Sewajarnya...

SELAMAT BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "DESSO - WHERE SUCCESS IS REDEFINED"
KAMI BINA IMPIAN KAMI GALAS HARAPAN, LANGKAH SERENTAK BERGANDING LENGAN, PELUANG KAMI MAJU TAK SANGGUP DILEPASKAN, WARGA SULTAN OMAR MENDUKUNG WAWASAN

2

TARIKH KEMAS KINI: 20 SEPTEMBER 2019 [12:03 pagi]

Selasa, 20 Ogos 2019

MAJLIS UNTAIAN KASIH SEMPENA DENGAN PERSARAAN PENGETUA KE-25 DESSO

TUAN Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua Ke-25 DESSO, yang akan bersara mulai esok (Rabu, 21 Ogos 2019) diraikan oleh warga DESSO dalam Majlis Untaian Kasih: Sesaat Bersama Seabad Terasa yang diadakan di Dewan Warisan pagi ini.


Tuan Haji Zulkefly yang dilahirkan di Kampung Teluk Lipat pada tahun 1959 turut diraikan oleh pengetua dan guru besar sekolah di daerah Dungun, bekas-bekas pengetua di daerah Dungun, dan rakan-rakan rapatnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Tuan Haji Abdul Muie bin Ngah, Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Encik Salim bin Ab. Ghani, Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, dan Encik Shamsul Bahri bin Shafie, Ketua Unit, Unit Pengurusan Sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Dungun.

Selain itu, Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG dan beberapa orang ahli jawatankuasanya, dan Pegawai Perhubungan Polis Sekolah dari Ibu Pejabat Polis Dungun juga hadir.

Beliau mula bertugas di SMKSO pada 1 Julai 2018, setelah bertukar dari SMK Balai Besar, Dungun.

Tuan Haji Zulkefly berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Fizik di Universiti Pertanian Malaysia (1995) mula berkhidmat sebagai guru di SMK Chukai, Kemaman pada 23 Ogos 1982. Selepas itu beliau berkhidmat di SMK Rasau Kerteh, Kemaman (1991), dan SMK Kerteh, Kemaman (1995). Setelah dilantik sebagai Pengetua, beliau bertukar ke SMK Jabi, Jerteh (2010), sebelum ke SMK Seri Serating, Marang (2011), SMK Jambu Bongkok, Marang (2013), SMK Ketengah Jaya, Dungun (2015), dan SMK Balai Besar, Dungun (2017).

Dalam majlis itu, beliau yang datang bersama dengan isterinya, Puan Hajah Sakiah binti Tawang dan dua orang anaknya menerima cenderamata sebuah skuter Honda Vario daripada warga SMKSO dan beberapa hadiah lain daripada Pengurusan SMKSO dan rakan-rakan pengetua yang meraikannya.

Kehadirannya ke majlis itu dijemput dengan tiga buah kereta dan diiringi oleh kumpulan motosikal besar dari rumahnya di Kampung Nyiur, Paka.


Koleksi gambar majlis ini: Klik di sini.



Ahad, 18 Ogos 2019

TUAN HAJI ZULKEFLY BERSAMA DENGAN PELAJAR BAGI KALI YANG TERAKHIR

TUAN Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua SMKSO yang ke-25, diberi peluang untuk bersama dengan pelajar bagi kali terakhir sebelum beliau bersara wajib dalam satu majlis khas di Medan Perhimpunan pagi ini.



Tuan Haji Zulkefly akan bersara mulai Rabu ini, 21 Ogos 2019, dan akan diraikan dalam majlis gilang-gemilang di Dewan Warisan pada hari Selasa, 20 Ogos 2019.

Dalam majlis pagi tadi, beliau diarak oleh guru dari Pejabat Pengurusan Sekolah ke Medan Perhimpunan yang sudah dipenuhi pelajar. Saudara Mohamad Nor Azlan bin Yusoff, Ketua Pelajar, mewakili pelajar memberikan ucapan alu-aluan, diikuti oleh Tuan Haji Rusli bin Mohd Nor, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang mewakili guru.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan gendang Cina oleh sekumpulan pelajar Cina DESSO, di samping persembahan nyanyian beramai-ramai, nyanyian solo dan deklamasi sajak oleh pelajar Tingkatan Enam Bawah dan persembahan nasyid dari Koperasi Sekolah.

