Muhammad Tarmizi bin Ali Affandi, Encik Mohd Zaidi bin Ibrahim, Puan Tan Lee Kim dan Encik Mohd Norhelmi bin Mohd Aris.

Selain itu, lima orang jurulatih luar yang banyak memberikan sumbangan untuk kecemerlangan kokurikulum sekolah turut diberikan Anugerah Khas, yang terdiri daripada Tuan Haji Noor Azam bin A. Majid, Encik Zainuddin bin Yusoff, Tuan Syed Ali bin Syed Akil, Encik Awang bin Abdullah, dan Encik Radzilah bin Mohd Zain.

Majlis penyampaian anugerah itu diserikan oleh persembahan sketsa daripada kumpulan pelajar Tingkatan Enam Bawah, yang baru memenangi tempat kedua Pertandingan Sketsa Sejarah Negeri Terengganu di Hulu Terengganu.


Ahad, 28 Oktober 2018

TINGKATAN ENAM BERJAMU AKHIR TAHUN DI HOTEL UITM

PELAJAR Tingkatan Enam DESSO mengadakan Jamuan Akhir Tahun 2018 di Dewan Bidara, Hotel UiTM Kampus Dungun hari ini.


Jamuan dengan tema "DESSO Revolution Annual Award" itu yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Enam Bawah, dihadiri oleh semua pelajar dan guru Tingkatan Enam. Yang turut hadir ialah Pengetua, Tuan Haji Zulkifley, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Hajah Wan Nooriman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Tuan Haji Rusli bin Mohd Noor, dan Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Apandi bin Harun.

Dalam majlis itu, guru dan pelajar Tingkatan Enam Atas diberikan penghargaan dalam beberapa kategori, dan dikendalikan menyerupai majlis penganugerahan bintang popular dan festival filem.

Ditambah dengan hari ini yang diumumkan sebagai hari cuti peristiwa bersempena dengan pertandingan akhir Piala Malaysia yang melibatkan negeri Terengganu, majlis makan tengah hari ini berlangsung dalam keadaan meriah dengan persembahan pelajar dan cabutan bertuah.

Sabtu, 27 Oktober 2018

GURU BERENTAP DALAM KEJOHANAN BOLING DI MESRA MALL

KELAB Guru dan Kakitangan DESSO menganjurkan Pertandingan Boling "Road to Annual Hi-Tea DESSO" yang diadakan di U-Bowl Mesra Mall, Kemasek petang ini.


Pertandingan itu yang disertai guru berdasarkan rumah sukan diadakan bersempena dengan Jamuan Akhir Tahun DESSO yang akan diadakan pada 12 November ini di Paka.

Dalam pertandingan itu, setiap rumah sukan disertai oleh enam orang pemain yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Selain itu, terdapat juga pasukan pengurusan sekolah, PIBG, dan guru Tingkatan Enam.

Hadiah diberikan kepada juara pasukan, juara individu, dan pemain yang melakukan "strike" dan "spare" terbanyak.

Pemenangnya belum diumumkan. Namun begitu, berdasarkan keputusan, pasukan Rumah Kuning yang diketuai oleh Encik Ahmad Burham memperoleh jatuhan pin tertinggi dengan 1736 mata, manakala Tuan Haji Zulkifley, Pengetua DESSO, mengumpul catatan individu sebanyak 420 mata.

Selasa, 16 Oktober 2018

DESSO MENDAPAT SLOGAN BAHARU

PENGETUA SMK Sultan Omar, Tuan Haji Zulkifley bin Mohd Rahim, mengumumkan slogan baharu sekolah ini, "DESSO: Where Succes is Redefined" yang digunakan mulai hari ini.


Beliau mengumumkan demikian semasa Taklimat Penyempurnaan Tugas Akhir Tahun 2018 di Bilik Mesyuarat Gemilang sekolah ini.

Slogan baharu itu menggantikan slogan "Di sini Terciptanya Kebersamaan" yang digunakan semasa pengetua sebelumnya, Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman. 

Menurut Tuan Haji Zulkifley, slogan baharu itu untuk meluaskan skop tanggapan tentang kejayaan, yang tidak seharusnya semata-mata berasaskan kecemerlangan akademik dan koakademik, tetapi perlu meliputi unsur moral, etika, dan kerohanian. Oleh itu, pelajar dan guru perlu merangka dan membina kejayaan dari segala aspek.

Menurutnya lagi, pendefinisian semula arah tuju kejayaan penting untuk memastikan masyarakat yang dilahirkan oleh DESSO bukan sekadar berjaya dalam hal keduniaan, malahan sangat perlu diseimbangkan dengan keupayaan keagamaan dan kekuatan dalaman setiap pelajar.

Mengulas penggunaan bahasa Inggeris bagi ungkapan itu, beliau menyatakan bahawa ungkapan itu untuk disesuaikan dengan penggunaan jenama "DESSO" yang juga dalam versi Inggeris. 

Selasa, 9 Oktober 2018

WARGA DESSO MEMASAK LIMA KAWAH BUBUR ASYURA DAN DUA PERIUK BUBUR LAMBUK

UNIT Kokurikulum DESSO mengadakan majlis memasak bubur asyura dan bubur lambuk pada hari ini. Program yang bermula 7:00 pagi itu selesai sepenuhnya pada pukul 3:30 petang.



