Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Isnin, 19 Disember 2016

LAPAN ORANG CALON PT3 2016 MEMPEROLEH SEMUA A (10A)

19 DISEMBER 2016 (ISNIN) - Lapan orang calon PT3 2016 memperoleh semua A dalam peperiksaan tersebut yang diumumkan di Dewan Warisan pada pukul 10:00 pagi tadi.


Pencapaian lapan orang calon dengan keputusan 10A itu merupakan peningkatan seramai lima orang berbanding dengan tiga orang yang mendapat keputusan yang sama dalam PT3 2015.

Calon-calon tersebut ialah Chow Wen Xuan, Loh Hong Run, Tan Yue Jian, Aw Tjia Tjie, Ong Qi Wen, dan Tan Pei Qin dari 3 Primie, serta Aleeya Shafeena binti Suhaimizan, dan Seow Ming Jie dari 3 DESSO 1.

Selain itu, tiga orang calon mendapat 9A, seorang mendapat 8a, lima orang mendapat 7A, dan 14 orang memperoleh 6A.

Pencapaian tersebut diumumkan oleh Encik Ruslan bin Haji Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik. Pada kali ini DESSO mengemukakan 144 orang calon yang mengambil peperiksaan tersebut pada bulan Oktober lalu. 

Ahad, 18 Disember 2016

DESSO RAIH ENAM ANUGERAH KECEMERLANGAN PENDIDIKAN PPD DUNGUN 2016

18 DISEMBER 2016 (AHAD) - DESSO mendapat enam anugerah daripada tiga kategori anugerah semasa Hari Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun yang diadakan di Dewan Aspirasi, UiTM Terengganu Kampus Dungun pada petang ini.


Dalam kategori Anugerah Pengurusan, DESSO memperoleh Anugerah Pengurusan PBS Terbaik Sekolah Menengah. Anugerah diterima oleh Encik Mazlan bin Mohd, Penolong Kanan Tingkatan Enam. Dalam kategori Anugerah Khas PPD, DESSO mendapat Anugerah Audit Tanpa Teguran - Cemerlang, yang diterima oleh Encik Ruslan bin Haji Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran. DESSO juga menerima Anugerah Pencapaian Peringkat Kebangsaan, yang diterima oleh Encik Wan Mohd Yusoff bin Wan Mohamad, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Selain itu, dalam kategori Anugerah Khas PPD, tiga orang guru menerima anugerah individu. Tuan Haji Mohd Zin bin Ibrahim menerima Anugerah Guru PT3 Berwibawa, Puan Siti Kamariah binti Mad Yunus menerima Anugerah Guru Setiausaha PBS Berwibawa Sekolah Menengah, dan Encik Suhaimi bin Mohd Salleh menerima Anugerah Guru Koakademik Berwibawa Sekolah Menengah.

Majlis Hari Anugerah PPD Dungun Ke-6 ini disempurnakan perasmian dan penyampaian anugerah oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Din bin Adam, Pegawai Pembangunan Dungun, mewakili Yang Berusaha Tuan Haji Ahmad Kamel bin Munin, Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Malaysia.

Isnin, 24 Oktober 2016

PENGETUA BAHARU DESSO BERSAMA DENGAN PELAJAR

24 OKTOBER 2016 (ISNIN) - Pengetua DESSO yang ke-24, Puan Hajah Noor Maziah binti A Rahman, melaporkan diri hari ini dengan mengadakan pertemuan dengan pelajar DESSO dalam satu majlis khas di Medan Perhimpunan.


Puan Hajah Noor Maziah diiring oleh kumpulan kompang dan bunga manggar dan pengurusan sekolah dari pejabat sekolah ke Medan Perhimpunan.

Dalam ucapan sulungnya kepada pelajar, beliau melahirkan rasa bangga kerana dapat berkhidmat di sekolah yang lebih besar daripada sekolahnya sebelum ini. Beliau yakin bahawa pelajar sekolah ini mampu menjadi pelajar yang cemerlang.

