Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Rabu, 28 Mac 2018

SANJUNGAN BUDI DAN LAMBAIAN KASIH UNTUK YANG BERSARA

MAJLIS khas untuk meraikan persaraan empat orang guru dan seorang kakitangan sekolah, Majlis Sanjungan Budi dan Lambaian Kasih, diadakan hari ini di Dataran Perhimpunan dan Dewan Warisan.


Majlis di Dataran Perhimpunan diadakan khusus untuk pelajar yang turut dihadiri oleh Tuan Haji Abdul Muie bin Ngah, Pegawai Pendidikan Daerah Dungun. Dalam majlis itu, setiap orang guru berkenaan memberikan ucapan kepada pelajar, di samping menerima hadiah daripada pelajar. Tuan Haji Abdul Muie turut menyampaikan Sijil Penghargaan Perkhidmatan daripada Kerajaan Malaysia kepada yang bersara.

Majlis bersama dengan guru yang disertai jamuan diadakan di Dewan Warisan, dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Guru yang bersara ialah Encik Wan Ahmat bin Wan Manan, Penolong Kanan Kokurikulum, yang bersara wajib pada 24 Mac 2018, dan Puan Hajah Maziah binti Embong, Guru Pendidikan Islam yang bersara pilihan pada 16 Februari 2018 yang lalu.

Sementara itu, dua orang guru lain yang akan bersara turut diraikan. Puan Hajah Rosnah binti Hashim, Guru Akademik Bahasa Melayu Tingkatan Enam akan bersara wajib pada 5 April 2018, dan Tuan Haji Ramli bin Musa, Guru Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling, akan bersara pilihan pada bulan Mei 2018 nanti.

Encik Wan Ahmat bin Wan Manan mula berkhidmat di DESSO pada 16 Julai 2011 sebagai Penolong Kanan Kokurikulum, manakala Puan Hajah Maziah binti Embong memulakan perkhidmatannya di sekolah ini pada 16 Januari 2014.

Puan Hajah Rosnah pula berkhidmat di sekolah ini pada 1 Mei 1994, sementara Tuan Haji Ramli memulakan perkhidmatannya di sekolah ini pada 16 Januari 2010.

Sementara itu, pembantu tadbir yang bersara ialah Puan Zainun binti Ali, yang memulakan perkhidmatannya di DESSO pada 16 Jun 2009, akan bersara pada 13 Mei 2018.

Khamis, 15 Mac 2018

SPM 2017 MENCIPTA LONJAKAN SAUJANA

CALON SPM 2017 DESSO mencipta lonjakan saujana apabila menunjukkan peningkatan yang ketara dalam beberapa kategori berbanding dengan keputusan tahun sebelumnya.


Yang paling membanggakan ialah lima orang calon mencatat kejayaan semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Jumlah ini bertambah empat orang berbanding dengan SPM 2016.

Pelajar paling cemerlang ialah Nur Fatasha binti Azhar yang memperoleh 6A+, 1A, dan 2A-. Pelajar lain ialah Loh Wen Qin dengan pencapaian 5A+, 4A, dan 1A-; Nurul Liyana binti Mohammad dengan keputusan 4A+, 1A dan 4A-; Chua Shuoh Shuan mendapat 4A+, 4A, dan 2A-; dan Fong Siau Qi dengan keputusan 1A+, 7A, dan 2A-.

Dalam majlis penyerahan slip keputusan yang diadakan khas secara ringkas di Dewan Warisan, kesemua pelajar ini menerima jambangan bunga dan wang tunai RM100.00 seorang, sumbangan secara spontan daripada Dato' Haji Din bin Adam, Pegawai Pembangunan Dungun. Mereka juga akan menerima hadiah lain semasa Hari Anugerah Kecemerlangan yang akan diadakan nanti.

Pencapaian gred purata memperlihatkan pencapaian tertinggi dalam tempoh limat tahun berikutan dengan perolehan 4.76, berbanding dengan 5.59 (2016), 5.25 (2015), 5.81 (2014), 5.37 (2013), dan 5.62 (2012).

Isnin, 12 Mac 2018

GURU DESSO TERIMA TABLET PERISIAN TUTOR UTUSAN MELAYU

GURU-GURU DESSO menerima sebuah tablet Lenovo Tab 7 Essential dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Bilik Mesyuarat Gemilang tengah hari ini.


Penyerahan tablet itu hasil daripada Projek Pembekalan Tablet dan Perisian Tutor Guru dan e-Paper oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam tablet itu dimuatkan dengan perisian Tutor Guru dan perisaan akhbar digital Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, dan Utusan Melayu secara percuma. Bersama dengan tablet itu disertakan juga kad perayauan telefon X Pax Celcom. 

Pihak sekolah melalui beberapa orang wakil menerima set tablet tersebut dalam satu majlis khas yang diadakan di SMK Pulau Serai, Dungun, semalam.