Program ini diadakan sebagai penutup kegiatan kokurikulum DESSO pada tahun ini, di samping menjadi aktiviti bagi pelajar Tingkatan 3 yang sedang menjalani Aktiviti Pasca-PT3.

Pelajar, guru dan pekerja sekolah terlibat dengan bergilir-gilir mengacau lima kawah asyura dan dua periuk besar bubur lambuk yang diadakan di pekarangan blok PPKI.

Kawah dibahagikan kepada rumah sukan Harimau, Garuda, Singa, dan Pelanduk, dan PIBG, manakala bubur lambuk disediakan oleh PPKI dan Tingkatan Enam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah pengetua dari sekolah yang berhampiran, termasuk Puan Hajah Noor Maziah A. Rahman, bekas pengetua DESSO yang kini berkhidmat di Sekolah Menengah Sains Dungun.

Bubur asyura dan bubur lambuk itu dibahagi-bahagikan kepada semua pelajar, guru, kakitangan sekolah, dan pekerja swasta.

Selasa, 4 September 2018

KEMBARA MERDEKA DESSO: PELAJAR DAN GURU BERBASIKAL

SELEPAS Perasmian Sambutan Kemerdekaan Ke-61 di Dataran Perhimpunan, sejumlah 100 orang pelajar dan guru berbasikal dalam Kembara Basikal Merdeka.


Peserta kayuhan merdeka dilepaskan di hadapan pintu pagar utama DESSO oleh Tuan Haji Zulkefly bin Mohd Rahim, Pengetua DESSO. Peserta melalui Terowong Bukit Tebuk sebelum keluar ke jalan Dungun-Kuala Terengganu, dan membelok ke Kampung Che Lijah.

Peserta yang diiringi oleh motosikal dan kereta peronda PDRM Dungun dan skuad motosikal Jabatan Pertahanan Awam Dungun berehat untuk sarapan di Masjid Che Lijah. Kemudiannya, peserta dibawa ke Makam Sultan Yahaya Siak, dan diberikan penerangan tentang Terowong Bukit Tebuk dan kisah Sultan Yahaya Siak oleh pegawai Muzium Daerah Dungun.

Turut berkayuh dalam program ini ialah Tuan Haji Zulkefly, Encik Apandi Harun, Penolong Kanan Kokurikulum, Tuan Haji Mazlan bin Mohd, Penolong Kanan Tingkatan 6, dan beberapa orang guru lagi.

Seterusnya, peserta kayuhan dibawa ke ladang mentimun dan jagung milik penduduk kampung di tebing Sungai Dungun. Dalam perjalanan pulang, mereka singgah sekali lagi di Masjid Che Lijah untuk makan tengah hari dan menunaikan sembahyang Zuhur. Semua peserta selamat sampai ke sekolah semula pada pukul 2:15 petang.

SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-61 DESSO 2018

WARGA DESSO menyambut Hari Kemerdekaan Ke-61 hari ini yang dirasmikan oleh Tuan Haji Zulkefly bin Mohd Rahim di Dataran Perhimpunan.



Majlis bermula dengan Kuiz Kemerdekaan yang disertai oleh pelajar Tingkatan 1 hingga Tngkatan 5. Kumpulan koir menyanyikan lagu "Negaraku", dengan gimik menurunkan bendera Union Jack dan menaikkan bendera Persekutuan Malaysia. Ini diikuti dengan gimik perasmian apabila Tuan Haji Zulkifley memecahkan ketulan ais untuk mendapatkan bendera Malaysia, dan kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Kadet Bersatu Malaysia, dan diikuti oleh laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.

Majlis juga diserikan dengan deklamasi sajak kemerdekaan oleh pelajar Melayu dan pelajar Cina., diikuti dengan pelajar Tingkatan 6 melakukan formasi membentangkan bendera gergasi yang memaparkan tema Hari Kemerdekaan, "Sayangi Malaysiaku".

Turut hadir ialah Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, SMKSO.

Selepas acara perasmian ini, pelajar dan guru akan mengikuti Kembara Basikal Merdeka, yang akan berkayuh ke Serdang, dan kembali ke sekolah.

Khamis, 2 Ogos 2018

TEMU MURNI IBU BAPA DAN GURU

UNIT Akademik DESSO menganjurkan Program Temu Murni Ibu Bapa dan Guru Tingkatan 1 hingga 5 di Dewan Warisan pagi ini.


Program yang melibatkan ibu bapa, guru dan pelajar yang berkenaan dirasmikan oleh Tuan Haji Zulkifley bin Abdul Rahim.

Ibu bapa dan penjaga pelajar yang hadir menerima slip keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun 2018 untuk anak masing-masing daripada guru tingkatan sambil mendapat maklumat tentang perkembangan pelajaran anak berkenaan.

Khamis, 12 Julai 2018

PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM DI D' PANGKALAN

UNIT beruniform DESSO mengadakan Perkhemahan Unit Beruniform di D' Pangkalan, Rantau Abang, selama tiga hari mulai pagi ini dan berakhir pada tengah hari 14 Julai 2018, Sabtu ini.


Perkhemahan ini disertai oleh 11 unit beruniform yang terdiri daripada kategori badan kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Badan kerajaan terdiri daripada Kadet Polis, Pasukan Bomba dan Penyelamat, dan Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Darat). Pasukan bukan kerajaan terdiri daripada Pandu Puteri, Renjer Puteri, Puteri Islam, Bulan Sabit Merah Malaysia, Pengakap, dan Kadet Remaja Sekolah. Selain itu, pasukan Pendidikan Khas Integrasi dan Tingkatan Enam turut mengambil bahagian. Keseluruhan peserta perkhemahan ini seramai 189 orang.