Selepas ucapannya, beliau menerima jambangan bunga daripada Ketua Pelajar Perempuan, Nurul Aminah binti Jusoh, sebelum bersalam dengan pelajar perempuan.

Kedatangan Puan Hajah Noor Maziah dihantar oleh barisan pengurusan SMK Seri Paka. Beliau mula menjawat jawatan Pengetua mulai 31 Disember 2015 di SMK Seri Paka. Sebelum itu, beliau merupakan Penolong Kanan Pentadbiran di SMK Teja Putra (1 September 2007 hingga 16 Februari 2009), SMK Seri Rasau (17 Februari 2009 hingga 31 Januari 2015), dan SMK Balai Besar (1 Februari 2015 hingga 29 Disember 2015).


ENCIK WAN SU BERSARA

20 OKTOBER 2016 (KHAMIS) - Pengurusan SMKSO mengadakan Majlis Sanjungan Budi Wan Su bin Wan Jaffar sempena dengan persaraan Pengetua SMKSO itu pada hari ini.





Majlis bermula dengan ucapan Encik Wan Su kepada pelajar dan penyampaian hadiah daripada pelajar di Medan Perhimpunan. Selepas itu, Encik Wan Su dan guru-guru mengikuti majlis khas bersama dengan dif jemputan dari kalangan Pengetua dan Guru Besar di Dewan Warisan. 

Kemuncak keraian ialah majlis jamuan di Hotel UiTM, Dungun. Majlis secara bersama dengan Jamuan Akhir Tahun Kelab Guru dan Kakitangan itu diserikan dengan acara penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.

Encik Wan Su bin Wan Jaffar mula berkhidmat sebagai Pengetua di DESSO pada 1 Jun 2014 menggantikan Tuan Haji Md Zain bin Muda. Pengetua DESSO ke-23 itu pernah berkhidmat di SMKSO sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid pada 1 Januari 2007 hingga 30 Mei 2011, sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pengetua dengan berkhidmat di SMK Pulau Serai.


Ahad, 25 September 2016

MOTIVASI PENGETUA DAERAH DUNGUN KEPADA CALON SPM


25 SEPTEMBER 2016 (AHAD) -  Pelajar-pelajar Tingkatan Lima mengikuti Program Motivasi Bersama dengan Pengetua Daerah Dungun di Dewan Warisan pagi ini.

Tiga orang pengetua yang terlibat ialah Encik Che Rashid bin Sulong, Pengetua SMK Sura, Tuan Haji Mohd Inderam bin Yaacob, Pengetua SMK Pulau Serai, dan Puan Hajah Rosmani binti Besar, Pengetua SMK Paka.

Turut berada di Dewan Warisan ialah Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Ruslan bin Haji Ismail, yang kemudiannya menyampaikan cenderamata kepada ketiga-tiga orang pengetua tersebut.

Program itu dilaksanakan untuk memberikan semangat kepada pelajar-pelajar yang akan menghadapi SPM pada awal November ini. 


Khamis, 11 Ogos 2016

NAZIR BAI'AH DATANG MEMBUAT PENILAIAN

11 OGOS 2015 (Khamis) -  SMKSO dikunjungi oleh Jemaah Nazir Negeri Terengganu melakukan pemantauan dan pencerapan berkaitan dengan Program Tawaran Baharu hari ini.



Empat orang nazir, yang diketuai oleh Tuan Haji Kamaruzaman bin Daud, yang merupakan Nazir Kanan, serta Encik Azawi bin Jusoh, Encik Arizuan bin Ali, dan Encik Wan Sanazi bin Ali, ketiga-tiganya Nazir Sekolah melakukan pemantauan terhadap fail dan dokumen sekolah, serta melakukan pencerapan terhadap empat orang guru, termasuk Pengetua, Encik Wan Su bin Wan Jaffar.

