Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Sabtu, 29 Januari 2022

KEM MENUJU KE MENARA GADING STPM

PELAJAR Tingkatan 6, yang terdiri daripada calon STPM Semester 1 dan calon STPM Ulangan Semester 1 mengikuti Kem Menuju ke Menara Gading selama tiga hari ini pada hari ini dan esok.

Kem yang dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu diadakan di bilik kuliah di SMK Sultan Omar sendiri, dan sebahagiannya di Bilik Mesyuarat, Ibu Pejabat UMNO Bahagian Dungun.


Dalam kem tersebut, penekanan diberikan terhadap pelajaran Semester 1. Pelajar 6 Bawah akan menghadapi peperiksaan semester yang pertama bagi mereka, manakala pelajar 6 Atas yang terlibat ialah calon yang mengulang mata pelajaran tertentu bagi semester itu untuk membaiki keputusan.

Kelas tambahan itu diadakan pada pukul 8:00 pagi hingga 12:30 tengah hari pada ketiga-tiga hari tersebut.

Walaupun hari kedua dan hari hari ketiga merupakan hari cuti tambahan kepada sekolah yang diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina, guru dan pelajar memberikan kerjasama melaksanakan program yang diatur oleh Projek Kecemerlangan STPM.

Sabtu, 22 Januari 2022

GOTONG-ROYONG MENGECAT PAGAR SEKOLAH

GURU dan ahli jawatankuasa PIBG SMKSO bergotong-royong mengecat pagar hadapan sekolah hari ini bermula 8:30 pagi dan berakhir pada 12:30 tengah hari.


Kawasan yang dicat semula adalah pagar konkrit dan pembahagi pejalan kaki di sepanjang pagar sekitar pintu pagar hadapan sekolah.

Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG dan timbalannya turut mengambil bahagian dalam gotong-royong itu.

Pelaksanaan gotong-royong itu untuk memastikan keceriaan fizikal sekolah selaras dengan keperluan yang digariskan dalam Transformasi Sekolah 2025 (TS 25) yang mula dilaksanakan di SMKSO semenjak 2021.

Gotong-royong ini dijadualkan dilaksanakan pada bulan awal Disember tahun lalu, tetapi ditangguhkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan pada masa itu.

Rabu, 19 Januari 2022

JERAYAWARA STPM KETUA PEGAWAI PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH DUNGUN KE SMKSO

TUAN Haji Kasman bin Embong, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, mengadakan perjumpaan dengan guru dan pelajar Tingkatan 6 di Dewan Warisan hari ini.

Beliau yang disertai oleh Tuan Haji Mohd Fadhilah bin Mohd Ibrahim, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Sektor Pembelajaran, berucap dalam majlis yang bermula pukul 2:30 petang.

SMKSO merupakan sekolah ketiga yang dilawati oleh kedua-duanya hari ini dalam siri jerayawara ke sekolah-sekolah menengah tingkatan enam di daerah Dungun. Sebelum ke SMKSO, kedua-dua pegawai itu telah mengadakan pertemuan dengan guru dan pelajar SMK Ketengah Jaya dan SMK Durian Mas.

Dalam ucapannya, Tuan Haji Kasman menggariskan lima ciri yang dapat membawa pelajar ke arah kecemerlangan. Sebelum itu, Tuan Haji Mohd Fadhilah menggesa pelajar untuk meneruskan kesungguhan belajar, melupakan kelemahan lalu tetapi membaikinya dengan berkesan, supaya kejayaan diperoleh pada kesempatan yang lain.

Rabu, 12 Januari 2022

ROMBONGAN MENGHANTAR TUAN HAJI RUSLI

ROMBONGAN pengurusan SMKSO menghantar Tuan Haji Rusli bin Mohd Nor ke SMK Padang Pulut disambung oleh pengurusan sekolah tersebut hari ini.

Tuan Haji Rusli, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKSO yang mula bertugas di sekolah ini pada 15 Disember 2016, bertukar ke SMK Padang Pulut sebagai Penolong Kanan Pentadbiran.

Pertukaran beliau ke sekolah tersebut berkuat kuasa mulai 7 Disember 2021.

