Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Khamis, 28 Disember 2017

PENDAFTARAN PELAJAR TINGKATAN SATU SESI 2018

SMK Sultan Omar menerima warga pelajar baharu apabila pelajar lepasan UPSR dari sekolah-sekolah sumber mendaftar untuk memasuki Tingkatan 1 di Dewan Warisan hari ini.


Majlis pendaftaran dijalankan secara ringkas dengan ucapan alu-aluan daripada Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO.

Beberapa kelas dibuka untuk Tingkatan 1, yang terdiri daripada 1 Premier, 1 Dinamik, 1 Elit, 1 Sejahtera, dan 1 Sentosa.

Selepas pendaftaran mengikut kelas masing-masing yang telah ditetapkan, pelajar yang ditemani ibu bapa dan penjaga mengambil buku teks di Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS).

Selasa, 26 Disember 2017

MESYUARAT GURU PERTAMA UNTUK MENGHADAPI SESI PERSEKOLAHAN 2018

TUGAS guru-guru SMK Sultan Omar untuk sesi 2018 bermula hari ini dengan berlangsungnya Mesyuarat Guru Kali Pertama 2018 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Gemilang.


Mesyuarat yang berlangsung mulai 8:00 pagi itu dimulai dengan penyampaian amanat daripada Pegawai Pendidikan Daerah Dungun yang disampaikan oleh Encik Faisal bin Amran, Pegawai SISC+ di Pejabat Pendidikan Daerah Dungun. Encik Faisal merupakan Pegawai Perhubungan PPD yang baharu untuk sekolah ini.

Sesi kedua mesyuarat hari ini ialah pembentangan penekanan yang ingin dititikberatkan dalam pengurusan pendidikan di sekolah ini yang disampaikan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO.

Mesyuarat hari ini juga diisi dengan pengagihan tugas kepada guru-guru yang meliputi bidang kurikulum, kokurikulum, dan hal ehwal murid. Kesemua tugas guru tercatat dalam buku Info Pengurusan SMKSO 2018.

Khamis, 14 Disember 2017

PT3 2017 MENINGKAT BERBANDING 2016

KEPUTUSAN ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang melibatkan calon DESSO bagi tahun 2017 menggembirakan pengurusan sekolah ini kerana menunjukkan peningkatan berbanding dengan tahun 2016.


Dari segi kualiti, 10 orang calon memperoleh keputusan 10A, iaitu sebanyak 7.58%. Keputusan ini menunjukkan peningkatan seramai dua orang calon berbanding dengan keputusan 2016 yang hanya mencatatkan lapan orang calon atau 5.59% memperoleh 10A.

Majlis pengumuman keputusan dan penyerahan slip peperiksaan tersebut diadakan di Dewan Warisan pada pagi ini.

Selain itu, dua orang memperoleh 9A (1.52%), lima orang mendapat 8A (3.79%), empat orang memperoleh 7A (3.03%), lapan orang mendapat 6A (6.06%), dan enam orang calon mendapat 5a (4.55%).

Keputusan PT3 itu juga memperlihatkan seamai 60 orang calon atau 45.5% lulus dalam semua mata pelajaran yang diduduki. Pencapaian ini juga lebih baik daripada tahun 2016 yang hanya mencatatkan keputusan 40.56%.

PT3 tahun ini diduduki oleh 132 orang calon.

Rabu, 15 November 2017

RANCANGAN PELAJARAN HARIAN DALAM TALIAN MULAI TAHUN DEPAN

15 NOVEMBER 2017 (RABU) - Penulisan Rancangan Pelajaran Harian di SMK Sultan Omar akan menggunakan sistem dalam talian mulai awal Januari tahun hadapan.


Penggunaan itu bermula secara rintis yang akan dilaksanakan oleh 35 orang guru, termasuk guru pengurusan sekolah.

Melalui sistem e-RPH ini, guru akan menghantar rancangan harian masing-masing pada setiap hari melalui aplikasi Frog VLE.

Sehubungan dengan itu, pada petang ini, 35 orang guru rintis tersebut mengikuti taklimat dan bengkel penulisan e-RPH di Makmal ICT DESSO.