Tuan Pengetua turut memalu gong sebelum memberikan ucapannya, yang kemudiannya menerima hadiah sebuah bangku panjang daripada pelajar sebagai kenang-kenangan, dan memotong kek ulang tahun kelahirannya.

Majlis berakhir dengan pelajar-pelajar lelaki bersalam dengan Tuan Haji Zulkefli sebelum semua guru dan murid bergerak ke pekarangan Pejabat Pengurusan Sekolah untuk perasmian Tugu Pengetua.


Koleksi gambar:

1.   Majlis Bersama dengan Pelajar

2.   Perasmian Tugu Pengetua



Selasa, 6 Ogos 2019

PELANCARAN SAMBUTAN KEMERDEKAAN PERINGKAT DESSO

WARGA DESSO berkumpul di Dataran Perhimpunan pagi ini untuk mengikuti Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah 2019.


Dalam acara pelancaran ringkas itu, guru-guru DESSO berarak dari hadapan Pejabat Pengurusan Sekolah ke Dataran Perhimpunan, dan disambut oleh pelajar-pelajar.

Pelancaran disempurnakan oleh Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Guru Penolong Kanan Pentadbiran DESSO.

Majlis diserikan dengan deklamasi sajak oleh Nur Ain Aisyah binti Mohd Nafi, pelajar Tingkatan Enam Atas Gemilang.


Sabtu, 27 Julai 2019

BADAN BERUNIFORM DESSO BERKHEMAH DI GONG BALAI

DUA belas pasukan Badan Beruniform DESSO yang mengadakan perkhemahan selama tiga hari dan dua malam di Kampung Gong Balai, Merchang mulai 25 Julai 2019 (Khamis) lalu menamatkan aktiviti itu hari ini.



Perkhemahan kali ini mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Masjid Kampung Gong Balai yang menyediakan kawasan perkhemahan di sebelah kawasan masjid itu, di samping memberikan kemudahan untuk menggunakan bekalan elektrik, air, tandas, dan ruang dapur sepanjang aktivitu itu. .

Dalam perkhemahan itu, 188 orang peserta mengikuti aktiviti motivasi, pertandingan membina gajet dan masakan rimba, tunjuk cara menyelamatkan mangsa kemalangan, kawad kaki, dan persembahan kebudayaan.

Perkhemahan berakhir pada 27 Julai 2019, dengan peserta mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perkhemahan dan kawasan masjid.

Majlis penutupan perkhemahan disempurnakan oleh Tuan Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua DESSO, di samping penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan gajet, masakan rimba, persembahan kebudayaan.

Sempena dengan perkhemahan itu, pelajar DESSO mendapat cuti peristiwa sekolah esok, 28 Julai 2019 (Ahad).


Gambar untuk kegiatan ini boleh anda dapati dari pautan yang berikut.

Ahad, 14 Julai 2019

KEJOHANAN OLAHRAGA DESSO KE-44

KEJOHANAN Olahraga Peringkat SMK Sultan Omar Kali Ke-44 berlangsung selama tiga hari pada 9, 10 dan 11 Julai 2019 di Trek Olahraga MSSD Dungun.


Dalam kejohanan itu, Rumah Harimau (Kuning) muncul sebagai juara dengan memperoleh 262 mata, diikuti Rumah Singa (Merah) dengan 238 mata sebagai naib johan, serta Rumah Garuda (Hijau) dengan 176 mata, dan Rumah Pelanduk (Biru) dengan144 mata.

Kejohanan kali ini melibatkan pelajar tingkatan satu, dua dan empat, dengan kategori Lelaki 16, Perempuan 16, Lelaki 14, dan Perempuan 14, dan PPKI.

Pada hari terakhir kejohanan, Rumah Kuning turut memenangi acara tarik tali apabila mengalahkan Rumah Hijau dalam perlawanan akhir. 