Ahad, 11 Mac 2018

LAPAN ORANG GURU DAN SEORANG PEMBANTU TADBIR TERIMA APC 2017

PENGETUA SMK Sultan Omar, Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman mengumumkan lapan orang guru menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2017 di hadapan pelajar dalam Perhimpunan Mingguan Khas pagi ini.


Inilah kali pertama guru yang menerima anugerah itu diumumkan secara terbuka, lebih-lebih lagi kepada pelajar.

Guru yang menerima anugerah itu ialah Encik Fazri bin Mohd, Encik Mohamad Zaidi bin Ibrahim, Puan Hajah Maziah binti Embong, Puan Hajah Rosnah binti Hashim, Puan Loh Chin Eng, Puan Ruhana binti Abd. Ghani, Puan Rosni binti Ibrahim, dan Encik Edy Murad bin Adnan.

Sementara itu, Puan Zainon binti Ali, pembantu tadbir, turut menerima APC 2017.

Penyampaian surat anugerah itu disempurnakan sendiri oleh Puan Hajah Noor Maziah, disaksikan oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG, guru, dan pelajar.

Selasa, 6 Mac 2018

MOHD AFHAM CALON TERBAIK STPM 2017

MOHD Afham bin Mohd Yusoff, pelajar Tingkatan 6 Gemilang Sesi 2017 muncul calon terbaik STPM SMK Sultan Omar dengan memperoleh 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017.


Dalam keputusan yang diumumkan hari ini, Mohd Afham mendapat 2A dan 2A- dengan gred puratanya 3.84 mata.

Dengan kejayaannya itu, beliau antara pelajar STPM 2017 yang akan menerima hadiah khas daripada kerajaan negeri Terengganu dalam majlis di SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu hari Khamis ini.

Selain Mohd Afham, 16 orang pelajar lain turut mencatat kejayaan cemerlang, dengan memperoleh merit 3.0 dan ke atas.

Dalam majlis ringkas sempena dengan pengumuman keputusan itu di Bilik Mesyuarat Gemilang DESSO tengah hari ini, kesemua 17 orang pelajar cemerlang itu menerima sijil kecemerlangan masing-masing daripada Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO.

Kesemuanya akan diberikan cenderamata penghargaan dalam Perhimpunan Mingguan Khas pada hari Ahad ini.

Isnin, 5 Mac 2018

PERHIMPUNAN PERPISAHAN USTAZ GHAZALI

SATU perhimpunan khas diadakan hari ini untuk program perpisahan Tuan Haji Ghazali bin Abdullah dengan pelajar-pelajar DESSO.


Tuan Haji Ghazali bertukar ke Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun dan menjawat jawatan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah baharu itu. Beliau menerima surat pertukaran dan kenaikan pangkat itu pada minggu lepas.

Tuan Haji Ghazali mula bertugas di sekolah ini pada 20 April 2005 setelah bertukar dari SMK Teja Putra, Dungun. Oleh itu, beliau telah bertugas di bawah pentadbiran lima orang Pengetua, iaitu Encik Ab Malik bin Musa Dali (Allahyarham), Encik Abdul Rahman bin Husin, Tuan Haji Md. Zain bin Muda, Encik Wan Su bin Wan Jaffar, dan Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman.

Pada akhir majlis, Tuan Haji Ghazali bersalam dengan semua pelajar lelaki Islam dan bukan Islam.

Khamis, 1 Mac 2018

SUMUR MODUL BERBUDI BAHASA DAN PENAMPILAN DIRI

UNIT HAL EHWAL MURID DESSO mengadakan Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Modul Berbudi Bahasa dan Penampilan Diri hari ini.


Kedua-dua modul melibatkan semua pelajar Islam dan bukan Islam yang dijalankan serentak di Surau Al-Ikhlas dan Dewan Warisan. Tiga slot disediakan untuk memenuhi keperluan kedua-dua modul itu.

Program bermula dengan pelajar Islam mengikuti acara bacaan Surah Yasin, sembayang hajat berjemaah, dan sembahyang sunat duha di Surau Al-Ikhlas, manakala pelajar bukan Islam diisi dengan program yang dikendalikan oleh Encik Shee Soon Yee di Dewan Warisan.

Slot kedua ialah Ceramah tentang budi bahasa disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Hanifuddin bin Salleh dan Tuan Haji Ghazali Abdullah di Surau Al-Ikhlas. Program di Dewan Warisan pula dijalankan ceramah kesihatan daripada pegawai kesihatan dari Klinik Kuala Dungun tentang talasemia untuk mengisi slot Modul Penampilan Diri.

Slot ketiga diisikan dengan ceramah "Remaja Cemerlang Sahsiah Unggul" yang disampaikan oleh Ustaz Taufik dari SMK Bukit Besi di Surau Al-Ikhlas, manakala pelajar bukan Islam mengikuti tayangan filem yang bertemakan budi bahasa dan penampilan diri di Dewan Warisan.