Penggunaan e-RPH akan diperluas kepada semua guru sekolah ini pada tahun 2019 nanti.

Ahad, 12 November 2017

JAMUAN AKHIR TAHUN KELAB GURU DAN KAKITANGAN

12 NOVEMBER 2017 (AHAD) -  Kelab Guru dan Kakitangan DESSO mengadakan Majlis Jamuan Akhir Tahun di Hotel UiTM Dungun petang ini.


Selain jamuan tengah hari, majlis turut mengadakan penyampaian Anugerah Khas Pengetua, antaranya Anugerah Penulisan Rekod Pengajaran Terbaik, Anugerah Guru Kreatif, dan Anugerah Kehadiran 100% Kategori Guru.

Majlis turut menyampaikan penghargaan kepada kakitangan dan guru yang bertukar ke sekolah lain pada tahun ini, antaranya Encik Mohd Izhar, Encik Mohd Husni bin Husain, Ketua Kerani yang bertukar ke SK Gong Pasir, dan Puan Noraini binti Awang, Ketua Panitia Bahasa Melayu yang dilantik sebagai Ketua Bidang Bahasa di SMK Kompleks Padang Jambu.

Dalam majlis itu juga diadakan cabutan bertuah, termasuk Cabutan Bertuah Utama yang dimenangi oleh Pembantu Makmal, Encik Muhammad Yusoff bin Mat Zin. Cabutan bertuah lain pula antaranya pakej penginapan percuma di inap desa di Dungun, barangan elektrik, barangan perhiasan, dan sebagainya.

Ahad, 5 November 2017

RESTU ILMU STPM PENGGAL 3 DAN PENGGAL 1

5 NOVEMBER 2017 (AHAD) - SELEPAS pelajar Tingkatan Lima mengadakan Majlis Restu Ilmu SPM, hari ini giliran pelajar Tingkatan Enam pula mengadakan Majlis Restu Ilmu STPM.


Majlis diadakan di Bilik Mesyuarat Gemilang, dan disempurnakan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMK Sultan Omar.

Dalam majlis itu juga disampaikan cenderamata kepada semua pelajar yang diterima oleh ketua tingkatan masing-masing. Selain itu, pelajar Penggal 3 (Enam Atas) dan pelajar Penggal 1 (Enam Bawah) yang memperoleh pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Percubaan Penggal 3 dan Penggal 1 yang diadakan pada bulan Oktober lalu turut menerima hadiah.

Pelajar Enam Atas akan menghadapi STPM Penggal 3 pada 7 hingga 9 November 2017, manakala pelajar Enam Bawah akan menghadapi STPM Penggal 1 pada 16, 20 dan 21 November 2017. Pelajar Enam Atas mengulang mata pelajaran bagi Penggal 1 turut akan menghadapi peperiksaan serentak dengan pelajar Enam Bawah, manakala yang mengulang mata pelajaran Penggal 2 akan menghadapi peperiksaan pada 23, 27 dan 28 November 2017.

Pada tahun ini, 40 orang calon menghadapi STPM Penggal 3, dan 47 orang calon menghadapi STPM Penggal 1.

Khamis, 2 November 2017

RESTU GURU UNTUK CALON SPM 2017

1 NOVEMBER 2017 (AHAD) - Unit Kecemerlangan SPM mengadakan Majlis Restu Ilmu SPM yang melibatkan semua pelajar Tingkatan Lima di Dewan Warisan hari ini.


Majlis disempurnakan oleh Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran.

Dalam majlis itu, pelajar menerima cenderamata daripada Unit Kecemerlangan SPM, diikuti dengan acara bersalaman antara pelajar dan guru SPM.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Tuan Haji Rusli bin Mohd Nor, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Sabtu, 28 Oktober 2017

MALAM ANUGERAH KECEMERLANGAN KOKURIKULUM

27 OKTOBER 2017 (JUMAAT) - Unit Kokurikulum DESSO menganjurkan Malam Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum DESSO 2017 pada malam ini.


