Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Khamis, 25 Jun 2020

KHUN JIA YIE DAN BOON YI JUN TERIMA ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG STEM EXXONMOBIL

DUA orang bekas pelajar SMKSO yang merupakan pelajar terbaik SPM 2019, Khun Jia Yie dan Boon Yi Jun, menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil 2019.



Kedua-duanya menerima anugerah yang berjumlah RM1500.00 setiap orang daripada Tuan Haji Kasman bin Embong, Ketua Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, di pejabat itu pagi ini.

Kedua-duanya memperoleh semua A untuk 10 mata pelajaran yang diduduki dalam peperiksaan awam tersebut. Jia Yie memperoleh 5A+, 4A dan 1A-, manakala Yi Jun memperoleh 5A+, 3A, 2A-.

Majlis penyerahan anugerah di peringkat negeri telah diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu pada hari Khamis, 4 Jun 2020 lalu, tetapi kedua-duanya tidak hadir ke majlis itu kerana mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang berlangsung di negara ini.

TINJAUAN PPD DUNGUN DAN ADUN SURA PADA HARI KEDUA PERSEKOLAHAN

SEKIRANYA semalam Encik Shaiful Bahari bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Sektor Pengurusan Sekolah memantau pelaksanaan prosedur operasi standard pembukaan sekolah untuk hari pertama, pada hari ini, Tuan Haji Kasman bin Embong, Pegawai Pendidikan Daerah Dungun turut membuat tinjauan di pintu masuk utama sekolah. 


Beliau bersama dengan Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO, dan guru pengurusan lain meninjau proses pemeriksaan suhu badan dan pengawasan penjarakan individu dalam kalangan pelajar.

Selepas itu sekolah dikunjungi oleh Tuan Berhormat Haji Wan Hapandi bin Wan Nik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sura. Beliau yang diiringi oleh Tuan Haji Che Rashid berkesempatan singgah di bebeapa buah kelas, termasuk Tingkatan Enam. Dalam perjumpaan ringkas itu, beliau menyampaikan hasrat agar pelajar terus belajar dengan lebih tekun kerana peperiksaan akan berlangsung tidak lama lagi. ADUN itu juga sempat beramah mesra dengan guru-guru Tingkatan Enam di Bilik Guru Mawaddah.


Rabu, 24 Jun 2020

PROSES PEMBELAJARAN HARI PERTAMA BERLANGSUNG LANCAR

HARI pertama persekolahan di SMK Sultan Omar selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berlangsung dengan lancar dari segi pematuhan prosedur operasi standard.


Seawal pukul 7:00 pagi, pelajar yang hadir ke sekolah melalui pintu pagar utama dikesan suhu badan oleh guru petugas kesihatan dan dipantau pematuhan penjarakan individu oleh guru petugas keselamatan.

Encik Shaiful Bahari bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Sektor Pengurusan Sekolah, hadir untuk memantau pelaksanaan prosedur operasi standard di pintu masuk dan di bilik darjah pada waktu pertama persekolahan yang bermula pada pukul 8:00 pagi.

Pada waktu rehat, pelajar dibenarkan ke kantin mengikut tiga peringkat masa untuk membeli makanan yang dibungkus. Makanan yang dibeli dimakan di meja masing-masing di bilik darjah dengan diawasi oleh guru. 

Sebelum pulang, semua murid diperiksa suhu badan, dan dilepaskan pulang berperingkat-peringkat.

Isnin, 22 Jun 2020

TAKLIMAT SIAP SIAGA MENGENDALIKAN PEMBELAJARAN MULAI RABU INI

PENGURUSAN SMKSO mengadakan satu taklimat khusus mengenai pengendalian aktiviti pembelajaran pelajar SPM dan STPM yang akan bermula Rabu ini. Taklimat yang diadakan di Dewan Warisan sekolah ini merupakan perhimpunan secara bersemuka yang pertama semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di negara ini pada Mac lalu.



Taklimat yang mematuhi arahan penjarakan individu itu dilaksanakan mengenai tugas guru yang mengendalikan saringan kesihatan pelajar, pengawasan keselamatan, dan proses sanitasi selepas setiap bilik darjah dan bilik khas digunakan setiap hari, hebahan dan peringatan berkala kepada warga sekolah, dan tindakan-tindakan lain yang perlu yang mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Dalam proses mematuhi prosedur operasi standard itu, setiap pelajar, guru, kakitangan dan pelawat yang hendak memasuki kawasan sekolah akan diperiksa suhu badan di pintu masuk utama. Suhu badan pelajar akan diperiksa oleh guru yang bertugas, manakala suhu badan guru, kakitangan, pekerja swasta, dan pelawat lain akan dilakukan oleh pengawal keselamatan.

Pembelajaran secara formal akan bermula pada pukul 8:00 pagi hingga pukul 2:00, tetapi beberapa kelas akan berakhir pada 2:40 petang. Sepuluh bilik darjah digunakan untuk pelajar Tingkatan Lima, manakala tiga bilik asal digunakan oleh pelajar Tingkatan Enam Atas.