Dalam perkhemahan itu, setiap pasukan terlibat dengan riadah dan aktiviti keagamaan, di samping menyertai pertandingan pembinaan gajet, ikatan tali dan ikatan anduh, mencipta alat daripada bahan terbuang, kawad kaki dan persembahan kebudayaan. Selain itu, peserta juga akan menyertai aktiviti kembara rimba dengan mendaki Bukit Batu Penyu.

Perkhemahan dijangka akan ditutup secara rasmi oleh Tuan Haji Zulkifley bin Abdul Rahim, pengetua baharu DESSO. Beliau juga akan menyampaikan hadiah kepada pasukan dan individu yang memenangi pertandingan.

SELAMAT DATANG PENGETUA KE-25

DESSO menerima pengetua baharu apabila Tuan Haji Zulkifley bin Abdul Rahim diberikan sambutan rasmi di Dewan Warisan hari ini yang dihadiri oleh guru dan pelajar DESSO.


Pengetua DESSO ke-25 itu dihantar oleh barisan pengurusan SMK Balai Besar, sekolah terakhir yang dinakhodainya sebelum bertukar ke sekolah ini.

Tuan Haji Zulkifley dilahirkan di Teluk Lipat, Dungun. Beliau bersekolah di SK Laki-Laki Dungun, dan melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun.

Dalam ucapan pengenalannya, beliau menyatakan rasa bangga kerana dapat berkhidmat di sekolah pelbagai kaum dan telah mencatatkan pelbagai kejayaan di peringkat negeri, kebangsaan, dan antarabangsa.

LAMBAIAN UNTUK PUAN HAJAH NOOR MAZIAH

PUAN Hajah Noor Maziah binti A. Rahman yang bertukar ke Sekolah Menengah Sains Dungun diraikan dalam Majlis Lambaian Kasih bersama dengan pelajar pagi ini.


Dalam majlis itu, beliau dipersembahkan nyanyian dan deklamasi sajak perpisahan oleh pelajar Tingkatan Enam, dan menerima hadiah penghargaan daripada beberapa unit pelajar. Beliau tidak dapat menahan sebak apabila pelajar yang hadir mengucapkan terima kasih dan pelajar perempuan bersalam dengannya.

Selepas majlis itu, Puan Hajah Noor Maziah mengetik perakam waktu terakhir di sekolah ini, dan dihantar ke Sekolah Menengah Sains oleh barisan pengurusan DESSO.

Dalam perjalanan dari Pejabat Pengurusan dan Pentadbiran DESSO ke pintu pagar utama DESSO, beliau menerima lambaian kali terakhir daripada pelajar yang berbaris di kiri dan di kanan jalan.

Rabu, 11 Julai 2018

LAMBAIAN KASIH PERTUKARAN PUAN HAJAH NOOR MAZIAH

WARGA DESSO mengadakan Majlis Lambaian Kasih khas untuk meraikan pertukaran Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman yang diadakan di Dewan Warisan tengah hari ini.


Puan Hajah Noor Maziah mula berkhidmat di DESSO 24 Oktober 2016, menggantikan Encik Wan Su bin Wan Jaffar yang telah tamat perkhidmatan beberapa hari sebelum itu. Sebelum ini beliau merupakan Pengetua SMK Seri Paka, Dungun. Beliau ialah pengetua yang ke-24 DESSO semenjak penubuhan sekolah ini pada tahun 1959, dan merupakan pengetua wanita yang kedua selepas Puan Hajah Ainun Jamilah binti Mohd Ali yang berkhidmat pada tahun 1992. 

Beliau bertukar ke Sekolah Menengah Sains Dungun mulai minggu ini. Sebelum diraikan dalam majlis ini, beliau merasmikan Dataran Bonda dan Galeri Nilakandi Jauhari yang diusahakan semasa perkhidmatannya di sekolah ini.

Turut hadir dalam majlis meraikannya ialah wakil Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PIBG DESSO, wakil dari Bank Rakyat, dan beberapa orang wakil agensi luar yang terlibat dalam sarana sekolah.

Dalam majlis itu, Puan Hajah Noor Maziah disajikan dengan persembahan deklamasi puisi dan dendangan lagu yang disampaikan oleh Encik Suhaimi bin Mohd Salleh, Puan Nor Shadida binti Nor Rizen, dan Encik Ahmad Burham bin Ibrahim. Sebelum guru menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad, "Pelangi Petang", Puan Hajah Noor Maziah turut menyanyikan sebuah lagu kegemarannya.

Dalam majlis itu juga beliau menerima hadiah penghargaan daripada pelbagai unit kurikulum, kokurikulum, kakitangan swasta, dan agensi yang berkaitan dengan sekolah.

PERASMIAN DATARAN DAN GALERI DESSO

DUA buah prasarana baharu DESSO, dataran dan galeri, dirasmikan hari ini oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman hari ini di hadapan guru dan pelajar.


Dataran yang dirasmikan terletak di pintu masuk utama sekolah diberikan nama Dataran Bonda, dengan menara yang diletakkan replika buku dan dua buah jam. Mercu itu menjadi penanda bulatan yang menggambarkan identiti sekolah yang mementingkan usaha mendapatkan ilmu dan tidak membuang masa.