Program Tawaran Baharu Kementerian Pendidikan Malaysia itu, yang lebih dikenali sebagai Bai'ah dilakukan berdasarkan prestasi sekolah yang melepasti tahap kecemerlangan yang ditetapkan. SMKSO dipilih mungkin berdasarkan pencapaian yang meningkat dalam bidang akademik bagi sesi 2015.

Guru-guru SMKSO telah menunggu kehadiran pegawai-pegawai kualiti itu semenjak hari Ahad lalu setelah dimaklumkan bahawa mereka akan hadir pada minggu ini. Walau bagaimanapun, persiapan untuk menyambut kedatangan mereka telah dibuat semenjak hampir sebulan lalu.

Keempat-empat orang nazir itu tiba di SMKSO pada pukul 7:40 pagi, dan meninggalkan sekolah pada pukul 2:20 petang.  

Khamis, 14 Julai 2016

SELAMAT MENYAMBUT AIDILDITRI, SEMUA WARGA SMKSO

14 JULAI 2016 (Khamis) - SMKSO mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Sekolah di Dataran PPKI mulai 9:00 pagi hari ini.


Sambutan tersebut yang melibatkan semua warga sekolah, termasuk kakitangan swasta, diserikan dengan nyanyian lagu-lagu hari raya daripada Band SMKSO yang diselaraskan oleh Penolong Kanan Kokurikulum, Encik Wan Ahmat bin Wan Manan.

Makanan disediakan mengikut tingkatan, yang dikendalikan oleh pelajar Tingkatan Enam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai SISC+ dari Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, yang merupakan bekas Pengetua SMKSO.

Isnin, 16 Mei 2016

"KEMBALI KE SEKOLAH" TEMA PAKAIAN GURU MENYAMBUT HARI GURU KALI INI

16 MEI 2016 (Isnin) - Guru SMK Sultan Omar menyambut Hari Guru Peringkat Sekolah tahun ini  dengan sedikit kelainan. Dengan menggunakan tema "Kembali ke Sekolah", pelajar teruja melihat guru-guru memakai pakaian sekolah seperti yang dipakai oleh pelajar.


Sambutan bermula di Medan Perhimpunan Sekolah, dengan ucapan daripada Ketua Pelajar, Saudara Mohd Fakhrul Hakimin bin Mokhtar, diikuti dengan bacaan perutusan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Menteri Besar Terengganu, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, dan Menteri Pendidikan Malaysia.

Guru menyanyikan lagu "Guru Malaysia" dan lagu tema Hari Guru 2016, "Guru Pembina Negara Bangsa". Kemudiannya, guru melafazkan ikrar yang diketuai oleh Encik Mohd Tirmizi, dan diakhiri dengan acara memotong Kek Hari Guru.

Turut hadir ialah ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Selepas guru bersarapan di kantin, diadakan pertandingan memasak, diikuti dengan acara di dalam dewan. Pelajar Pendidikan Khas Integrasi mengadakan dua persembahan, serta persembahan dikir barat.




Rabu, 4 Mei 2016

PELAJAR ENAM BAWAH MENDAFTAR

4 MEI 2016 (Rabu) - SMK Sultan Omar mendapat warga baharu apabila sekumpulan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 mendaftar sebagai pelajar Tingkatan Enam Bawah pada pagi ini.


Pendaftaran dilaksanakan oleh guru-guru Tingkatan Enam, dengan sokongan daripada Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kauneling DESSO.

Seramai 52 orang pelajar mendaftar sehingga tengah hari. Mereka mendapat taklimat awal daripada Penolong Kanan Tingkatan Enam, Encik Mazlan bin Mohd. Pelajar-pelajar itu akan mengikuti Program Suai Kenal hingga 12 Mei 2016 nanti.

Pelajar yang mendaftar akan mengikuti pengajian Penggal 1 bagi mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Pengajian Perniagaan atau Ekonomi, dan MUET. Kumpulan ini merupakan kumpulan keempat yang mengikuti pengajian STPM sistem baharu yang dilaksanakan berasaskan sistem di kolej dan universiti.