Tempat beliau di SMKSO diisi oleh Tuan Haji Abu Mansor Maturidi bin Awang, yang bertukar dari SMK Balai Besar, Dungun berkuat kuasa mulai tarikh yang sama.

Isnin, 10 Januari 2022

PERJUMPAAN PERTAMA AL-FATEH DAN AL-GHAZALI TAHUN 2022

PELAJAR Tingkatan 6, yang terdiri daripada pelajar Semester 1 dan Semester 3, mengadakan pertemuan kumpulan Al-Fateh dan Al-Ghazali di Dewan Warisan hari ini, selepas program solat hajat dan bacaan Yassin.

Pertemuan diadakan serentak bagi kumpulan 6 Atas (Al-Fateh) dan 6 Bawah (Al-Ghazali) sempena dengan permulaan sekolah bagi tahun 2022.

Dalam majlis itu, Encik Ahmad Hamdany bin Ahmad Hasny, Penyelaras Tingkatan 6 dan penyelaras bagi kedua-dua kumpulan, membentangkan hala tuju Tingkatan 6 dan meminta pelajar memberikan tumpuan untuk belajar sekiranya mahu terus menjadi warga Tingkatan 6 di SMKSO.

Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang, turut memberi ucapan kepada pelajar.

Dalam majlis itu juga, pelajar 6 Atas yang memperoleh gred purata 3.0 ke atas dalam peperiksaan STPM Semester 2 dan yang melakukan lonjakan bagi mata pelajaran diberikan cenderamata penghargaan. Keputusan STPM Semester 2 diumumkan pada 29 Disember 2021.

Mulai 11 Januari 2022, pelajar 6 Bawah akan menghadapi Peperiksaan Percubaan Semester 1, manakala pelajar 6 Atas yang mengambil ulangan Semester 1 juga akan menghadapi peperiksaan yang sama.

SEMBAHYANG HAJAT DAN BACAAN YASSIN SEMPENA DENGAN PERMULAAN SEKOLAH

SEMPENA dengan permulaan sekolah bagi tahun 2022 yang bermula semalam, Unit MAKDIS mengadakan Solat Hajat dan Bacaan Yassin Khas di Surau Al-Ikhlas pagi ini.

Program ini disertai pelajar dan guru Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 yang dipimpin oleh Guru Pendidikan Islam, Ustaz Za'imuddin bin Husain. 

Selepas bacaan surah Yassin, Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar dan berharap agar sesi pembelajaran secara bersemuka dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Menurut beliau, keputusan mengadakan majlis ini di surau dibuat untuk membolehkan penyertaan yang lebih bermakna dan melibatkan pelajar secara langsung, berbanding dengan pelaksanaannya melalui perantaraan dalam talian.

Ahad, 9 Januari 2022

PERSEKOLAHAN PENGGAL KETIGA SESI 2021/2022 BERMULA

 SETELAH bercuti mulai 10 Disember 2021, sekolah dibuka semula hari ini untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran penggal ketiga bagi sesi persekolahan 2021/2022. 

Semua pelajar DESSO mula mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan guru di bilik darjah. Walau bagaimanapun, pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2, dan Tingkatan 3 masih terikat dengan sistem penggiliran secara mingguan. 

Persekolahan bermula hari ini apabila Kementerian Pendidikan Malaysia menangguhkan sesi pembukaan sekolah selama seminggu yang sepatutnya bermula pada 2 Januari 2022 lalu kerana mengambil kira keadaan banjir yang berlaku di beberapa negeri.

Pada tahun ini juga berlaku perubahan sistem penggal kerana pembukaan sekolah pada awal tahun tidak memulakan sesi baharu seperti biasa, sebaliknya meneruskan sesi 2021 dengan menambahkan satu penggal lagi. 

Mengikut jadual baharu persekolahan ini, persekolahan penggal ketiga 2021/2022 akan berlangsung hingga 24 Februari 2022. Cuti akhir penggal tiga akan bermula 25 Februari 2022 selama tiga minggu. 

Persekolahan sesi baharu, 2022/2023, akan bermula pada 21 Mac 2022.