Galeri yang dirasmikan diberikan nama Galeri Nilakandi Jauhari yang terletak di blok di hadapan Pejabat Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah. Galeri menempatkan pelbagai bahan dan dokumen DESSO sejak mula penubuhan sekolah ini hingga yang terkini. Bahan dan dokumen itu memperlihatkan kejayaan dan maklumat tentang sekolah ini dalam pelbagai aspek.

Dataran Bonda diilhamkan oleh Encik Wan Ahmat bin Wan Manan, bekas Penolong Kanan Kolurikulum, manakala Galeri Nilakandi Jauhari diusahakan oleh Puan Hajah Noor Maziah sendiri semenjak mula menjadi pengetua pada hujung tahun 2016.


Perasmian kedua-dua prasarana itu dilakukan bersempena dengan pertukaran Puan Hajah Noor Maziah ke Sekolah Menengah Sains Dungun yang berkuat kuasa mulai minggu ini.

Khamis, 28 Jun 2018

SAMBUTAN AIDILFITRI WARGA DESSO

WARGA DESSO meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Sekolah hari ini yang diadakan di Dataran Perhimpunan Sekolah.


Untuk memeriahkan sambutan tersebut, pihak sekolah juga mengadakan jamuan kesyukuran, dengan menjemput ibu bapa pelajar turut menyertainya.

Setiap tingkatan, dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6, mempunyai gerai masing-masing. Mereka menyajikan kuih-muih mengikut pilihan masing-masing, dengan menu utamanya ialah nasi minyak dan sate ayam.

Di kaunter jamuan guru, kakitangan dan ibu bapa, terdapat juga laksa, bubur kacang, jala emas, dan lain-lain lagi.

Guru, kakitangan dan pelajar berpakaian Melayu, termasuk segelintir pelajar keturunan Cina, khususnya pelajar perempuan.

Pelajar yang bernasib baik juga menerima hadiah melalui acara cabutan bertuah.

Turut hadir ialah beberapa orang ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru, yang diketuai oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua, dan isteri.

Selasa, 26 Jun 2018

TEMPAT KETIGA KATEGORI DEKLAMASI SAJAK

WAKIL DESSO dalam Sayembara Puisi Sekolah Menengah Daerah Dungun memenangi tempat ketiga Kategori Deklamasi Sajak.


Pertandingan itu yang diadakan di Dewan Warisan DESSO disertai oleh 18 orang pendeklamator dari 18 buah sekolah menengah di daerah Dungun. 

Selain itu, Kategori Penyampaian Syair juga turut dipertandingkan.

Wakil dari SM Sains Dungun memenangi Kategori Deklamasi Sajak, manakala wakil dari SMK Tengku Intan Zaharah mengungguli Kategori Penyampaian Syair. Kedua-duanya akan mewakili daerah Dungun dalam pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan di SMK Pulau Serai, Dungun pada minggu hadapan. 

Rabu, 16 Mei 2018

ANUGERAH GURU INSPIRASI McDONALD'S 2018: ISTIMEWA PADA HARI GURU PERINGKAT SMK SULTAN OMAR TAHUN INI

GURU dan pelajar SMK Sultan Omar menyambut Hari Guru Peringkat Sekolah hari ini, setelah sambutan yang dijadualkan pada 13 Mei 2018 (Ahad) lalu ditangguhkan kerana hari tersebut diisytiharkan sebagai hari cuti khas kerajaan Persekutuan bersempena dengan Pilihan Raya Umum Ke-14.


Selepas majlis rasmi diadakan di Dataran Perhimpunan dan sarapan di kafe sekolah, guru dan pelajar berkumpul di Dewan Warisan untuk acara sukaneka dan persembahan pentas. Sedang majlis berlangsung, Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO mempersilakan Tuan Haji Mazlan bin Mohd, Penolong Kanan Tingkatan Enam, yang ketika itu sedang bermain dam. Suasana penuh kejutan apabila Pengetua mengumumkan bahawa Penolong Kanan Tingkatan Enam menerima sepucuk surat. Dalam ucapannya, Tuan Haji Mazlan yang tidak mengetahui hal yang sebenar menggambarkan bahawa beliau akan mematuhi arahan sekiranya diarahkan untuk bertukar.

Walau bagaimanapun, apabila surat dibuka, yang tercatat ialah beliau merupakan pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2018. Ketika itulah, rombongan dari Restoran McDonald's Dungun tiba ke pentas membawa hadiah untuk anugerah tersebut. Tuan Haji Mazlan mendapat tepukan gemuruh dan ucapan tahniah daripada pelajar dan guru yang sedang berada di Dewan Warisan.

Mengikut wakil McDonald's itu, Tuan Haji Mazlan merupakan seorang daripada 25 orang guru yang terpilih dari seluruh negara daripada 3000 pencalonan yang dikemukakan oleh bekas pelajar atau individu yang pernah berdamping dengan guru berkenaan.