Khamis, 28 April 2016

SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ DAN AMALI SEMBELIHAN

28 APRIL 2016 (Khamis) - PANITIA Pendidikan Islam dengan kerjasama Surau al-Ikhlas menganjurkan Program Israk Mikraj di Surau al-Ikhlas pagi ini.


Program diadakan selepas bacaan Surah Yasin dan sembahyang hajat yang biasa diadakan pada pagi Khamis, dengan Ceramah Israk Mikraj yang disampaikan oleh penceramah jemputan.

Selepas ceramah itu, pelajar Tingkatan Empat melaksanakan Program Sembelihan. Sepuluh ekor ayam dan dua ekor arnab disembelih oleh pelajar dengan tunjuk cara dan bimbingan daripada Tuan Haji Ghazali bin Abdullah dan Tuan Haji Ramli bin Musa.

Isnin, 18 April 2016

BIDANG BAHASA MENGANJURKAN MINGGU BAHASA

18 APRIL 2016 (Isnin) - Bidang Bahasa menganjurkan Minggu Bahasa DESSO mulai hari ini yang melibatkan gabungan aktiviti daripada Panitia Bahasa Melayu, Panitia Bahasa Inggeris, Panitia Bahasa Cina, dan Panitia Bahasa Perancis.


Program yang berlangsung hingga 20 April 2016 (Rabu) itu menampilkan aktiviti kebahasaan dan pementasan pameran, yang melibatkan pertandingan, pameran, jualan, tayangan gambar, dan aktiviti memanah.

Semua aktiviti berpusat di blok Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat, dengan pentas utama disediakan khas di antara dua blok tersebut. 

Program ini merupakan aktiviti besar yang diadakan di DESSO, sebagai menggantikan Festival Pendidikan DESSO yang diadakan dua tahun lepas dan juga dua tahun sebelumnya.


Ahad, 17 April 2016

PSS MELANCARKAN PROGRAM NILAM

17 APRIL 2016 (Ahad) - Pusat Sumber Sekolah (PSS) melancarkan Program NILAM 2015 dalam majlis khas di Dataran Perhimpunan pagi ini.


Pelancaran disempurnakan oleh Pengetua SMKSO, Encik Wan Su bin Wan Jaffar di hadapan semua pelajar yang hadir semasa perhimpunan tersebut.

Guru Perpustakaan dan Media, Puan Norashila menjelaskan hal program NILAM yang melibatkan aktiviti membaca.

Majlis pelancaran diisi dengan pengenalan buku baharu yang terdapat di perpustakaan dan kuiz spontan yang dikendalikan oleh Puan Hartini, dan nyanyian lagu NILAM.


Isnin, 28 Mac 2016

MESYUARAT AGUNG PIBG KE-39

26 MAC 2016 (SABTU) - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sultan Omar mengadakan mesyuarat agung ke-39 pada hari ini.


Dalam mesyuarat tersebut, Yang Dipertua sesi 2015/2016 mengekalkan jawatannya dengan persetujuan sebulat suara. Walaupun begitu, Naib Yang Dipertua melepaskan jawatannya dan digantikan oleh orang baharu.

Mesyuarat yang diadakan di Dewan Warisan itu dirasmikan oleh Encik Zulkifli bin Harun, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Dungun, yang mewakili Puan Hajah Zainun binti Abu Bakar, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura.

Encik Zulkifli mengumumkan peruntukan RM1,000.00 yang diluluskan oleh Puan Hajah Zainun untuk aktiviti PIBG, manakala peruntukan lain boleh dipohon melalui Penyelaras DUN Sura tersebut berdasarkan keperluan.

