Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Khamis, 27 April 2017

MAJLIS PENUTUPAN MINGGU STEM DAN ANUGERAH KECEMERLANGAN 2016

27 APRIL 2017 (KHAMIS) - DESSO mengadakan program tahunan, Majlis Anugerah Kecemerlangan DESSO 2016 di Dewan Warisan pagi ini. Dalam majlis itu, disampaikan anugerah kategori guru dan kategori pelajar. 


Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Din bin Adam, Pegawai Pembangunan Dungun, dan turut dihadiri oleh Encik Che Mohd Yusri bin Che Hashim, wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, dan Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG.

Kehadiran perasmi dan tetamu lain disambut dengan paluan gendang besar oleh pelajar Cina, dan pertunjukan silat oleh Muhammad Mustaqim, pelajar Pra-U Atas Gemilang.

Empat puluh sembilan orang guru diberikan anugerah kerana lonjakan dari segi kelulusan dan gred purata sekolah tahun 2016, manakala dan empat puluh tiga orang pelajar menerima hadiah kecemerlangan dalam peperiksaan PT3, SPM, dan STPM 2016.

Selain itu, tiga orang pelajar dipilih menerima hadiah khas. Pelajar terbaik SPM 2016, Norhafiefa Alieya binti Hamzah, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik, Muhammad Fakhrul Hakimin bin Haji Mokhtar menerima Anugerah Tokoh Sahsiah Unggul, dan Sharifah Aqilah Farhana binti Syed Ali, pemain petanque peringkat negeri dan kebangsaan, dipilih untuk menerima Anugerah Tokoh Koakademik.

Pada majlis yang sama, Minggu STEM 2017 juga ditutup dengan rasminya.

Ahad, 23 April 2017

MINGGU STEM BERMULA HARI INI

23 APRIL 2017 (AHAD) - SMK Sultan Omar menganjurkan Minggu STEM (Science, Technology, Engineering, and Mathematics) mulai hari ini hingga Selasa (25-04-2017) ini.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Haji Kassim bin Husin, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Dungun di Dataran Perhimpunan pagi ini.

Program Minggu STEM dipenuhi dengan aktiviti pameran dan pertandingan oleh panitia mata pelajaran STEM dan jualan oleh persatuan dan kelab.

Pelajar juga boleh menyertai pertandingan memanah dan menembak yang dikendalikan oleh pengusaha luar. Selain itu, pada hari kedua nanti, pihak UiTM Bukit Besi, Dungun, dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun akan mempamerkan ciptaan robot. UiTM Bukit Besi juga dijangka akan mempamerkan ciptaan kereta dan motosikal oleh pelajarnya.

Selepas perasmian, Tuan Haji Kassim melawat semua bilik pameran sambil beramah mesra dengan pelajar yang mengelolakan pameran.

Minggu STEM tidak melibatkan banyak hari kerana secara kebetulan pada minggu ini terdapat dua cuti umum, iaitu Hari Pertabalan KDYMM Yang di-Pertuan Agong VX pada hari Isnin, dan Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Terengganu pada hari Rabu.

Selasa, 18 April 2017

PERARAKAN APRESIASI KOKURIKULUM

18 APRIL 2017 (SELASA) - Perarakan Apresiasi Kokurikulum Peringkat SMKSO dilaksanakan pada pagi ini selepas Perhimpunan Kokurikulum.


Perarakan yang dilepaskan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO melalui Jalan Yahya Ahmad, Jalan Nibong Bawah, Jalan Tembusu, dan Jalan Merbuk, sebelum masuk semula ke kawasan sekolah.

Pelaksanaan perarakan itu mematuhi arahan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sebagai satu aktiviti dalam Program Memperkasakan Transformasi Pendidikan Negeri Terengganu.

Semua unit uniform sekolah terlibat dalam perarakan tersebut yang tamat sepenuhnya pada pukul 9:00 pagi.


Rabu, 5 April 2017

TADARUS AL-QURAN DAN FESTIVAL NASYID ZON RANTAU ABANG DI DESSO

5 APRIL 2017 (RABU) - SMK Sultan Omar menjadi tuan rumah Majlis Tadarus al-Quran dan Festival Nasyid Peringkat Zon Rantau Abang pagi ini.


Empat pertandingan diadakan bagi majlis itu, iaitu tilawah al-Quran, hafazan, syarahan spontan, dan nasyid.

Dalam pertandingan tersebut, peserta DESSO mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tilawah lelaki, hafazan lelaki dan perempuan, dan nasyid, dan menjadi naib johan bagi pertandingan syarahan lelaki dan syarahan perempuan.

Zon Rantau Abang terdiri daripada SMK Sultan Omar, SMK Agama Kuala Abang, Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, SMK Seri Dungun, SMK Kompleks Rantau Abang, dan SMK Pulau Serai.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang dan majlis penutupan disempurnakan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMK Sultan Omar.


Selasa, 4 April 2017

PELANCARAN KEM MEMBACA 1MALAYSIA PERINGKAT DESSO

4 APRIL 2017 (SELASA) - Program Kem Membaca 1Malaysia yang diilhamkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dilancarkan di peringkat DESSO hari ini oleh Encik Ruslan bin Haji Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran.


Pelancaran diadakan di Dataran Perhimpunan DESSO, serentak dengan Perhimpunan Kokurikulum Sekolah.

Kem membaca ini bertema "Membaca Menjana Pemikiran 1Malaysia", yang berlangsung mulai hari ini hingga Khamis ini.

Dalam majlis pelancaran itu, pelajar dan guru membaca buku yang telah dibawa masing-masing selama sepuluh minit.

Ahad, 2 April 2017

FROG VLE DAN TV DESSO DILANCARKAN HARI INI

2 APRIL 2017 (AHAD) - Unit ICT SMK Sultan Omar mengadakan pelancaran Frog VLE dan perasmian TV DESSO dalam satu majlis khas semasa Perhimpunan Mingguan di Dataran Perhimpunan SMKSO pada pagi ini.


Pelancaran dilaksanakan untuk menghebahkan bahawa SMKSO merupakan sekolah perintis program Frog VLE bagi daerah Dungun. Kewujudan program ini mempunyai tujuan untuk memberi inspirasi kepada warga sekolah tentang keperluan kaedah pengajaran baharu, di samping memberikan kemahiran kepada guru dan pelajar untuk menggunakan Frog VLE dengan berkesan.

Perasmian TV DESSO pula untuk menjelaskan bahawa PSS mempunyai kumpulan pelajar yang mempunyai kebolehan mengendalikan peralatan video dan pelajar yang mampu berkomunikasi di hadapan penonton. Projek ini mendedahkan pelajar tentang aspek kewartawanan, undang-undang penyiaran, dan penulisan berita.

Kedua-dua program itu disempurnakan serentak oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman.

Dalam acara pelancaran dan perasmian itu, pelajar berpeluang untuk menjawab soalan spontan dan diberikan cenderahati. Selain itu, Puan Hajah Noor Maziah ditemu ramah oleh wartawan TV DESSO tentang kepentingan program Frog VLE dan kewujudan TV DESSO.

Puan Hajah Noor Maziah juga menyerahkan kata pengguna dan kata laluan VLE kepada pelajar yang membolehkan mereka mengakses Frog VLE dan memperoleh manfaat pendidikan dan hiburan yang disediakan secara dalam talian.