Tuan Haji Mazlan dicalonkan oleh seorang bekas pelajar Tingkatan Enam SMKSO, Encik Mohd Azmerruddin bin Abdullah. Dalam catatan pencalonannya, Mohd Azmerruddin menjelaskan bahawa Tuan Haji Mazlan telah mengubah perangainya yang sangat nakal, menghisap rokok, dan tidak disukai oleh guru lain kepada keadaan yang sangat baik. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Pengawas. Pada masa yang sama, beliau telah "dibasuh" dengan nilai-nilai agama oleh gurunya itu, dan dihantar mengikuti beberapa program kepimpinan. Dengan tindakan gurunya itu, beliau berjaya dalam pelajaran, dan kini sedang berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru. Beliau memilih untuk menjadi warden asrama, dan dapat mendekati pelajar yang nakal di sekolahnya dan memberikan nilai agama kepada mereka seperti yang dilakukan bekas gurunya terhadapnya. Menurutnya, beliau melihat perubahan yang ketara dalam tingkah laku pelajar-pelajar tersebut sekarang.


Tuan Haji Mazlan menerima hadiah berupa wang tunai RM5000.00, trofi, dan sijil penghargaan daripada penganjur.

Pengurniaan anugerah tersebut merupakan anugerah paling istimewa bagi sambutan Hari Guru SMKSO pada tahun ini.


Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Tuan Haji Mazlan bin Mohd, yang menjadi kebanggaan kepada semua anggota pengurusan, guru, pelajar, dan kakitangan lain sekolah ini.




Ahad, 6 Mei 2018

KEHADIRAN IBU BAPA KE MAJLIS TEMU MURNI STPM PENGGAL 2 AMAT BAIK

JAWATANKUASA Projek Kecemerlangan STPM mengadakan Majlis Temu Murni STPM Penggal 2 di Bilik Mesyuarat Gemilang pagi ini.


Majlis tersebut mempertemukan ibu bapa dan penjaga pelajar dan pelajar Tingkatan 6 Atas yang akan menghadapi STPM Penggal 2 pada 22 hingga 24 Mei ini dengan guru-guru Tingkatan Enam.

Dalam majlis itu, ibu bapa dan pelajar didedahkan pencapaian sebenar dan potensi anak-anak masing-masing berdasarkan keputusan Peperiksaan Percubaan Penggal 2 yang diadakan pada minggu akhir bulan April lalu.

Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO dalam ucapannya berharap agar pelajar dapat meningkatkan usaha untuk membaiki keputusan walaupun masa sudah sangat suntuk.

Kehadiran ibu bapa dan penjaga ke majlis itu amat baik kerana tujuh orang ibu bapa sahaja yang tidak hadir kerana masalah atau urusan tertentu.

Isnin, 23 April 2018

LADAP TENTANG PENGURUSAN FAIL PANITIA

MAJLIS penjelasan tentang Pengurusan Fail Panitia dianjurkan oleh Unit Latihan dalam Perkhidmatan (Ladap) pada petang ini.


Dalam program itu, Encik Che Mohd Yusri bin Hashim, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Dato' Engku Bijaya Sura memberikan penjelasan tentang penggunaan fail dan pengurusannya berdasarkan ketetapan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Jemaah Nazir Negeri Terengganu.

Beliau menegaskan bahawa setiap panitia mata pelajaran, kecuali Panitia Pendidikan Islam, memadai mempunyai enam buah fail seperti surat arahan yang dikeluarkan sebelum ini. 

Menurutnya, fail pertama, iaitu Fail Pengurusan Panitia, sepatutnya berada di Bilik Fail Sekolah dan dikendalikan oleh pembantu tadbir yang ditugaskan oleh pihak sekolah. Jenis fail yang digunakan ialah fail kertas yang berwarna putih seperti yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia. Walau bagaimanapun, Ketua Panitia boleh menyimpan salinan fotostat daripada fail itu untuk kemudahan panita berkenaan. 

Menurutnya lagi, fail-fail lain adalah dalam simpanan panitia sendiri dan menggunakan fail keras. Fail keras tidak perlu diminitkan kandungannya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran DESSO, dan penolong-penolong kanan lain, serta guru-guru kanan mata pelajaran.

Ladap yang bermula pada pukul 2:30 petang itu berakhir pada pukul 4:50 petang.

Isnin, 16 April 2018

GURU DESSO TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2017

LAPAN orang guru dan seorang kakitangan DESSO adalah antara ratusan orang guru dan kakitangan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Dungun 2017 dalam majlis yang diadakan di Dewan Aspirasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun pagi ini.


Majlis perasmian dilakukan oleh Dato' Haji Din bin Adam, Pegawai Pembangunan Dungun.

Lapan orang guru DESSO itu ialah Encik Mohd Fazri bin Mohd, Encik Mohamad Zaidi bin Ibrahim, Encik Edy Murad bin Adnan, Puan Loh Chin Eng, Puan Ruhana binti Abd. Ghani, Puan Rosni binti Ibrahim, serta dua orang guru yang baru bersara, Puan Hajah Maziah binti Embong, dan Puan Hajah Rosnah binti Hashim. Kakitangan Pejabat Pentadbiran DESSO yang turut dianugerahi APC ialah Puan Zainon binti Ali.

Kesemuanya telah menerima surat pemberitahuan anugerah itu daripada Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman dalam Perhimpunan Mingguan Khas pada 11 Mac 2018 lalu.


KEM PENGAWAS DESSO DI RANTAU ABANG

PENGAWAS DESSO mengadakan Kem Pengawas selamat tiga hari, bermula pada 14 April 2015 hingga hari ini, 16 April 2018 di D' Pangkalan Resort, Rantau Abang.


