Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Sabtu, 27 Ogos 2022

PAMERAN AUTOMOTIF SELEPAS JUALAN SEMPENA HARI TERBUKA PPD DUNGUN

PANITIA Mata Pelajaran Vokasional, Automotif Servis Selepas Jualan, terpilih mewakili SMKSO melalui pameran yang diadakan bersempena dengan Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Dungun.


Hari terbuka itu berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos 2022 di Dewan Seri Dungun, SMK Seri Dungun.

Bahan pameran yang terdiri daripada enjin dan komponen kereta dibawa dari Bengkel MPV SMKSO ke dewan pameran.

Jumaat, 26 Ogos 2022

GURU PANJAT BUKIT BAUK

BEBERAPA orang guru SMKSO berkesempatan menyertai Jalan Ria Merdeka Keluarga DESSO Bukit Bauk pada awal pagi ini.


Peserta mula berkumpul di kaki Bukit Bauk pada pukul 7:00 pagi sebelum mendaki bukit itu ke puncak. Peserta yang tiba di Stesen 1 akan menerima pingat penyertaan. Mengikut kenyataan dalam Whatsapp Rasmi DESSO, guru yang pertama sampai ialah Cikgu Hajah Robiah binti Husain.

Aktiviti memanjat Bukit Bauk merupakan satu daripada program Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat SMKSO pada tahun ini.

Sabtu, 20 Ogos 2022

MOHAMMAD ARMIN ZAHRYL RANGKUL 3 EMAS

ATLET pecut SMKSO, Mohammad Armin Zahryl bin Abdul Latif, memenuhi harapan SMKSO dan daerah Dungun apabila muncul sebagai pelari pecut terpantas kategori Lelaki 18 (L18) dengan memenangi pingat emas bagi acara 100 meter, 200 meter, dan 110 meter berpagar dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Terengganu Ke-51 yang berakhir pada hari ini.

Pelajar itu mencatatkan masa 11.3 saat dalam acara 100 meter, 23.0 saat bagi acara 200 meter, dan 14.8 saat untuk acara 110 meter berpagar.


Dengan kejayaan cemerlangnya itu, Armin dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Kategori L18 dalam kejohanan yang dilangsungkan di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus yang bermula pada 17 Ogos 2022 lalu.

Selain Armin. SMKSO dan daerah Dungun berbangga dengan pencapaian pingat emas oleh Nur Shafika binti Mohd Zuhmi, yang menang dalam acara lompat jauh P15, dengan jarak 4.79 meter.

Sementara itu, atlet lompat kijang P15, Nur Alia Sofea binti Zainudin, meraih pingat gangsa dengan jarak lompatan 9.07 meter.

Dengan pencapaian itu bermakna bahawa daripada pencapatan kontinjen MSSD Dungun memungut 9 butir pingat emas, empat emas disumbangkan oleh dua orang atlet SMKSO, manakala daripada 13 butir pingat gangsa, sebutir disumbangkan oleh seorang atlet SMKSO. Kontinjen Dungun juga mengutip 9 butir pingat perak yang membolehkan Dungun menduduki tempat keempat, diatasi oleh MSSD Kuala Terengganu, Kemaman, dan Setiu.


Khamis, 18 Ogos 2022

KEPUTUSAN STPM 2021: DUA ORANG CALON TERBAIK PEROLEH 3.92

DUA orang calon STPM SMKSO sesi 2021 yang disasarkan menjadi calon terbaik sekolah, menepati ramalan apabila memperoleh keputusan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.92 dalam peperiksaan tersebut yang dikeluarkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) pukul 12:00 tengah hari tadi.



Dua orang calon tersebut, Nurina binti Maidin, dari Tingkatan 6 Atas Terbilang (6AT), dan Che Dayini binti Che Adnan, dari Tingkatan 6 Atas Cemerlang (6AC), masing-masing memperoleh 3A dan 1A- dalam empat mata pelajaran yang diduduki.

SMKSO mendapat gred purata sekolah (GPS) sebanyak 2.82, dengan pencapaian 20 orang calon mendapat PNGK 3.0 ke atas. Pada sesi ini, SMKSO mengemukakan 43 orang calon.

Kedua-dua calon terbaik dan 18 orang rakan yang memperoleh 3.0 ke atas menerima slip keputusan masing-masing daripada Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran yang sedang memangku jawatan Pengetua.

Majlis ringkas itu diadakan di Bilik Mesyuarat Gemilang.

Rabu, 17 Ogos 2022

PELANCARAN PERAYAAN HARI KEBANGSAAN PERINGKAT SMKSO

SMK Sultan Omar melancarkan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sekolah pada hari ini di Dataran Perhimpunan yang melibatkan semua guru dan pelajar pelbagai kaum.