Anugerah diberikan kepada lapan orang guru dan 24 orang pelajar yang masing-masing cemerlang dalam kepimpinan dan aktiviti kokurikulum, termasuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Pasukan Kadet Bersatu Malaysia, Kelab Aeroangkasa dan Robotik, dan Kelab Petanque masing-masing dipilih sebagai Unit Beruniform, Persatuan/Kelab Koakademik, dan Kelab Sukan dan Permainan terbaik. Sementara itu, Pasukan Kor Kadet Polis, Persatuan Bahasa Cina, dan Kelab Bola Keranjang masing-masing memenangi Anugerah Pengurusan Unit Kokurikulum Cemerlang.

Majlis dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Din bin Adan, Pegawai Pembangunan Dungun, yang turut menyampaikan anugerah kepada Tokoh Kokurikulum Guru dan Tokoh Kokurikulum Murid.

Turut hadir ialah Tuan Haji Abdul Mubin bin Ismail, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Dungun. Beliau turut menyampaikan anugerah kategori Murid Cemerlang Badan Beruniform, Anugerah Khas Kokurikulum, Anugerah Guru Cemerlang Kokurikulum, Anugerah Unit Kokurikulum Cemerlang, dan Anugerah Pengurusan Unit Kokurikulum Cemerlang.

Selain merasmikan Malam Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum, Dato' Haji Din juga turut menutup Perkhemahan Badan Beruniform DESSO yang berlangsung mulai semalam dan akan berakhir pada tengah hari esok.  




PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM DESSO

26 OKTOBER 2017 (KHAMIS) - Unit Kokurikulum DESSO menganjurkan Perkhemahan Unit Uniform yang berlangsung mulai tengah hari ini hingga tengah hari 28 Oktober 2017 (Sabtu) ini.


Perkhemahan yang diadakan di padang sekolah itu disertai oleh lebih kurang 200 orang ahli daripada 10 unit uniform yang terdapat di sekolah ini.

Sepanjang perkhemahan itu, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti kemahiran dalam bentuk pertandingan, antaranya pembinaan gajet, pertolongan cemas, persembahan teater, lari merentas halangan, mencari harta karun, dan gotong-royong.

Selain aktiviti tersebut, pada hari Jumaat, akan diadakan Malam Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum 2017, yang dijangka akan disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berbahagia Dato; Haji Din bin Adam, Pegawai Pembangunan Dungun. Anugerah itu akan melibatkan pemberian penghargaan kepada pelajar dan guru yang cemerlang dalam aktiviti kokurikulum sepanjang tahun ini.

Ahad, 8 Oktober 2017

AHMAD KHURAIZY DAN NUR FATIHAH IZATI TOKOH SUMUR

8 OKTOBER 2017 (AHAD) - Ahmad Khuraizy bin Khuzainol dan Nur Fatihah Izati binti Omar diumumkan sebagai Tokoh SUMUR DESSO 2017 dalam Perhimpunan Mingguan pagi ini.


Ahmad Khuraizy merupakan pelajar Tingkatan 4 DESSO 1. Tokoh ini ialah anak keenam kepada pesara guru. Bapanya itu pernah bertugas di SMK Sultan Omar sehingga akhir 1990-an, dan bersara daripada perkhidmatan guru semasa menjadi Guru Besar di SK Bandar Dungun. Khuraizy yang bercita-cita menjadi juruterbang merupakan Pengawas Sekolah dan pernah mewakili sekolah dan daerah Dungun dalam kejohanan olahraga peringkat negeri Terengganu pada tahun 2017.

Tokoh perempuan, Nur Fatihah Izati juga anak kepada pesara guru. Tokoh ini bercita-cita untuk menjadi guru juga. Pelajar Tingkatan 3 DESSO 1 ini juga Pengawas Sekolah dan menjadi Ahli Jawatankuasa Persatuan Puteri Islam DESSO.

Hadiah dan sijil penghargaan disampaikan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMK Sultan Omar.