Perkhemahan itu melibatkan 57 orang pengawas lelaki dan perempuan yang dikendalikan oleh Encik Nor Mohd Iqzarullah bin Abu Bakar sebagai Komandan Kem.

Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua DESSO, turut hadir untuk memberikan ceramah motivasi kepada peserta.

Aktiviti lain yang dijalankan ialah Pengurusan Majlis Rasmi dan Protokol yang diadakan sebelum majlis penutupan yang disempurnakan oleh Puan Suhaima binti Abdullah, Guru Kanan Mata Pelajaran Kemanusiaan.

Khamis, 12 April 2018

ANUGERAH KECEMERLANGAN LONJAKAN SAUJANA AKADEMIK DESSO 2017

DESSO menganjurkan Majlis Kecemerlangan Pendidikan 2017 di Dewan Warisan hari ini.


Dalam majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Dato' Haji Din bin Adam, Pegawai Pembangunan Dungun itu, seramai 48 orang pelajar dan 67 orang guru menerima anugerah kecemerlangan hasil daripada keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3, SPM dan STPM 2017.

Dalam majlis itu juga, Siti Nur Khairunnisa binti Suhardi diumumkan sebagai Tokoh Akademik PT3, sementara Nur Fatasha binti Azhar menjadi Tokoh Akademik SPM, dan Mohd Afham bin Mohd Yusof dipilih sebagai Tokoh Akadmik STPM. Dalam peperiksaan PT3, Siti Nur Khairunnisa memperoleh 10A, Nur Fatasha mendapat 6A+,1A, dan 2A- dalam SPM, dan Mohd Afham memperoleh gred purata 3.84 dengan pencapaian 2A dan 2A- dalam STPM.

Sementara itu, Anugerah Lompatan Saujana Gred Purata Guru dimenangi oleh Encik Shee Soon Yee bagi mata pelajaran Pendidikan Moral, dan Encik Muhammad Tarmizi bin Ali Afandi dan Tuan Haji Mohd Hanifuddin bin Salleh bagi mata pelajaran Matematik Tambahan. Anugerah Khas Pencapaian Gred Purata SPM Peringkat Negeri Terengganu diraih oleh Puan Azida binti Abd. Aziz untuk mata pelajaran Biologi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG, timbalan, dan beberapa orang AJK PIBG. 

Rabu, 28 Mac 2018

SANJUNGAN BUDI DAN LAMBAIAN KASIH UNTUK YANG BERSARA

MAJLIS khas untuk meraikan persaraan empat orang guru dan seorang kakitangan sekolah, Majlis Sanjungan Budi dan Lambaian Kasih, diadakan hari ini di Dataran Perhimpunan dan Dewan Warisan.


Majlis di Dataran Perhimpunan diadakan khusus untuk pelajar yang turut dihadiri oleh Tuan Haji Abdul Muie bin Ngah, Pegawai Pendidikan Daerah Dungun. Dalam majlis itu, setiap orang guru berkenaan memberikan ucapan kepada pelajar, di samping menerima hadiah daripada pelajar. Tuan Haji Abdul Muie turut menyampaikan Sijil Penghargaan Perkhidmatan daripada Kerajaan Malaysia kepada yang bersara.

Majlis bersama dengan guru yang disertai jamuan diadakan di Dewan Warisan, dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Guru yang bersara ialah Encik Wan Ahmat bin Wan Manan, Penolong Kanan Kokurikulum, yang bersara wajib pada 24 Mac 2018, dan Puan Hajah Maziah binti Embong, Guru Pendidikan Islam yang bersara pilihan pada 16 Februari 2018 yang lalu.

Sementara itu, dua orang guru lain yang akan bersara turut diraikan. Puan Hajah Rosnah binti Hashim, Guru Akademik Bahasa Melayu Tingkatan Enam akan bersara wajib pada 5 April 2018, dan Tuan Haji Ramli bin Musa, Guru Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling, akan bersara pilihan pada bulan Mei 2018 nanti.

Encik Wan Ahmat bin Wan Manan mula berkhidmat di DESSO pada 16 Julai 2011 sebagai Penolong Kanan Kokurikulum, manakala Puan Hajah Maziah binti Embong memulakan perkhidmatannya di sekolah ini pada 16 Januari 2014.

Puan Hajah Rosnah pula berkhidmat di sekolah ini pada 1 Mei 1994, sementara Tuan Haji Ramli memulakan perkhidmatannya di sekolah ini pada 16 Januari 2010.

Sementara itu, pembantu tadbir yang bersara ialah Puan Zainun binti Ali, yang memulakan perkhidmatannya di DESSO pada 16 Jun 2009, akan bersara pada 13 Mei 2018.

Khamis, 15 Mac 2018

SPM 2017 MENCIPTA LONJAKAN SAUJANA

CALON SPM 2017 DESSO mencipta lonjakan saujana apabila menunjukkan peningkatan yang ketara dalam beberapa kategori berbanding dengan keputusan tahun sebelumnya.


Yang paling membanggakan ialah lima orang calon mencatat kejayaan semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Jumlah ini bertambah empat orang berbanding dengan SPM 2016.

Pelajar paling cemerlang ialah Nur Fatasha binti Azhar yang memperoleh 6A+, 1A, dan 2A-. Pelajar lain ialah Loh Wen Qin dengan pencapaian 5A+, 4A, dan 1A-; Nurul Liyana binti Mohammad dengan keputusan 4A+, 1A dan 4A-; Chua Shuoh Shuan mendapat 4A+, 4A, dan 2A-; dan Fong Siau Qi dengan keputusan 1A+, 7A, dan 2A-.

