Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Khamis, 26 Disember 2019

PERSIAPAN MENJELANG SESI 2020

GURU SMKSO memulakan langkah untuk mengendalikan pelbagai tugasan pengurusan persekolahan sesi 2020 dengan mengikuti mesyuarat pertama yang akan berlangsung pada Ahad dan Isnin ini, 29 Disember 2019 dan 30 Disember 2019.


Menurut surat yang diedarkan pada penghujung sesi 2019 lalu, guru SMKSO akan menyertai Mesyuarat Guru Bil. 1/2020 pada pukul 8:30 pagi hingga 10:30 pagi, dan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Sekolah Bil. 1/2020 pada pukul 11:00 pagi hingga 1:00 tengah hari. Kedua-dua mesyuarat ini akan diadakan pada 29 Disember 2019.

Pada 30 Disember 2019, semua guru akan terlibat dengan Mesyuarat Pengurusan Hal Ehwal Murid Bil. 1/2020 mulai 11:30 pagi hingga 12:30 tengah hari, dan diikuti dengan Mesyuarat Kokurikulum Bil. 1/2020 pada pukul 12:30 tengah hari hingga 1:30 tengah hari.

Pada hari yang sama, sebelum mesyuarat dijalankan, pendaftaran pelajar Tingkatan 1 akan diadakan di Dewan Warisan, manakala pendaftaran bagi pelajar Tingkatan, 2, 3 dan 5 diadakan bilik darjah masing-masing. Pendaftaran bermula pukul 8:30 pagi hingga 11:00 pagi.

Sementara itu, menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dalam aplikasi Whatsapp Urusan Rasmi DESSO, pendaftaran bagi pelajar Tingkatan 4 akan dilaksanakan pada hari pertama persekolahan, 1 Januari 2020.


Selasa, 5 November 2019

PEPERIKSAAN SPM DAN STPM BERMULA

PELAJAR Tingkatan Lima dan sebahagian daripada pelajar Tingkatan Enam mula menduduki peperiksaan SPM dan STPM mulai hari ini.

Pelajar Tingkatan Lima menduduki SPM Fasa Kedua, setelah sebahagian calon menduduki peperiksaan fasa pertama untuk mata pelajaran tertentu pada bulan lalu. Sementara itu, pelajar Tingkatan 6 Atas menduduki peperiksaan STPM Semester 3 sehingga 7 November ini, dan akan diikuti oleh pelajar 6 Bawah yang akan menduduki STPM Semester 1 pada 18 November hingga 20 November ini. 

Selain itu, sebahagian pelajar 6 Atas akan menduduki peperiksaan STPM Ulangan Semester 1 pada 18 hingga 20 November, manakala sebahagian lagi akan menduduki STPM Ulangan Semester 2 pada 25 hingga 27 November nanti.

Pada tahun ini, sejumlah 148 pelajar menduduki SPM, manakala 33 orang pelajar menduduki STPM Semester 3, dan 33 orang lagi pelajar menduduki STPM Semester 3. Semua keputusan akan diketahui pada tahun hadapan.

Rabu, 30 Oktober 2019

PELAJAR DAN GURU TERIMA ANUGERAH KOKURIKULUM DAN SUKAN

UNIT Kokurikulum SMK Sultan Omar mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Sukan untuk memberikan penghargaan kepada guru dan pelajar yang menaikkan nama sekolah dalam bidang kokurikulum sepanjang tahun 2019. Penganugerahan diberikan kepada beberapa kategori.


Bagi kategori Guru Kokurikulum Terbaik, lapan orang guru menerima anugerah, iatu Tuan Haji Roazian @ Roezwan bin Abdul Rahman (Pengurus Pasukan Terbaik Lelaki), YM Raja Nurul Huda binti Raja Zahri (Pengurus Pasukan Terbaik Perempuan), (Encik Ahmad Hamdany bin Ahmad Halimy (Jurulatih Terbaik Lelaki), YM Tengku Mazura binti Tengku Ibrahim (Jurulatih Terbaik Perempuan), Cik Che Wan Aiha binti Ismail (Tokoh Guru PPKI), Puan Rosni binti Ibrahim (Tokoh Guru Tingkatan Enam), Encik Ahmad Burham bin Awang @ Ibrahim (Tokoh Guru Kokurikulum Lelaki), dan Puan Norshadida binti Nor Rizen @ Mohd (Tokoh Guru Kokurikulum Perempuan). 

