Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Ahad, 25 Julai 2021

PELAJAR SEMESTER 1 MENDAFTAR

PELAJAR Tingkatan 6 Bawah mendaftar melalui talian hari ini untuk memulakan pengajian Tingkatan 6 di SMK Sultan Omar.

Menurut Guru Penyelaras Tingkatan 6, Encik Ahmad Hamdany, 74 orang pelajar sudahpun mengesahkan untuk mengikuti pengajian itu. Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan pelajar tersebut akan meninggalkan pengajian Tingkatan 6 kerana mendapat tawaran lain oleh Unit Pusat Universiti. Selain itu, menurutnya lagi, beberapa orang pelajar yang membuat rayuan akan mendaftar dalam tempoh terdekat.

SMKSO menerima pelajar dari SMK Sultan Omar, SMK Seri Dungun, SM Agama Sultan Ismail, SMK Kompleks Padang Jambu, SMK Pulau Serai, dan SMK Kompleks Rantau Abang, selain beberapa orang yang bertukar dari sekolah lain.

Pelajar yang mendaftar mengikuti Orientasi Ringkas dalam talian pada hari ini, dengan pengenalan ringkas tentang pengajian Tingkatan 6, dan mengenali guru-guru Tingkatan 6. Sebelum itu, mereka mengikuti ceramah motivasi yang disampaikan oleh Puan Mashitah binti Hassin, Guru Kaunseling SMKSO. 

Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO, menyampaikan ucapan utama hari ini. Beliau mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu dan menegaskan bahawa mereka memilih laluan yang betul untuk ke universiti kerana laluan STPM mempunyai pelbagai keistimewaan berbanding dengan laluan lain.

Pelajar 6 Bawah ini merupakan pelajar Semester 1 Sesi 2022. Mereka akan mengikuti majlis bersama dengan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun yang dijadualkan akan diadakan pada 28 Julai 2021 (Rabu) ini.

Rabu, 7 Julai 2021

DUA ORANG GURU NAIK PANGKAT BERTUKAR

BERKUAT kuasa hari ini, dua orang guru penolong DESSO menyertai senarai barisan guru pengurusan sekolah apabila masing-masing dinaikkan pangkat dan bertukar ke sekolah lain.

Cikgu Haji Mohd Hanifuddin bin Salleh, guru mata pelajaran Matematik, menggalas tugas baharu, Ketua Bidang Sains dan Matematik di SMK Seri Paka. Seorang lagi guru, Cikgu Zainun binti Husain, dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bidang Bahasa di SMK Seri Rasau.


Cikgu Haji Mohd Hanifuddin mula bertugas di SMKSO pada 1 Januari 2009, manakala Cikgu Zainun bertukar dari SMK Tengku Intan Zaharah ke SMKSO pada bulan Januari 2019.

Khamis, 1 Julai 2021

STPM 2020 DESSO CEMERLANG

PENCAPAIAN STPM SMK Sultan Omar bagi sesi 2020 cemerlang dengan kelulusan 96.77% berserta dengan catatan kejayaan dalam beberapa kategori. Keputusan keseluruhan STPM 2020 diumumkan hari ini pada pukul 12:00 tengah hari.

Paling cemerlang ialah pencapaian Yusra Radhiah binti Ridzuan, pelajar Tingkatan 6 Atas Cemerlang, dengan memperoleh PNGK 4.00 setelah memperoleh A dalam semua empat mata pelajaran yang diambil, berada dalam barisan 55 orang pelajar terbaik STPM di negeri Terengganu. Pencapaian PNGK 4.00 ini menyamai pencapaian seorang calon STPM 2014.

Di peringkat Daerah Dungun, SMKSO menduduki tempat ketiga dengan pencapaian gred purata 3.18, berkongsi kedudukan dengan SMK Durian Mas. SMK Paka menduduki tempat teratas dengan nilai PNGK 3.23. Selain itu, mata pelajaran Sejarah yang memperoleh gred purata 3.32 menjadi satu-satunya mata pelajaran yang dapat mengatasi pencapaian sekolah lain di daerah Dungun.

Dengan pencapaian PNGK 3.18, SMKSO menduduki tempat ke-10 di peringkat negeri Terengganu bagi kategori Sekolah PNGK 3.0 Ke Atas, satu kedudukan di bawah SMK Tengku Intan Zaharah yang memperoleh PNGK 3.19. Selain itu, SMKSO merupakan antara 10 buah sekolah yang memperoleh Pencapaian Semua A Penuh dan Semua A (A dan A-) Tertinggi, dengan kedudukan pada tempat ke-10.

Selain Yusra dengan pencapaian 4A penuh, tiga orang pelajar lain memperoleh keputusan semua A, iaitu Nor Shaliha binti Muhyiddin (3A, 1A-) dengan PNGK 3.92, Nur Umairah binti Ahmad Yusri (3A, 1A-) dengan PNGK 3.92, dan Nurul Bashirah binti Mohammad (1A, 3A-) dengan PNGK 3.75.





Kumpulan yang dikenali sebagai Batch Ibnu Sina ini juga menampilkan 22 orang calon yang mendapat 3.0 ke atas.