Dalam majlis penyerahan slip keputusan yang diadakan khas secara ringkas di Dewan Warisan, kesemua pelajar ini menerima jambangan bunga dan wang tunai RM100.00 seorang, sumbangan secara spontan daripada Dato' Haji Din bin Adam, Pegawai Pembangunan Dungun. Mereka juga akan menerima hadiah lain semasa Hari Anugerah Kecemerlangan yang akan diadakan nanti.

Pencapaian gred purata memperlihatkan pencapaian tertinggi dalam tempoh limat tahun berikutan dengan perolehan 4.76, berbanding dengan 5.59 (2016), 5.25 (2015), 5.81 (2014), 5.37 (2013), dan 5.62 (2012).

Isnin, 12 Mac 2018

GURU DESSO TERIMA TABLET PERISIAN TUTOR UTUSAN MELAYU

GURU-GURU DESSO menerima sebuah tablet Lenovo Tab 7 Essential dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Bilik Mesyuarat Gemilang tengah hari ini.


Penyerahan tablet itu hasil daripada Projek Pembekalan Tablet dan Perisian Tutor Guru dan e-Paper oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam tablet itu dimuatkan dengan perisian Tutor Guru dan perisaan akhbar digital Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, dan Utusan Melayu secara percuma. Bersama dengan tablet itu disertakan juga kad perayauan telefon X Pax Celcom. 

Pihak sekolah melalui beberapa orang wakil menerima set tablet tersebut dalam satu majlis khas yang diadakan di SMK Pulau Serai, Dungun, semalam.

Ahad, 11 Mac 2018

LAPAN ORANG GURU DAN SEORANG PEMBANTU TADBIR TERIMA APC 2017

PENGETUA SMK Sultan Omar, Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman mengumumkan lapan orang guru menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2017 di hadapan pelajar dalam Perhimpunan Mingguan Khas pagi ini.


Inilah kali pertama guru yang menerima anugerah itu diumumkan secara terbuka, lebih-lebih lagi kepada pelajar.

Guru yang menerima anugerah itu ialah Encik Fazri bin Mohd, Encik Mohamad Zaidi bin Ibrahim, Puan Hajah Maziah binti Embong, Puan Hajah Rosnah binti Hashim, Puan Loh Chin Eng, Puan Ruhana binti Abd. Ghani, Puan Rosni binti Ibrahim, dan Encik Edy Murad bin Adnan.

Sementara itu, Puan Zainon binti Ali, pembantu tadbir, turut menerima APC 2017.

Penyampaian surat anugerah itu disempurnakan sendiri oleh Puan Hajah Noor Maziah, disaksikan oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG, guru, dan pelajar.

Selasa, 6 Mac 2018

MOHD AFHAM CALON TERBAIK STPM 2017

MOHD Afham bin Mohd Yusoff, pelajar Tingkatan 6 Gemilang Sesi 2017 muncul calon terbaik STPM SMK Sultan Omar dengan memperoleh 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017.


Dalam keputusan yang diumumkan hari ini, Mohd Afham mendapat 2A dan 2A- dengan gred puratanya 3.84 mata.

Dengan kejayaannya itu, beliau antara pelajar STPM 2017 yang akan menerima hadiah khas daripada kerajaan negeri Terengganu dalam majlis di SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu hari Khamis ini.

Selain Mohd Afham, 16 orang pelajar lain turut mencatat kejayaan cemerlang, dengan memperoleh merit 3.0 dan ke atas.

Dalam majlis ringkas sempena dengan pengumuman keputusan itu di Bilik Mesyuarat Gemilang DESSO tengah hari ini, kesemua 17 orang pelajar cemerlang itu menerima sijil kecemerlangan masing-masing daripada Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO.

Kesemuanya akan diberikan cenderamata penghargaan dalam Perhimpunan Mingguan Khas pada hari Ahad ini.

Isnin, 5 Mac 2018

PERHIMPUNAN PERPISAHAN USTAZ GHAZALI

SATU perhimpunan khas diadakan hari ini untuk program perpisahan Tuan Haji Ghazali bin Abdullah dengan pelajar-pelajar DESSO.


Tuan Haji Ghazali bertukar ke Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun dan menjawat jawatan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah baharu itu. Beliau menerima surat pertukaran dan kenaikan pangkat itu pada minggu lepas.

Tuan Haji Ghazali mula bertugas di sekolah ini pada 20 April 2005 setelah bertukar dari SMK Teja Putra, Dungun. Oleh itu, beliau telah bertugas di bawah pentadbiran lima orang Pengetua, iaitu Encik Ab Malik bin Musa Dali (Allahyarham), Encik Abdul Rahman bin Husin, Tuan Haji Md. Zain bin Muda, Encik Wan Su bin Wan Jaffar, dan Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman.

Pada akhir majlis, Tuan Haji Ghazali bersalam dengan semua pelajar lelaki Islam dan bukan Islam.

Khamis, 1 Mac 2018

SUMUR MODUL BERBUDI BAHASA DAN PENAMPILAN DIRI

UNIT HAL EHWAL MURID DESSO mengadakan Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Modul Berbudi Bahasa dan Penampilan Diri hari ini.