Untuk Anugerah Unit Kokurikulum Terbaik, anugerah digondol oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (Unit Beruniform), Persatuan Bahasa Perancis (Kelab dan Persatuan Koakademik), dan Pasukan Petanq (Sukan dan Permainan).

Bagi kategori Pasukan Terbaik, anugerah dimenangi oleh Petanq (Perempuan), dan Bola Keranjang (Lelaki).

Bagi kategori Kokurikulum Murid Terbaik, anugerah dimenangi oleh Akmal Danial bin Mansor (Atlet Terbaik Lelaki), Nor Nadirah binti Burhan Shahidi (Atlet Terbaik Perempuan), Mohamad Amir Zulqain bin Zainudin (Atlet Harapan Terbaik Lelaki), Nur Anis Sofea binti Zainudin (Atlet Harapan Terbaik Perempuan), Boon Yi Jun (Murid Terbaik Koakademik Lelaki), Siti Nur Khairunnisa binti Suhardi (Murid Terbaik Koakademik Perempuan), Muhammad Amiar Aiman bin Mohd Karim (Murid Terbaik Unit Beruniform Lelaki), Loh Jia Xin (Murid Terbaik Unit Beruniform Perempuan), Ahmad Khurraizy bin Khuzainol (Tokoh Murid Kokurikulum Lelaki) dan Nor Azrina binti Mohd Marzuki (Tokoh Murid Kokurikulum Perempuan).

Selain itu, enam orang pelajar menerima Anugerah Khas Murid, iaitu Wan Muhammad Aziem bin Wan Rozami, Muhammad Suhaimizi bin Abdullah, Normaisarah binti Abdul Razak, Muhammad Amirul Hakimi bin Abd Halim, Muhammad Amirun Zuhairi bin Mohd Ashid, dan Muhammad Ar Ridha bin Yaacob.

Sementara itu, lima orang pelajar Tingkatan 6 terpilih menerima Anugerah Kokurikulum Tingkatan Enam, iaitu Muhammad Nor Azlan bin Yusuf, Tengku Mahmud bin Tengku Nordin, Wan Zulhilmi bin Wan Ab. Hamid, Ahmad Danial Irfan bin Mohd Zulkefle, dan Nur Ain Aisyah binti Mohamad Nafi.

SMK Sultan Omar juga memberi penghargaan yang berupa Anugerah Khas Rakan Sukan kepada Encik Zainudin bin Yusoff, Encik Syed Ali bin Syed Akil, dan Encik Ally Aucasa @ Mohd Ally Faizal kerana penglibatan dan kerjasama kepada pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian sukan sekolah. Di samping itu, Anugerah Khas Penyumbang Budiman disampaikan kepada PIBG SMK Sultan Omar, Koperasi SMK Sultan Omar, Pengusaha Kantin SMK Sultan Omar, dan Mc Donald Dungun atas sumbangan kewangan dan barangan untuk program sukan sekolah ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan secara bersama oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua SMK Sultan Omar, dan Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG, Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran, dan Encik Afandi bin Harun, Penolong Kanan Kokurikulum.

Khamis, 26 September 2019

BACAAN YASIN DAN SOLAT HAJAT PERDANA

SMK Sultan Omar mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana di Surau Al-Ikhlas DESSO malam ini.


Majlis yang khusus diadakan bersempena dengan peperiksaan PT3, SPM, dan STPM itu dihadiri pelajar yang berkenaan dan ibu bapa masing-masing.

Majlis diisi dengan program solat Maghrib, bacaan Surah Yasin, solat hajat, ucapan pengetua, dan solat Isyak.