Selain itu, kejohanan ini juga menganjurkan acara jemputan 4 X 400 meter lelaki dan perempuan yang disertai oleh SMK Paka, SMK Tengku Intan Zaharah, SMK Pulau Serai, SMK Padang Jambu, dan SMK Balai Besar. Kuartet DESSO memenangi pingat emas bagi kategori lelaki, manakala SMK Padang Jambu memenangi emas bagi kategori perempuan.

Bagi kategori lelaki, atlet Rumah Kuning, Mohd Farid Aiman dianugerahi Peserta Terbaik Lelaki 14, dan Mohd Wikri Syukran dari Rumah Merah menerima anugerah Peserta Terbaik Lelaki 16. Bagi kategeri perempuan pula, Nur Ridani Syaza dari Rumah Kuning terpilih sebagai Peserta Terbaik Perempuan 14, manakala Loo Hui Yin dari Rumah Hijau menerima anugerah Peserta Terbaik Perempuan 16.

Anugerah Olahragawan Terbaik Lelaki disandang oleh Mohd Wikri Syukran, manakala Olahragawati Terbaik disandang oleh Loo Hui Yi.

Sementara itu, atlet kebanggaan sekolah dan daerah Dungun, Mohamad Amir Zulqain bin Zainudin dianugerahi Atlet Idola DESSO.

Hadiah-hadiah acara disampaikan pada hari kejohanan, manakala hadiah anugerah atlet dan piala pusingan disampaikan oleh Tuan Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua DESSO, semasa Perhimpunan Mingguan pagi ini.

Khamis, 13 Jun 2019

SAMBUTAN AIDILFITRI DESSO MERIAH

KELAB Guru dan Kakitangan DESSO, dengan dukungan daripada Pengurusan dan Pentadbiran DESSO, mengadakan Sambutan Aidilfitri DESSO di Dewan Warisan hari ini.


Dalam sambutan yang diadakan serentak oleh semua sekolah di negeri Terengganu itu, DESSO menampilkan tema suasana desa dengan gambar rumah tradisional dan peralatan sambutan hari raya secara tradisional menghiasi pentas Dewan Warisan.

Dewan Warisan dipenuhi oleh gerai yang dikendalikan oleh Kelab Guru dan Kakitangan, Pengurusan Sekolah, Kakitangan Sokongan Sekolah, Kakitangan Swasta, Pendidikan Khas, dan Koperasi Sekolah. Gerai pelajar pula terdiri daripada gerai Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 3, Tingkatan 4, Tingkatan 5, dan Tingkatan 6. Setiap gerai menyediakan juadah masing-masing yang telah ditetapkan. Semua pelajar dari pelbagai bangsa boleh berkunjung ke setiap gerai pelajar.

Majlis diserikan dengan persembahan daripada pelajar dan guru, kuiz, dan ucapan hari raya, dan pertandingan gerai terbaik. Gerai PPKI memperoleh tempat ketiga, gerai Koperasi Sekolah menduduki tempat kedua, manakala gerai Pengurusan meraih tempat pertama.

Sambutan menjadi lebih meriah dengan kehadiran pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, bekas-bekas Pengetua DESSO dan bekas pengetua dari sekolah yang berhampiran. 

Selasa, 21 Mei 2019

KHATAM QURAN, TAHLIL PERDANA, DAN SUMBANGAN HARI RAYA

PANITIA Pendidikan Islam menganjurkan Majlis Khatam Quran dan Tahlil Perdana, manakala Panitia Pendidikan Moral mengadakan aktiviti moral secara serentak hari ini.


Aktiviti Khatam al-Quran dan Tahlil Perdana diadakan di Surau Al-Ikhlas, yang turut disertai oleh Pengetua, Tuan Haji Zulkefly bin Abdul Rahim dan pengurusan yang lain.

Dalam majlis itu juga diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi aktiviti ihya Ramadan, dan penyampaian sumbangan hari raya kepada pelajar miskin dan yatim dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.

Di akhir majlis, Tuan Haji Zulkefly dan Puan Hajah Nooriman menyampaikan "wang hari raya" kepada semua pelajar Islam yang hadir di Surau Al-Ikhlas, dan semua pelajar bukan Islam yang hadir di Dewan Warisan.