Khamis, 5 Oktober 2017

SOLAT HAJAT PERDANA PEPERIKSAAN AWAM


5 OKTOBER 2017 (KHAMIS) - Pengurusan Sekolah dengan kerjasama Jawatankuasa Kecemerlangan Akademik Sekolah mengadakan Majlis Solat Hajat Perdana di Surau Al-Ikhlas DESSO pada malam ini.

RESTU ILMU KEPADA PELAJAR PT3


5 OKTOBER 2017 (KHAMIS) - Menjelang Penilaian Tingkatan 3 (PT3) pada minggu hadapan, Jawatankuasa Kecemerlangan PT3 mengadakan Majlis Restu Ilmu PT3 di Dewan Warisan DESSO, pagi ini.

MASAK EMPAT KAWAH ASYURA DI DESSO


5 OKTOBER 2017 (KHAMIS) - Setelah beberapa lama tidak diadakan, pengurusan DESSO dengan kerjasama kakitangan swasta sekolah menganjurkan Majlis Memasak Asyura hari ini.

Ahad, 3 September 2017

PENOLONG KANAN PENTADBIRAN MENINGGAL DUNIA


3 SEPTEMBER 2017 (AHAD) - Encik Ruslan bin Haji Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran DESSO meninggal dunia tengah hari ini. Beliau yang sedang berada di halaman rumahnya dikatakan pitam dan dibawa ke Hospital Dungun, dan disahkan meninggal di situ.

Isnin, 21 Ogos 2017

BULAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SMKSO DILANCARKAN HARI INI

20 OGOS 2017 (AHAD) -  Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat SMK Sultan Omar 2017 dilancarkan dengan rasminya dalam Perhimpunan Khas pagi ini.


Majlis pelancaran yang diadakan di Medan Perhimpunan DESSO itu turut dihadiri oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) DESSO.

Pengetua SMKSO, Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman dalam ucapannya berharap pelajar DESSO yang terdiri daripada pelbagai kaum, dan menganggapnya sebagai Malaysia Kecil, dapat mengekalkan perpaduan agar suasana di sekolah sentiasa dalam keadaan harmoni.

Majlis diserikan dengan gimik bendera Union Jack diturunkan, diikuti dengan perisytiharan kemerdekaan Malaysia, bendera Malaysia dinaikkan dengan iringan nyanyian lagu "Negaraku". Tiga kumpulan pelajar turut mengadakan formasi ungkapan "I Love Malaysia". Sebelum itu, Muhammad Fitri bin Alias dari Tingkatan Enam Atas Gemilang mendeklamasikan sajak ciptaan Usman Awang.

Isnin, 31 Julai 2017

SAYA SEJAHTERA DILANCARKAN SEMPENA DENGAN MINGGU AYUH SEJAHTERA PENDIDIKAN TERENGGANU

30 JULAI 2017 (AHAD) - UNIT Hal Ehwal Murid DESSO melancarkan Saya Sejahtera Peringkat SMKSO di Dataran Perhimpunan DESSO pagi ini.



Program ini dilancarkan dengan rasminya oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO. Dalam majlis ini, Tuan Haji Rusli bin Mohd Nor, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid membacakan mesej daripada Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, dan Encik Ruslan bin Haji Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran, membacakan mesej daripada Menteri Besar Terengganu.

Majlis juga diserikan dengan pemotongan riben sebagai tanda pelancaran, diikuti deklamasi sajaka dan nyanyian lagu "Dadah Durjana".

Program Saya Sejahtera diisikan dengan aktiviti Pesan Bestari, Saya Sejahtera dalam PdP, Doa Pagi Saya Sejahtera, Tazkiatun Nafs, dan Ujian Pra-Program Minggu Ayuh Sejahtera dan Ujian Pasca-Program Minggu Ayuh Sejahtera. Aktiviti senamrobik juga diadakan pada 2 Ogos 2017.

Jumaat, 21 Julai 2017

RUMAH HARIMAU MASIH UNGGUL DALAM KEJOHANAN OLAHRAGA SMKSO

20 JULAI 2017 (KHAMIS) - Kejohanan Olahraga SMK Sultan Omar yang bermula pada 18 Julai 2017 berakhir tengah hari ini dengan Rumah Harimau (Kuning) mengekalkan status kontinjen pilihan apabila muncul sebagai johan sekali lagi pada kali ini.