Solat Maghrib diimamkan oleh Tuan Haji Ghazali bin Abdullah, manakala bacaan Surah Yasin, solat hajat dan solat Isyak diketuai oleh Ustaz Syaaban, kedua-duanya dari SM Agama Sultan Ismail, Dungun (SMASID). Tuan Haji Ghazali merupakan bekas ustaz di DESSO sebelum bertukar ke SMASID sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Dalam ucapan sulungnya kepada ibu bapa dan penjaga, Tuan Haji Abdul Rashid bin Sulong, Pengetua DESSO menyentuh hal misinya untuk meningkatkan pencapaian pelajar dari aspek akademik, sahsiah, dan kokurikulum. Menurutnya, setakat ini beliau telah berjumpa dengan pelajar STPM, SPM, dan PT3, dan akan dilanjutkan dengan pertemuan dengan pelajar Tingkatan 1, 2, dan 4.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG DESSO.

Ahad, 22 September 2019

PELAJAR CEMERLANG PERCUBAAN PT3 DAN SPM TERIMA HADIAH PENGHARGAAN

TUAN Haji Che Rashid bin Sulong, pengetua ke-26 DESSO bertemu dengan pelajar secara rasmi dalam Perhimpunan Mingguan DESSO pagi ini.



Selain kali pertama berucap kepada pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6, beliau juga turut melaksanakan tugas menyampaikan hadiah penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam Peperiksaan Percubaan PT3 dan SPM yang dijalankan pada bulan lepas.

Hadiah kecemerlangan itu dibahagikan kepada pelajar dan guru. Kategori pelajar terdiri daripada Prestasi Cemerlang Mengikut Kelas PT3 dan SPM, Lompatan Saujana PT3 dan SPM, Pelajar Terbaik PT3 dan SPM, manakala guru yang berkenaan menerima penghargaan bagi kategori Prestasi Cemerlang Panitia PT3 dan SPM.

Dalam ucapannya, Tuan Haji Che Rashid mahu pelajar DESSO meningkatkan pencapaian dalam bidang akademik, dan turut menunjukkan kecemerlangan dalam aspek akhlak dan etika, dan kokurikulum.

Khamis, 19 September 2019

HAJI CHE RASHID PENGETUA KE-26 DESSO

SEBULAN selepas pengetua ke-25 DESSO bersara wajib, Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, hadir ke SMK Sultan Omar sebagai pengetua ke-26.


Tuan Haji Che Rashid bin Sulong melaporkan diri secara rasmi pada tengah hari ini dengan diiringi oleh guru-guru pengurusan dari SMK Sura, disambut dan diraikan oleh pengurusan SMKSO, yang diketuai oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Hajah Wan Nooriman.

Tuan Haji Che Rashid sebelum ini merupakan Pengetua SMK Sura, Dungun, yang berkhidmat selama tiga tahun di sekolah tersebut.

Dalam pertemuan sulungnya dengan guru DESSO selepas sambutannya, beliau menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan legasi pengetua sebelumnya yang belum lagi sempat dilaksanakan.

Beliau juga menekankan hal penampilan guru dari segi berpakaian dan bertindak. Beliau juga menjelaskan bahawa pintu biliknya sentiasa terbuka untuk guru-guru bertemu atau berbincang dengannya.

Selasa, 20 Ogos 2019

MAJLIS UNTAIAN KASIH SEMPENA DENGAN PERSARAAN PENGETUA KE-25 DESSO

TUAN Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua Ke-25 DESSO, yang akan bersara mulai esok (Rabu, 21 Ogos 2019) diraikan oleh warga DESSO dalam Majlis Untaian Kasih: Sesaat Bersama Seabad Terasa yang diadakan di Dewan Warisan pagi ini.


Tuan Haji Zulkefly yang dilahirkan di Kampung Teluk Lipat pada tahun 1959 turut diraikan oleh pengetua dan guru besar sekolah di daerah Dungun, bekas-bekas pengetua di daerah Dungun, dan rakan-rakan rapatnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Tuan Haji Abdul Muie bin Ngah, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Encik Salim bin Ab. Ghani, Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, dan Encik Shamsul Bahri bin Shafie, Ketua Unit, Unit Pengurusan Sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Dungun.

Selain itu, Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG dan beberapa orang ahli jawatankuasanya, dan Pegawai Perhubungan Polis Sekolah dari Ibu Pejabat Polis Dungun juga hadir.