Dalam ucapan sebelumnya, Encik Wan Su bin Wan Jaffar, Pengetua SMK Sultan Omar melahirkan kebanggaan terhadap calon PT3, SPM dan STPM 2015 yang telah mencatatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan masing-masing. Tiga orang pelajar PT3 mendapat semua A, manakala tujuh orang pelajar SPM mendapat semua A, yang merupakan pencapaian terbaik dalam kalangan sekolah menengah harian di Terengganu. Calon STPM 2015 pula buat pertama kali mencatat keputusan 100% lulus, dengan melepasi nilai gred purata keseluruhan (NGPK) purata kebangsaan.

Pada akhir majlis, ibu bapa dan guru yang hadir berpeluang mendapat hadiah daripada program cabutan bertuah.

Selepas majlis perasmian berakhir, ibu bapa dan penjaga mengambil slip keputusan TOV PT3, SPM dan STPM untuk anak masing-masing.

Jumaat, 4 Mac 2016

SPM 2015 TURUT CEMERLANG DENGAN TUJUH ORANG CALON MEMPEROLEH SEMUA A

3 MAC 2016 (KHAMIS) -  Setelah calon STPM 2015 lulus seratus peratus dan mendapat nilai gred purata keseluruhan (NGPK) 2.70 yang mengatasi NGPK kebangsaan, hari ini calon SPM 2015 menambahkan keceriaan dalam kalangan warga SMK Sultan Omar apabila mencatat keputusan gemilang dengan gred purata sekolah (GPS) 5.43, mengatasi pencapaian tahun 2014.


Tujuh orang calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diduduki. Nur Hanina binti Rusli , Priss Se Shu Hui (8A+, 1A), dan Wong Syu Ying masing-masing memperoleh 8A+ dan 1A, manakala Yeow Jia En meraih keputusan 7A+, 2A, dan 1A-, Rachel Loh Yin Hee mendapat 4A+, 3A, dan 3A-, Soh May Ting mendapat 3A+, 3A, dan 4A-, dan Ng Kai Sheng memperoleh 2A+, 7A, dan 1A-.

Daripada 197 orang calon yang menduduki peperiksaan, 158 orang calon (80.20%) layak mendapat sijil, manakala 52 orang calon (41.62%) lulus dalam semua mata pelajaran, dan seorang calon (0.51%) gagal dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Laman SMK Sultan Omar difahamkan bahawa pencapaian tujuh orang calon mendapat semua A merupakan yang terbaik dalam kategori sekolah menengah harian di Terengganu.

Keputusan tersebut turut mencatatkan empat orang calon mendapat 10A, 5 orang calon mendapat 9A, seorang calon mendapat 8A, dan dua orang calon memperoleh 7A.

Slip keputusan dan sijil penghargaan kejayaan kepada calon-calon cemerlang itu diserahkan oleh Pengetua SMKSO, Encik Wan Su bin Wan Jaffar, yang turut dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Daerah Dungun, Tuan Haji Din bin Adam, Pegawai Seranta Yayasan Pelajaran Mara Terengganu, Tuan Haji Mahusin bin Taib, Yang Dipertua PIBG, Tuan Haji Mokhtar bin Omar, dan Timbalan Yang Dipertua PIBG.

Tuan Haji Din bin Adam turut menyerahkan sumbangan peribadi kepada ketujuh-tujuh orang pelajar terbaik tersebut. Walau bagaimanapun, dua orang daripada calon cemerlang diwakili oleh bapa masing-masing.

Khamis, 3 Mac 2016

CALON STPM 2015 MEMPEROLEH KELULUSAN 100 PERATUS

2 MAC 2016 (RABU) - Sekiranya pada tahun lalu, Tengku Nofazila mencatat kejayaan peribadi dalam peperiksaan STPM 2014 yang menjadi calon pertama DESSO memperoleh A dalam semua mata pelajaran, dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00, pada tahun ini, calon-calon STPM 2015 mencatat kejayaan bersama apabila menghadiahkan kelulusan 100 peratus kepada SMK Sultan Omar, juga buat pertama kalinya semenjak Sistem STPM Modular diperkenalkan pada tahun 2013.