Ahad, 21 Jun 2020

MAJLIS SANJUNGAN BUDI LAMBAIAN KASIH UNTUK CIKGU HAJI ELIAS DAN CIKGU ROSMALINA

KELAB Guru dan Kakitangan DESSO mengadakan majlis khas untuk seorang guru SMKSO yang menamatkan perkhidmatan dan seorang guru yang bertukar ke sekolah lain pada pagi ini. 



Majlis yang dilangsungkan melalui terminal Google Meet hari ini khusus untuk memberikan penghargaan kepada Tuan Haji Elias bin Haji Othman, Guru Akademik Biasa Bahasa Melayu yang bersara wajib pada 27 April 2020 yang lalu.

Tuan Haji Elias mula berkhidmat di sekolah ini pada 1 Mac 2003 setelah bertukar dari SMK Sura. Sebelumnya beliau bertugas di SMK Ahmad, Pekan, Pahang, dan bertukar ke Terengganu untuk berkhidmat di SMK Padang Pulut.

Selain itu, majlis turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Rosmalina binti Abd. Rashid, Guru Kanan Mata Pelajaran Sains dan Matematik, yang bertukar ke SMK Sura dengan jawatan yang setara. Puan Rosmalina mula bertugas di SMKSO pada 16 Disember 2015. Tempat yang ditinggalkannya digantikan oleh Encik Ahmad Burham bin Awang.

Kedua-duanya menerima hadiah penghargaan daripada pelbagai pihak, termasuk hadiah peribadi di Bilik Mesyuarat Gemilang, SMKSO, yang diikuti oleh guru lain melalui Google Meet.

Majlis di Bilik Mesyuarat Gemilang turut disertai oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG SMKSO bersama-sama Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang, dan semua Guru Penolong Kanan dan Guru Kanan Mata Pelajaran.

Isnin, 15 Jun 2020

DESSO BERSEDIA MENGENDALIKAN PERSEKOLAHAN SEMULA PELAJAR SPM DAN STPM

SMK Sultan Omar sudah membuat persediaan untuk menerima kehadiran semula pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas mulai 24 Jun 2020 ini selepas sekolah di seluruh Malaysia ditutup berikutan pengisyitaharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak Covid-19 mulai 18 Mac 2020 lalu.


Persediaan untuk membuka semula sekolah dilakukan dengan menyediakan keperluan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Majlis Keselamatan Negara. Pada 10 Jun 2020 lalu, Senator Dr. Mohd Radzi bin Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan mengisytiharkan bahawa persekolahan untuk pelajar yang akan menduduki SPM, STPM dan peperiksaan setara lain akan bermula pada 24 Jun 2020.

Prosedur pematuhan itu melibatkan penyusunan meja dan tempat duduk pelajar di dalam bilik darjah dan di dalam bilik khas berjarak satu meter, dan penetapan laluan pergerakan keluar dan masuk ke bilik-bilik berkenaan.

Operasi persediaan bermula oleh guru Tingkatan Enam pada 10 Jun 2020, diikuti oleh guru-guru Tingkatan Lima pada 11 Jun 2020. Pada 14 Jun 2020, semua guru hadir untuk melaksanakan pematuhan prosedur di semua bilik khas.

Pada 11 Jun 2020, Encik Shamsul Bahari bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Pengurusan Sekolah, yang merupakan Pegawai Perhubungan Sekolah, meninjau persiapan tersebut bersama dengan Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO, dan Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran SMKSO. 

Selain prosedur di bilik pembelajaran dan di bilik khas, sekolah membuat persediaan untuk melaksanakan operasi pemeriksaan suhu badan semua warga sekolah yang hadir pada setiap hari persekolahan mulai 24 Jun 2020.

Rabu, 3 Jun 2020

LADAP TENTANG TRANSFORMASI SEKOLAH 2025

PENGURUSAN SMKSO menganjurkan latihan dalam perkhidmatan tentang Menerajui Pembelajaran dalam Transformasi Sekolah 2025, yang lebih dikenali dengan singkatannya, TS25, melalui talian Google Meet pada pukul 9:00 pagi hari ini.


Ladap ini diadakan setelah SMK Sultan Omar dipilih untuk melaksanakan Modul 3 Program TS25. Pengetua Cemerlang dan Penolong Kanan Pentadbiran SMKSO telah mengikuti kursus tentang program itu pada bulan Februari dan Mac lalu melalui dua siri bengkel. 

Dalam latihan dalam perkhidmatan itu, Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang membentangkan perihal Pendidikan Abad Ke-21, manakala Puan Hajah Wan Nooriman bin Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran menjelaskan kaedah penulisan Rancangan Pelajaran Harian Elektronik (e-RPH) terkini.

Ladap tersebut merupakan siri yang ketiga dan julung-julung kali diadakan semasa negara sedang menghadapi ancaman wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Melalui aplikasi Google Meet, semua guru SMKSO mengikuti kursus tersebut di kediaman masing-masing.