Beliau mula bertugas di SMKSO pada 1 Julai 2018, setelah bertukar dari SMK Balai Besar, Dungun.

Tuan Haji Zulkefly berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Fizik di Universiti Pertanian Malaysia (1995) mula berkhidmat sebagai guru di SMK Chukai, Kemaman pada 23 Ogos 1982. Selepas itu beliau berkhidmat di SMK Rasau Kerteh, Kemaman (1991), dan SMK Kerteh, Kemaman (1995). Setelah dilantik sebagai Pengetua, beliau bertukar ke SMK Jabi, Jerteh (2010), sebelum ke SMK Seri Serating, Marang (2011), SMK Jambu Bongkok, Marang (2013), SMK Ketengah Jaya, Dungun (2015), dan SMK Balai Besar, Dungun (2017).

Dalam majlis itu, beliau yang datang bersama dengan isterinya, Puan Hajah Sakiah binti Tawang dan dua orang anaknya menerima cenderamata sebuah skuter Honda Vario daripada warga SMKSO dan beberapa hadiah lain daripada Pengurusan SMKSO dan rakan-rakan pengetua yang meraikannya.

Kehadirannya ke majlis itu dijemput dengan tiga buah kereta dan diiringi oleh kumpulan motosikal besar dari rumahnya di Kampung Nyiur, Paka.


Koleksi gambar majlis ini: Klik di sini.



Ahad, 18 Ogos 2019

TUAN HAJI ZULKEFLY BERSAMA DENGAN PELAJAR BAGI KALI YANG TERAKHIR

TUAN Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua SMKSO yang ke-25, diberi peluang untuk bersama dengan pelajar bagi kali terakhir sebelum beliau bersara wajib dalam satu majlis khas di Medan Perhimpunan pagi ini.



Tuan Haji Zulkefly akan bersara mulai Rabu ini, 21 Ogos 2019, dan akan diraikan dalam majlis gilang-gemilang di Dewan Warisan pada hari Selasa, 20 Ogos 2019.

Dalam majlis pagi tadi, beliau diarak oleh guru dari Pejabat Pengurusan Sekolah ke Medan Perhimpunan yang sudah dipenuhi pelajar. Saudara Mohamad Nor Azlan bin Yusoff, Ketua Pelajar, mewakili pelajar memberikan ucapan alu-aluan, diikuti oleh Tuan Haji Rusli bin Mohd Nor, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang mewakili guru.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan gendang Cina oleh sekumpulan pelajar Cina DESSO, di samping persembahan nyanyian beramai-ramai, nyanyian solo dan deklamasi sajak oleh pelajar Tingkatan Enam Bawah dan persembahan nasyid dari Koperasi Sekolah.

Tuan Pengetua turut memalu gong sebelum memberikan ucapannya, yang kemudiannya menerima hadiah sebuah bangku panjang daripada pelajar sebagai kenang-kenangan, dan memotong kek ulang tahun kelahirannya.

Majlis berakhir dengan pelajar-pelajar lelaki bersalam dengan Tuan Haji Zulkefli sebelum semua guru dan murid bergerak ke pekarangan Pejabat Pengurusan Sekolah untuk perasmian Tugu Pengetua.


Koleksi gambar:

1.   Majlis Bersama dengan Pelajar

2.   Perasmian Tugu Pengetua



Selasa, 6 Ogos 2019

PELANCARAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN PERINGKAT DESSO

WARGA DESSO berkumpul di Dataran Perhimpunan pagi ini untuk mengikuti Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah 2019.


Dalam acara pelancaran ringkas itu, guru-guru DESSO berarak dari hadapan Pejabat Pengurusan Sekolah ke Dataran Perhimpunan, dan disambut oleh pelajar-pelajar.

Pelancaran disempurnakan oleh Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Guru Penolong Kanan Pentadbiran DESSO.

Majlis diserikan dengan deklamasi sajak oleh Nur Ain Aisyah binti Mohd Nafi, pelajar Tingkatan Enam Atas Gemilang.


