Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Selasa, 29 September 2015

BEKAS GURU DAN PELAJAR DESS LAWAT SMKSO

29 SEPTEMBER 2015 (SELASA) - Dua orang guru yang pernah mengajar di sekolah ini pada tahun 1969 yang ketika itu ialah Sekolah Menengah Inggeris Dungun atau lebih dikenali sebagai Dungun English Secondary School (DESS) mengadakan lawatan pada hari ini. 


Dua orang guru tersebut ialah Encik Ken Nirenberg yang menjadi guru pada tahun 1969 hingga 1970, dan Encik Oii Khar Choon yang menjadi guru pada tahun 1969 hingga 1978. Ketika itu, DESS di bawah pentadbiran Encik Gilber Khoo.

Encik Ken Nirenberg sekarang menetap di Texas, Amerika Syarikat, sementera Encik Ooi Khar Choon menetap di Klang, Selangor.

Turut bersama dengan dua orang guru tersebut ialah bekas pelajar Tingkatan 5 pada tahun 1969, Tuan Haji Kazaruddin bin Haji Kamaruddin, yang kini menetap di Kuantan, Pahang. Kesemua mereka diiringi oleh beberapa orang bekas pelajar DESS yang tinggal di sekitar bandar Dungun.

Mereka melawat di sekitar kawasan sekolah selama lebih daripada dua jam, diiringi oleh Pengetua, Encik Wan Su bin Wan Jaffar.

Selasa, 15 September 2015

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM 40 HARI MENJELANG PT3, SPM DAN STPM

15 SEPTEMBER 2015 (SELASA) - Jawatankuasa Projek Kecemerlangan PT3, SPM dan STPM menganjurkan Pelancaran Program 40 Hari Menjelang PT3, SPM dan STPM, dan Majlis Temu Mesra PT3 dan STPM 2015 di Dewan Warisan pagi ini.


Majlis pelancaran disempurnakan oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sultan Omar. 

Majlis tersebut diadakan untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga bahawa hari peperiksaan bagi PT3, SPM dan STPM sudah semakin hampir. Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua SMKSO, Encik Wan Su bin Wan Jaffar meminta ibu bapa dan penjaga supaya turut memainkan peranan dengan memberikan kecaknaan kepada pelajaran anak-anak. Hal tersebut perlu kerana anak-anak mempunyai masa yang lebih di rumah berbanding dengan di sekolah.

Dalam majlis itu, pelajar PT3, SPM dan STPM Penggal 1 dan Penggal 3 melafazkan ikrar, dengan diketuai oleh Sdr Muhammad Izzat Muhaimin.

Tuan Haji Mokhtar juga menyampaikan sijil penghargaan kepada semua guru PT3, SPM dan STPM, di samping cenderamata kepada pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Percubaan PT3 dan SPM.

Selepas majlis tersebut, ibu bapa dan penjaga pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 mengambil Slip Keputusan Percubaan PT3 dan SPM anak masing-masing di anjung Dewan Warisan.

Isnin, 14 September 2015

JERAYAWARA MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA DI SMKSO

14 SEPTEMBER 2015 (Isnin) - Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) mengadakan sesi penjelasan tentang status peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam siri Jerayawara MPM di Dewan Warisan hari ini mulai pukul 11:00 pagi hingga 12:30 tengah hari.


Penerangan tentang STPM disampaikan oleh Encik Adnan, Setiausaha Mata Pelajaran Sains dan Matematik MPM kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5 dan Pra-U Bawah.

Tujuan jerayawara dilakukan untuk menjelaskan kepada pelajar, ibu bapa dan guru, bahawa pelajaran di peringkatan Tingkatan 6 atau Prauniversiti telah ditingkatkan setaraf dengan Matrikulasi, Asasi dan Diploma dari segi pengurusannya. Pengajian di Tingkatan 6 melibatkan tiga penggal yang menyamai sistem semester di universiti. Pelajar yang mengikuti Tingkatan 6 tidak dikenakan bayaran untuk mengambil peperiksaan bagi setiap penggal, kecuali untuk mengambil kertas ulangan. 

Sijil STPM sah terpakai untuk memohon pekerjaan dengan Jabatan Perkhidmatan awam, malahan kelulusannya diiktiraf oleh banyak universiti di luar negara.

Sebelum menyampaikan penerangan itu, Encik Adnan melakukan pemantauan tentang pelaksanaan kerja kursus dalam kalangan pelajar Pra-U Penggal 3 (6 Pra-U Atas) mulai pukul 8:00 hingga 10:00 pagi. Dalam pemantauan itu, pelaksanaan Kerja Kursus Pra-U memperoleh penarafan Band 3, iaitu band tertinggi dalam pengiraan proses pemantauan MPM.


Khamis, 3 September 2015

PELAJAR DAN GURU MENDERMA DARAH

3 SEPTEMBER 2015 (KHAMIS) - Sebahagian pelajar Pra-U, Tingkatan 5, dan beberapa orang guru menderma darah dalam program Kempen Derma Darah anjuran Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu di Dewan Warisan SMKSO, bermula 9:30 pagi ini.


Taklimat tentang kepentingan derma darah telah disampaikan oleh pegawai kesihatan berkenaan pada 30 Ogos 2015 lalu.

Pelajar yang berusia 17 tahun ke atas yang mendapat kebenaran daripada ibu bapa, dan yang berusia 18 tahun ke atas, dan lulus saringan kesihatan, layak menderma darah.