Selain menjuarai acara kejohanan, Rumah Harimau turut memenangi Pertandingan Perbarisan Antara Rumah Sukan.

Perasmian penutupan disempurnakan oleh Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKSO. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Kejohanan olahraga kali ini berjalan lancar kecuali acara petang 19 Julai 2017 (Rabu) telah dibawa ke hari berikutnya kerana hujan lebat dan petir.

Empat pasukan rumah sukan, Rumah Harimau, Rumah Garuda (Hijau), Rumah Singa (Merah), dan Rumah Pelanduk (Biru), bertanding dalam semua acara yang dilangsungkan.

Isnin, 17 Julai 2017

PELANCARAN FROG WINNER UNTUK MENINGKATKAN PERATUSAN PENGGUNAAN VLE FROG

16 JULAI 2017 (AHAD) - SMKSO melancarkan Program Frog Winner semasa Perhimpunan Mingguan pada pagi ini yang disempurnakan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO.


Menurut Guru Kanan Mata Pelajaran Vokasional dan Teknik, Puan Norhaida binti Abas, program ini diilhamkan oleh Pengetua DESSO untuk meningkatkan peratusan penggunaan VLE Frog dalam kalangan pelajar dan guru SMKSO.

Untuk meningkatkan peratusan penggunaan itu, guru dan pelajar dikehendaki menggunakan e-mel Yes yang terdapat dalam program VLE Frog sebagai e-mel utama, menggunakan Google Drive sebagai ganti pemacu pen, mencipta dan menjawab kuiz, serta pelajar menjawab tugasan yang diberikan oleh guru melalui laman mata pelajaran masing-masing.

Dalam program hari ini, tiga orang pelajar dan dua orang guru telah dipilih sebagai pemenang berdasarkan jumlah akses masuk dan tempoh melaksanakan akses dalam VLE Frog.

Jumaat, 7 Julai 2017

WARGA SMKSO BERHARI RAYA

6 JULAI 2017 (KHAMIS) - SMK Sultan Omar mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Sekolah hari ini serentak dengan sekolah-sekolah lain di Terengganu.


Jamuan hari raya diadakan mulai pukul 10:00 pagi hingga 12:30 tengah hari di ruang hadapan blok Pendidikan Khas Integrasi SMKSO.

Semua pelajar, guru, kakitangan sokongan, dan kakitangan swasta terlibat menjayakan program yang diadakan pada setiap tahun ini. Sepanjang program berlangsung, warga SMKSO dan tetamu yang hadir disajikan dengan persembahan kumpulan kugiran sekolah.

Turut hadir dalam majlis itu ialah bekas pengetua SMKSO, iaitu Tuan Haji Md Zain bin Muda dan isteri, Encik Wan Su bin Wan Jaffar dan isteri, dan Encik Abdul Rahman bin Husin.

Yang Dipertua PIBG, Tuan Haji Mokhtar bin Omar dan beberapa orang AJK PIBG turut hadir. Pejabat Pendidikan Daerah Dungun diwakili oleh tiga orang pegawai SISC, Encik Mohd Isham bin Embong, Encik Muhamad Azni bin Mat Zin, dan Encik Faizal bin Amran.

Selain itu, turut hadir ialah wakil agensi luar, antaranya ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Agensi Antidadah Kebangsaan Cawangan Dungun, 

Isnin, 3 Julai 2017

BENGKEL MEMPERKASAKAN FROG VLE

3 JULAI 2017 (ISNIN) - Pengurusan sekolah mengadakan Ladap Memperkasakan Penggunaan Frog VLE kepada guru dan kakitangan sekolah.


Bengkel diadakan untuk memastikan guru dan pelajar menggunakan kemudahan PdP yang terdapat dalam Frog VLE pada tahap maksimum.