Sabtu, 27 Julai 2019

BADAN BERUNIFORM DESSO BERKHEMAH DI GONG BALAI

DUA belas pasukan Badan Beruniform DESSO yang mengadakan perkhemahan selama tiga hari dan dua malam di Kampung Gong Balai, Merchang mulai 25 Julai 2019 (Khamis) lalu menamatkan aktiviti itu hari ini.



Perkhemahan kali ini mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Masjid Kampung Gong Balai yang menyediakan kawasan perkhemahan di sebelah kawasan masjid itu, di samping memberikan kemudahan untuk menggunakan bekalan elektrik, air, tandas, dan ruang dapur sepanjang aktivitu itu. .

Dalam perkhemahan itu, 188 orang peserta mengikuti aktiviti motivasi, pertandingan membina gajet dan masakan rimba, tunjuk cara menyelamatkan mangsa kemalangan, kawad kaki, dan persembahan kebudayaan.

Perkhemahan berakhir pada 27 Julai 2019, dengan peserta mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perkhemahan dan kawasan masjid.

Majlis penutupan perkhemahan disempurnakan oleh Tuan Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua DESSO, di samping penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan gajet, masakan rimba, persembahan kebudayaan.

Sempena dengan perkhemahan itu, pelajar DESSO mendapat cuti peristiwa sekolah esok, 28 Julai 2019 (Ahad).


Gambar untuk kegiatan ini boleh anda dapati dari pautan yang berikut.

Ahad, 14 Julai 2019

KEJOHANAN OLAHRAGA DESSO KE-44

KEJOHANAN Olahraga Peringkat SMK Sultan Omar Kali Ke-44 berlangsung selama tiga hari pada 9, 10 dan 11 Julai 2019 di Trek Olahraga MSSD Dungun.


Dalam kejohanan itu, Rumah Harimau (Kuning) muncul sebagai juara dengan memperoleh 262 mata, diikuti Rumah Singa (Merah) dengan 238 mata sebagai naib johan, serta Rumah Garuda (Hijau) dengan 176 mata, dan Rumah Pelanduk (Biru) dengan144 mata.

Kejohanan kali ini melibatkan pelajar tingkatan satu, dua dan empat, dengan kategori Lelaki 16, Perempuan 16, Lelaki 14, dan Perempuan 14, dan PPKI.

Pada hari terakhir kejohanan, Rumah Kuning turut memenangi acara tarik tali apabila mengalahkan Rumah Hijau dalam perlawanan akhir. 

Selain itu, kejohanan ini juga menganjurkan acara jemputan 4 X 400 meter lelaki dan perempuan yang disertai oleh SMK Paka, SMK Tengku Intan Zaharah, SMK Pulau Serai, SMK Padang Jambu, dan SMK Balai Besar. Kuartet DESSO memenangi pingat emas bagi kategori lelaki, manakala SMK Padang Jambu memenangi emas bagi kategori perempuan.

Bagi kategori lelaki, atlet Rumah Kuning, Mohd Farid Aiman dianugerahi Peserta Terbaik Lelaki 14, dan Mohd Wikri Syukran dari Rumah Merah menerima anugerah Peserta Terbaik Lelaki 16. Bagi kategeri perempuan pula, Nur Ridani Syaza dari Rumah Kuning terpilih sebagai Peserta Terbaik Perempuan 14, manakala Loo Hui Yin dari Rumah Hijau menerima anugerah Peserta Terbaik Perempuan 16.

Anugerah Olahragawan Terbaik Lelaki disandang oleh Mohd Wikri Syukran, manakala Olahragawati Terbaik disandang oleh Loo Hui Yi.

Sementara itu, atlet kebanggaan sekolah dan daerah Dungun, Mohamad Amir Zulqain bin Zainudin dianugerahi Atlet Idola DESSO.

Hadiah-hadiah acara disampaikan pada hari kejohanan, manakala hadiah anugerah atlet dan piala pusingan disampaikan oleh Tuan Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua DESSO, semasa Perhimpunan Mingguan pagi ini.

Khamis, 13 Jun 2019

SAMBUTAN AIDILFITRI DESSO MERIAH

KELAB Guru dan Kakitangan DESSO, dengan dukungan daripada Pengurusan dan Pentadbiran DESSO, mengadakan Sambutan Aidilfitri DESSO di Dewan Warisan hari ini.