Majlis bermula dengan nyanyian lagu "Negaraku", diikuti dengan ucapan pelancaran yang disempurnakan oleh Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Pemangku Pengetua SMKSO, yang juga Penolong Kanan Pentadbiran.




Pelancaran yang bertemakan "Keluarga Malaysia Teguh Bersama" ini diserikan dengan Kuiz Spontan Hari Kebangsaan, nyanyian beramai-ramai lagu patriotik melibatkan guru dan pelajar, koir pelajar, dan deklamasi puisi.





Ahad, 7 Ogos 2022

MAJLIS SANJUNGAN BUDI LAMBAIAN KASIH PENGETUA KE-26 GILANG-GEMILANG

TUAN Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO, diraikan dalam Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih anjuran Kelab Destaf di Dewan Warisan SMKSO, hari ini.

Majlis dihadiri oleh Tuan Haji Kasman bin Embong, Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, Encik Shamsul Bahri bin Shafie, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Sektor Pengurusan Sekolah, Pengetua dan Guru Besar dari sekolah menengah dan sekolah rendah di sekitar daerah Dungun, bekas pengetua dan guru besar dari sekolah di sekitar daerah Dungun, Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG, timbalan dan ahli jawatankuasa, dif-dif jemputan daripada pelbagai agensi, guru SMKSO, kakitangan sekolah, dan kakitangan swasta sekolah.




Majlis bermula dengan perarakan guru mengiringi Tuan Haji Che Rashid dan isteri dari pejabat sekolah ke Dewan Warisan sambil disaksikan pelajar yang berbaris di sepanjang jalan. Dalam majlis di dewan, yang hadir mengikuti ucapan wakil guru, wakil Majlis Pengetua Sekolah Menengah Daerah Dungun, ucapan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, ucapan yang diraikan, acara memotong pulut kuning, dan tayangan video.




Semasa jamuan disajikan, hadirin disajikan dengan bacaan seloka oleh Ustaz Za'aimuddin bin Husain, Pengerusi Destaf. Majlis kemuncak ialah penyampaian cenderahati daripada pelbagai unit.

Majlis keraian ini sempena dengan persaraan wajib beliau mulai esok (8 Ogos 2022). Beliau yang memulakan karier keguruan pada 1 Ogos 1989 dan menjawat jawatan Pengetua pada 2 Ogos 2016 di SMK Sura, kemudiannya menjalankan tugas sebagai Pengetua SMKSO mulai 3 September 2019. Pada 12 Disember 2020, beliau dinaikkan pangkat menjadi Pengetua Cemerlang DG54. 

Antara kejayaan besar beliau semasa mentadbir SMKSO dalam tempoh lebih kurang tiga tahun ialah mewujudkan pangkalan data DESSO (DESSO Data Centre), SMKSO dipilih menjadi Sekolah TS25 Kohort 5. SMKSO dipilih menjadi Sekolah Takungan SPM Daerah Dungun mulai 2022, dan menjuarai Kejohanan Olahraga MSSD Dungun ke-52 pada tahun ini.

Khamis, 4 Ogos 2022

MAJLIS PERJUMPAAN TERAKHIR TUAN HAJI CHE RASHID DENGAN SEMUA PELAJAR SMKSO

TUAN Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO mengadakan perjumpaan dengan semua pelajar SMKSO dalam satu majlis khas di Dataran Perhimpunan pagi ini.

Haji Che Rashid diarak dari pejabat sekolah ke Dataran Perhimpunan, sebelum majlis dilangsungkan. Dalam majlis itu, wakil pelajar dan Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar berucap. Selepas biodata tuan pengetua dibacakan, Tuan Haji Che Rashid menyampaikan amanatnya yang terakhir kepada pelajar.


Majlis diserikan dengan persembahan daripada pelajar Tingkatan 6 dan Pendidikan Khas, dan penyampaian cenderahati kenang-kenangan daripada pelajar.


Selepas perhimpunan, Tuan Haji Che Rashid menanam pokok mangga epal berhampiran dengan blok pengurusan dan pentadbiran, dan kemudiannya beliau merasmikan Bilik TS25 di tingkat atas blok itu.




Tuan Haji Che Rashid memulakan perkhidmatan sebagai Pengetua di SMKSO mulai bulan September 2019, dan akan meninggalkan profesyen keguruan dan perkhidmatan awam pada 8 Ogos 2022 (Isnin). Sebelum itu, pada 7 Ogos 2022 (Ahad), beliau akan diraikan oleh guru dan kakitangan SMKSO di Dewan Warisan.