Sembilan orang calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas, iaitu Mohd Amin bin Che Aziz (3.67), Siti Nor Aisah binti Abd. Aziz (3.58), Nur Azizati binti Zawawi (3.58), Aina Khairunnisa binti Hassan (3.50), Muhammad Firdaus bin Muda (3.42), Nor Syafiqah binti Rasidin (3.25), Khairunn Najihah binti Mazlan (3.17), Mohd Helmi bin Omar (3.00), dan Nor Fatihah binti Mohammad (3.00).

Dengan kejayaan memperoleh 2A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, dan 2B+ bagi mata pelajaran Pengajian Am dan Pengajian Perniagaan, Mohd Amin bin Che Aziz muncul sebagai pelajar terbaik. Mohd Amin juga mencatat sejarah sebagai pelajar lelaki pertama mendapat gelaran itu, kerana pelajar terbaik pada tahun 2013 dan 2014 merupakan pelajar perempuan.

Seramai 23 orang calon menduduki peperiksaan STPM 2015, yang meliputi peperiksaan Penggal 1, Penggal 2, dan Penggal 3.

Lebih manis lagi, PNGK sekolah 2.70 yang dicatatkan pada tahun ini telah mengatasi PNGK kebangsaan (2.65).

Mata pelajaran terbaik ialah Bahasa Melayu dan Sejarah, yang masing-masing mencapai kelulusan 95.65%.

Sembilan pelajar cemerlang tersebut menerima slip keputusan dan sijil penghargaan kejayaan daripada Pengetua SMKSO, Encik Wan Su bin Wan Jaffar di Bilik Mesyuarat Gemilang.

Rabu, 24 Februari 2016

PERARAKAN APRESIASI KOKURIKULUM

23 FEBRUARI 2016 (Selasa) - Pelajar SMK Sultan Omar melaksanakan Perarakan Apresiasi Kokurikulum pada petang ini seperti yang diarahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.


Rabu, 27 Januari 2016

PEMIMPIN PELAJAR TERIMA WATIKAH

27 JANUARI 2016 (Rabu) - Pemimpin-pemimpin pelajar DESSO menerima watikah masing-masing di Dewan Warisan pagi ini.


Pemimpin-pemimpin tersebut terdiri daripada semua Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pengawas SPBT, Pengawas Koperasi, Pembimbing Rakan Sebaya, dan Briged. Selain itu, turut menerima watikah ialah ketua bagi Kor Kadet Polis, Kadet Bomba dan Penyelamat, Pasukan Kadet Bersatu Malaysia, Pengakap, Kadet Remaja Sekolah, Persatuan Bulan Sabit Merah, Pandu Puteri, Renjer Puteri, dan Puteri Islam.

Perasmian majlis dan penyampaian watikah disempurnakan oleh Superintenden Polis Ahmad Zailani bin Haji Yaacob, Ketua Polis Daerah Dungun. 

Dalam majlis itu juga, Ketua Pengawas, Saudara Muhammad Fakhrul bin Haji Mokhtar, pelajar Pra-U Atas Gemilang, mengetuai bacaan lafaz ikrar pemimpin dan menyerahkan skriol ikrar kepada Pengetua SMKSO, Encik Wan Su bin Wan Jaffar.

Isnin, 18 Januari 2016

PPD DUNGUN BERTEMU DENGAN GURU DAN PELAJAR SMKSO

18 JANUARI 2016 (Isnin) - Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Tuan Haji Bakar bin Jusoh melakukan kunjungan ke SMKSO pagi ini untuk bertemu dengan pelajar dan guru dalam satu perhimpunan khas di Medan Perhimpunan.


Tuan Haji Bakar dalam ucapannya berbangga kerana pelajar SMKSO telah mencipta pelbagai kejayaan sebelum ini. Walau bagaimanapun, beliau mahu setiap orang pelajar mencipta kejayaan demi kejayaan yang lebih baik untuk kepentingan diri, keluarga, bangsa, dan negara.