Dalam sambutan yang diadakan serentak oleh semua sekolah di negeri Terengganu itu, DESSO menampilkan tema suasana desa dengan gambar rumah tradisional dan peralatan sambutan hari raya secara tradisional menghiasi pentas Dewan Warisan.

Dewan Warisan dipenuhi oleh gerai yang dikendalikan oleh Kelab Guru dan Kakitangan, Pengurusan Sekolah, Kakitangan Sokongan Sekolah, Kakitangan Swasta, Pendidikan Khas, dan Koperasi Sekolah. Gerai pelajar pula terdiri daripada gerai Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3, Tingkatan 4, Tingkatan 5, dan Tingkatan 6. Setiap gerai menyediakan juadah masing-masing yang telah ditetapkan. Semua pelajar dari pelbagai bangsa boleh berkunjung ke setiap gerai pelajar.

Majlis diserikan dengan persembahan daripada pelajar dan guru, kuiz, dan ucapan hari raya, dan pertandingan gerai terbaik. Gerai PPKI memperoleh tempat ketiga, gerai Koperasi Sekolah menduduki tempat kedua, manakala gerai Pengurusan meraih tempat pertama.

Sambutan menjadi lebih meriah dengan kehadiran pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, bekas-bekas Pengetua DESSO dan bekas pengetua dari sekolah yang berhampiran. 

Selasa, 21 Mei 2019

KHATAM QURAN, TAHLIL PERDANA, DAN SUMBANGAN HARI RAYA

PANITIA Pendidikan Islam menganjurkan Majlis Khatam Quran dan Tahlil Perdana, manakala Panitia Pendidikan Moral mengadakan aktiviti moral secara serentak hari ini.


Aktiviti Khatam al-Quran dan Tahlil Perdana diadakan di Surau Al-Ikhlas, yang turut disertai oleh Pengetua, Tuan Haji Zulkefly bin Abdul Rahim dan pengurusan yang lain.

Dalam majlis itu juga diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi aktiviti ihya Ramadan, dan penyampaian sumbangan hari raya kepada pelajar miskin dan yatim dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.

Di akhir majlis, Tuan Haji Zulkefly dan Puan Hajah Nooriman menyampaikan "wang hari raya" kepada semua pelajar Islam yang hadir di Surau Al-Ikhlas, dan semua pelajar bukan Islam yang hadir di Dewan Warisan.




Khamis, 25 April 2019

MAJLIS SANJUNGAN BUDI TUAN HAJI ANUAR JUSOH

TUAN Haji Anuar bin Jusoh, guru Pendidikan Khas DESSO, diraikan dalam Majlis Sanjungan Budi, yang diadakan di Dewan Warisan pada tengah hari ini.


Majlis itu diadakan khas sempena dengan persaraannya yang akan bermula pada 17 Mei 2019. Majlis itu diadakan lebih awal kerana tarikh persaraannya jatuh dalam bulan Ramadan.

Majlis itu dirasmikan oleh Encik Ahmad Shukri bin Abdullah, pegawai Pendidikan Khas di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

Sebelum berkhidmat di SMK Sultan Omar, Tuan Haji Anuar telah bertugas di SMK Dalat, Sibu, Sarawak; SM Sains Tengku Abdullah, Raub, Pahang; SM Rantau Petronas, Kerteh; SMK Paka, Dungun; SMK Bukit Besi, Dungun; dan SMK Pulau Serai, Dungun.

Tuan Haji Anuar berkelulusan Sarjana Muda Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia, dan memperoleh Diploma Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia. 


Rabu, 13 Mac 2019

PELANCARAN PROGRAM KECEMERLANGAN PT3, SPM, DAN STPM

JAWATANKUASA Projek Kecemerlangan Pendidikan DESSO mengadakan Pelancaran Program Kecemerlangan PT3, SPM, dan STPM secara bersama hari ini di Dewan Warisan.


Ketiga-tiga unit projek kecemerlangan akademik itu membentangkan program masing-masing sepanjang tahun 2019 dalam usaha membantu pelajar mencapai kecemerlangan.

Dalam majlis tersebut, pelajar cemerlang bagi setiap peringkat diumumkan dan diberikan cenderamata penghargaan.