Kedua-dua modul melibatkan semua pelajar Islam dan bukan Islam yang dijalankan serentak di Surau Al-Ikhlas dan Dewan Warisan. Tiga slot disediakan untuk memenuhi keperluan kedua-dua modul itu.

Program bermula dengan pelajar Islam mengikuti acara bacaan Surah Yasin, sembayang hajat berjemaah, dan sembahyang sunat duha di Surau Al-Ikhlas, manakala pelajar bukan Islam diisi dengan program yang dikendalikan oleh Encik Shee Soon Yee di Dewan Warisan.

Slot kedua ialah Ceramah tentang budi bahasa disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Hanifuddin bin Salleh dan Tuan Haji Ghazali Abdullah di Surau Al-Ikhlas. Program di Dewan Warisan pula dijalankan ceramah kesihatan daripada pegawai kesihatan dari Klinik Kuala Dungun tentang talasemia untuk mengisi slot Modul Penampilan Diri.

Slot ketiga diisikan dengan ceramah "Remaja Cemerlang Sahsiah Unggul" yang disampaikan oleh Ustaz Taufik dari SMK Bukit Besi di Surau Al-Ikhlas, manakala pelajar bukan Islam mengikuti tayangan filem yang bertemakan budi bahasa dan penampilan diri di Dewan Warisan.

Selasa, 27 Februari 2018

PROGRAM AMALAN GURU PENYAYANG DILANCARKAN HARI INI

UNIT Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling DESSO melancarkan Amalan Guru Penyayang dan #Sekolah dalam Perhimpunan Kokurikulum di Medan Perhimpunan pagi ini.


Program itu dilancarkan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua DESSO. Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Encik Chong Yep Kin.

Dalam majlis itu, penyampaian hadiah hari lahir kepada pelajar dan guru disempurnakan oleh Puan Hajah Noor Maziah. Kemuncak majlis ialah acara memotong kek hari lahir.

Selain itu, dalam majlis itu, dilancarkan juga #Sekolah, iaitu Hati yang Bersih, Amalan Baik, Cemerlang Prestasi.

Sabtu, 24 Februari 2018

AJK PIBG DIKEKALKAN UNTUK SATU SESI LAGI

KESEMUA ahli jawatankuasa ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) DESSO dikekalkan dalam Mesyuarat Agung PIBG Ke-41 yang diadakan pada hari ini.


Pengekalan itu yang dicadangkan oleh ahli PIBG memperlihatkan Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua sesi 2016-2017, Encik Chong Yep Kin, Naib Yang Dipertua sesi 2016-2017 dikekalkan untuk tempoh 2018-2019.

Turut dikekalkan ialah ahli jawatankuasa dari kalangan ibu bapa, iaitu Encik Rashid bin Abu Bakar, Encik Rosdi bin Harun, Puan Marizah binti Mat Baru, Puan Hasnah binti Haji Abbas Khutty, Dr. Sharifah Fauziah binti Syed Draman, Encik Arif Tan bin Abdullah, dan Puan Khun Wan Pin.

Walaupun begitu, mesyuarat memilih dua orang Pemeriksa Kira-kira yang baharu, iaitu Puan Noraini binti Kamaruddin dan Encik Zainuddin bin Zakaria.

Ahli jawatankuasa dari kalangan guru akan dilantik oleh Pengetua DESSO sendiri.

Mesyuarat agung tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Din bin Adam, Pegawai Pembangunan Dungun.

Sementara itu, ibu bapa yang hadir didedahkan dengan sistem Persekitaran Pembelajaran Maya atau lebih dikenali dengan Virtual Learning Environmet (VLE) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain mengikuti majlis perasmian dan mesyuarat, ahli-ahli PIBG dari kalangan ibu bapa dan guru yang bernasib baik telah memenangi hadiah cabutan bertuah.

Rabu, 14 Februari 2018

MAJLIS PERSARAAN USTAZAH HAJAH MAZIAH EMBONG

KELAB Guru dan Kakitangan dan Pengurusan DESSO mengadakan majlis ringkas untuk meraikan persaraan Puan Hajah Maziah binti Embong, Guru Pendidikan Islam, di Bilik Mesyuarat Gemilang DESSO tengah hari ini.


Puan Hajah Maziah yang akan bersara awal pada 16 Februari 2018, memulakan karier keguruannya pada 8 Januari 1991. Beliau berkhidmat di DESSO mulai 16 Januari 2014.

Beliau memegang jawatan Pengerusi Panitia Pendidikan Islam yang banyak terlibat dengan program seperti pelaksanaan Minggu Adab yang diadakan di sekolah ini pada awal sesi persekolahan mulai 2016. Tugas besar terakhirnya yang baru dilaksanakan ialah Pelancaran Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) bagi tahun 2018 semalam.

Dalam ucapannya, Puan Hajah Maziah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama pengurusan sekolah dan rakan-rakan guru yang memastikan beliau dapat menjalankan tugas dengan lancar.

Selepas mengetik kad perakam waktu terakhirnya, beliau dihantar pulang oleh guru-guru dan menerima lambaian terakhir daripada pelajar DESSO yang berbaris di sepanjang jalan dari Pejabat Pengurusan DESSO hingga pintu pagar utama sekolah.

Beliau dijadualkan akan diraikan sekali lagi dalam majlis persaraan bersama dengan beberapa orang guru lagi. Majlis dijadualkan akan diadakan pada 28 Mac 2018.