Tuan Haji Bakar yang akan bersara awal mulai 1 Februari 2016 turut menasihati guru dalam pertemuan dengan guru selepas perhimpunan bersama dengan pelajar agar meningkatkan kerjasama sesama sendiri. Selain itu, beliau meminta guru agar tidak mudah menjadi pengedar berita-berita belum sahih melalui media sosial.


Sabtu, 16 Januari 2016

GOTONG-ROYONG PERDANA BERSAMA DENGAN KOMUNITI MEMBANTERAS DENGGI

16 JANUARI 2016 (Sabtu) - Tujuh orang guru dan dua puluh lima orang pelajar SMK Sultan Omar mengambil bahagian dalam Program Gotong-royong Perdana Bersama dengan Komuniti Membanteras Denggi pada pagi ini.



Program tersebut dianjurkan oleh Pejabat Daerah Dungun dan turut disertai oleh guru dan pelajar di sekitar bandar Dungun.

Guru dari SMK Sultan Omar diketuai oleh Ketua Bidang Kemanusiaan, Puan Suhaima binti Abdullah, dan disertai oleh Puan Hartini binti Mohd Nor, Encik Shee Soon Yee, Encik Fazri bin Mohd, Encik Muhammad Azmi bin Ibrahim, Encik Mohd Tarmizi bin Ali Affandi, dan Tuan Haji Ramli bin Musa.

Sementara itu, pelajar terdiri daripada Ahmad Badri Muhsin bin Tallha 'Rauh, Ahmad Khurraizy bin Khuzainol, Aqilah binti Abd. Rahim, Che Wan Hakimi Hakim bin Che Roasmawi, Cheu Zhen Yar, Khairunnisa binti Saipo Bahri, Liyana Dhamirah binti Muhammad Zailani, Mas Aweyah Madinah binti Rosmi, Muhammad Danish Afkar bin Mohd Amny, Muhammad Fakhrul Hakimin bin Mokhtar, Muhammad Ilham Najmi bin Mohd Nazri, Muhammad Syahmi bin Rozlan, Muhammad Syawal bin Abdullah, Nor Amiza binti Aziz, Nur Damia Hanun binti Yusri, Nur Farah Husnina binti Muhammad Rosly, Nur Sakinah binti M. Yusoff, Nuraini binti Rashid, Nurul Jannatul Ain binti Awang, Siti Nur Hazwani binti Fauzi, Sufi Syazwa binti Samsuri, Tengku Nur Anissa binti Tengku Sulaiman, Wan Khairul Irdina binti Wan Busu, Wan Najihah Shahira binti Wan Yusoff, dan Wan Noor Mairiesha binti Wan Mustafa.

Gotong-royong perdana itu diadakan di belakang Klinik Kesihatan Kuala Dungun, Alor Tembesu, Dungun.

Khamis, 14 Januari 2016

RUMAH KUNING MENGEKALKAN KEJUARAAN ACARA MERENTAS DESA

14 JANUARI 2016 (Khamis) - Rumah Harimau yang menggunakan lambang kuning meneruskan penguasaan dalam acara merentas desa SMK Sultan Omar dengan mengekalkan kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut.


Kejohanan ini mempertandingkan empat kategori iaitu Lelaki 18 Tahun, Perempuan 18 Tahun, Lelaki 15 Tahun, Perempuan 15 Tahun, Lelaki Tingkatan 1, Perempuan Tingkatan 1, dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Kategori Lelaki 18 menghabiskan larian sejauh lapan kilometer, sementara kategori lain sejauh enam kilometer.

Rumah Harimau menjuarai kategori lelaki dan perempuan 18 dan 15 tahun, membolehkannya muncul juara.

Pada tahun ini, Guru Penasihat Rumah Harimau diketuai oleh Puan Tan Lee Kim.