Semua pelajar melafazkan ikrar kejayaan yang diketuai oleh Saudara Muhammad Nor Azlan bin Yusoff, pelajar STPM dari Tingkatan 6 Atas Terbilang.

Khamis, 28 Februari 2019

KEJOHANAN OLAHRAGA KE-50 MSSD DUNGUN: DESSO MEMUNGUT 5 PINGAT EMAS

KEJOHANAN Trek dan Padang MSSD Dungun 2019 menyaksikan kontinjen DESSO memperoleh 5 pingat emas, 4 pingat perak, dan 11 pingat gangsa.


Kejohanan edisi ke-50 itu berlangsung dari 24 hingga 28 Februari itu berlangsung di trek olahraga SMKSO.

Dengan pencapaian itu, DESSO masih menduduki tangga kelima, menyamai pencapaian tahun 2018, yang juga menuai 5 pingat emas. Walau bagaimanapun, kejohanan kali ini memperlihatkan peningkatan dari segi pungutan pingat, iaitu 20 pingat keseluruhannya, berbanding dengan tahun 2018 hanya 17 pingat.

Dalam kejohanan itu, SMK Paka masih unggul sebagai juara olahraga daerah Dungun, dengan memperoleh 15 pingat emas, diikuti SMK Seri Paka dengan 14 pingat emas, dan SMK Kompleks Padang Jambu dengan 6 pingat emas.

Pingat emas DESSO iperoleh melalui acara 4X400 meter lelaki18, 110 meter berpagar lelaki 18, lompat tinggi lelaki 15, lontar peluru perempuan 15, dan 200 meter lelaki 18. Pingat perak diraih melalui acara 4X100 meter lelaki 18, lompat jauh lelaki 18, lompat kijang lelaki 15, dan lompat tinggi lelaki 15.

Untuk mendapatkan gambar sekitar kejohanan itu, sila klik pautan ini: GAMBAR

Khamis, 21 Februari 2019

MESYUARAT AGUNG PIBG DAN PENYAMPAIAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengadakan Mesyuarat Agung Ke-42 di Dewan Warisan hari ini.




Dalam mesyuarat tersebut, ahli PIBG bersetuju untuk mengekalkan Yang Dipertua, Tuan Haji Mokhtar bin Omar, dan Naib Yang Dipertua, Encik Chong Yep Kin, dan sebahagian besar daripada Ahli Jawatankuasa 2018.

Majlis perasmian mesyuarat disempurnakan oleh Encik Hasbie bin Muda, Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Selain itu, bersempena dengan mesyuarat itu juga diadakan penyerahan Bantuan Awal Persekolahan yang bernilai RM100.00 kepada 457 orang pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 yang layak. Bantuan tersebut diterima oleh ibu bapa dan penjaga daripada guru tingkatan mereka.

Isnin, 18 Februari 2019

PEMIMPIN PELAJAR DIBERIKAN WATIKAH PELANTIKAN

PEMIMPIN-PEMIMPIN pelajar sesi 2019 diberikan watikah pelantikan masing-masing dalam satu majlis khas pada hari ini


Pemimpin yang terlibat ialah Ketua Pelajar dan Penolong Ketua Pelajar, Pengawas Sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Pengawas Koperasi, Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), dan Pengawas Briged Bestari.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Inspektor Md Zuraiemee bin Shamsudin, Ketua Bahagian Siasatan Jenaa Komersial, Ibu Pejabat Daerah Polis Dungun.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Khamis, 17 Januari 2019

RUMAH SINGA RAMPAS TAKHTA KEJOHANAN MERENTAS DESA 2019

MESKI hujan turun agak lebat sebelum peserta Kejohanan Olahraga Peringkat Sekolah DESSO dilepaskan, perjalanan pertandingan berjalan lancar, dan menyaksikan pasukan Rumah Singa muncul sebagai johan pertandingan pada tahun ini.


Rumah Singa yang diketuai oleh Encik Ahmad Hamdany bin Ahmad Halimy dan menggunakan lambang warna merah, yang dikenali juga dengan nama Rumah Merah, memperoleh 2700 mata. Rumah sukan ini menduduki tempat ketiga pada tahun lepas; diatasi pasukan Rumah Garuda dan Rumah Pelanduk.

Naib johan bagi kejohanan kali ini ialah Rumah Pelanduk (Rumah Biru), yang mengekalkan kedudukan pada tahun lepas, dengan memungut 2260 mata, sementara Rumah Garuda (Rumah Hijau) menduduki tempat ketiga dengan pungutan 1914 mata, manakala Rumah Harimau (Rumah Kuning), sekali lagi menduduki tempat keempat, dengan pungutan 1877 mata.

Kejohanan kali ini dibahagikan kepada empat kategori, iaitu Bawah 13 (Tingkatan 1), Bawah 15 (Tingkatan 2 dan 3), Bawah 18 (Tingkatan 4 dan 5), dan PPKI (Pendidikan Khas).

Jarak larian peserta ialah 6.5 kilometer bagi peserta lelaki Bawah 18, dan 5 kilometer bagi kategori lain.

Pingat diberikan kepada peserta yang menduduki tempat pertama hingga ke-20 bagi setiap kategori, dengan mengasingkan pemenang lelaki dan perempuan. Pemenang tempat pertama hingga tempat ke-6 bagi setiap kategori (lelaki dan perempuan) akan mewakili DESSO ke kejohanan peringkat daerah Dungun pada minggu depan.

Selain Tuan Haji Zulkefly bin Abdul Rahim dan semua pengurusan sekolah yang hadir untuk menyampaikan hadiah, yang turut hadir ialah wakil PIBG, Encik Arif Tan bin Abdullah.

Selasa, 15 Januari 2019

KAIN LANGSIR UNTUK SEMUA BILIK DARJAH DESSO

TUAN Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua SKMSO menyampaikan kain langsir kepada semua bilik darjah pada pagi ini.


Kain langsir yang diperuntukkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu diterima oleh guru setiap tingkatan dalam Perhimpunan Kokurikulum di Dataran Perhimpunan.

Kain langsir yang belum berjahit itu diperuntukkan untuk bahagian atas tingkap sahaja. Penolong Kanan Pentadbiran, dalam ucapannya berharap agar guru dan pelajar segera menjahitnya dan perlu disiapkan serta dipasang selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Februari ini.

Beliau juga menggalakkan setiap tingkatan menyediakan langsir sepenuhnya melalui inisiatif sendiri agar bilik darjah cantik dan ceria.

Khamis, 10 Januari 2019

KESIBUKAN AKTIVITI KOKURIKULUM BERMULA

SELAIN urusan akademik, warga DESSO, sama ada pengurusan, guru atau pelajar, mula sibuk dengan aktiviti kokurikulum peringkat sekolah, zon, dan daerah.


Bermula pada 7 Januari 2019 (Isnin) dengan mesyuarat pertama Rumah Sukan (Garuda, Harimau, Pelanduk, dan Singa), diikuti pada 8 Januari 2019 (Selasa) mesyuarat Unit Beruniform, 9 Januari 2019 (Rabu) mesyuarat Kelab dan Persatuan Koakademik, dan 10 Januari 2019 (Khamis) mesyuarat Kelab Sukan dan Permainan. Semua mesyuarat diadakan pada pukul 2:30 hingga 3:30 petang.

Pada 17 Januari 2019 (Khamis) minggu hadapan, DESSO akan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah. Oleh itu, mulai 13 Januari 2019 (Ahad) hingga 15 Januari 2019 (Selasa), pelajar DESSO akan menjalani latihan larian merentas desa yang bermula pada pukul 3:30 petang. Kejohanan ini mempertandingkan kategori Bawah 13 (Tingkatan 1), Bawah 15 (Tingkatan 2 dan 3), Bawah 18 (Tingkatan 4 dan 5), dan Pendidikan Khas (PPKI). Pemenang utama dalam kejohanan ini akan mewakili sekolah ke peringkat daerah Dungun.

Selain itu, pelbagai pertandingan permainan lain akan bermula pada minggu hadapan. Antara pasukan yang sudah mula berlatih ialah bola tampar, sepak takraw, dan beberapa permainan lain.