Bengkel terbahagi kepada dua sesi. Sesi pertama hari ini bermula pada pukul 2:00 petang yang dibimbing oleh Penyelaras PKG Seri Dungun dan dibantu oleh pegawai dari Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu. Sesi kedua diadakan pada 5 Julai 2017, yang dikendalikan oleh guru-guru Teknologi Maklumat SMKSO, yang diketuai oleh Puan Wardah binti Salleh.

Dalam bengkel itu, peserta ditunjukkan kaedah membina bahan yang paling mudah dan cepat untuk kegunaan PdP.

Bengkel disempurnakan perasmiannya oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMK Sultan Omar.

Khamis, 22 Jun 2017

SALAM AIDILFITRI

22 JUN 2017 (KHAMIS) - SESAWANG SMKSO dan Pengurusan DESSO mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga DESSO.


Sekolah akan bercuti selama sembilan hari mulai 23 Jun 2017 (Jumaat) hingga 1 Julai 2017 (Sabtu) untuk memberikan peluang kepada guru dan pelajar meraikan Aidilfitri 1438 Hijrah.

Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua DESSO, berharap pelajar tidak terlibat dengan aktiviti yang mengaibkan nama sekolah dan orang Islam seperti merempit dan melakukan aktiviti yang bertentangan dengan kehendak agama. Beliau berkata demikian ketika berucapan merasmikan Majlis Khatam al-Quran dan Penyampaian Hadiah dan Sumbangan Hari Raya di Surau Al-Ikhlas pagi tadi. Beliau juga menyampaikan pesanan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu agar pelajar tidak melupakan pelajaran walaupun sedang meraikan hari raya.

Ahad, 18 Jun 2017

MAJLIS BERBUKA PUASA KELAB GURU

18 JUN 2017 (AHAD) - Majlis Berbuka Puasa anjuran Kelab Guru dan Kakitangan DESSO diadakan di Kafetaria DESSO petang ini.


Selain berbuka puasa, Kelab Guru turut menyumbangkan wang hari raya kepada pelajar-pelajar miskin dari seluruh tingkatan.

Majlis berbuka puasa yang disertai juga oleh keluarga guru dan kakitangan sekolah itu turut diserikan oleh kehadiran tetamu khas, iaitu bekas-bekas pengetua DESSO. Yang hadir ialah Encik Abdul Rahman bin Husain, Tuan Haji Md Zain bin Muda dan isteri, serta Encik Wan Su bin Wan Jaffar dan isteri.




Isnin, 12 Jun 2017

PELANCARAN IHYA RAMADAN 1438

11 JUN 2017 (AHAD) - Panitia Pendidikan Islam SMKSO menganjurkan aktiviti Ihya Ramadan 1438 dengan pelancarannya disempurnakan oleh Pengetua pada hari ini.



Program tersebut sebenarnya telah bermula pada 25 Mei 2017, hari terakhir persekolahan penggal satu dengan program Ceramah Ambang Ramadan.

Pelancaran dilaksanakan di Surau Al-Ikhlas SMKSO, serentak dengan pelancaran Sahsiah Unggul Murid (Sumur) Model Mutadayyin.

Dalam majlis itu, Tuan Haji Rusli bin Mohd Nor, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid turut berucap untuk memperkatakan hal pelaksanaan Model Mutadayyin SUMUR.

Program yang dirangka untuk mengisi bulan Ramadan kali ini ialah Tadarus al-Quran, Mimbar Ramadan, Santapan Kalbu, Khatam al-Quran dan Tahlil Perdana, Sedekah Infak, Sumbangan Raya, Nur Pagi, Bingkisan Ramadan, Pertandingan Sepanduk, Pertandingan Doa, dan Pertandingan Azan.

Turut hadir ialah Encik Ruslan bin Haji Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran, dan Guru-guru Kanan Mata Pelajaran.

Selasa, 16 Mei 2017

HARI GURU DENGAN TEMA FLORA DAN HAWAII

16 MEI 2017 (SELASA) - Hari Guru Peringkat DESSO tahun ini disambut dengan tema pakaian flora dan ala Hawaii. Pemilihan tema dilakukan oleh Jawatankuasa Sambutan Hari Guru yang dikendalikan oleh Kelab Guru dan Kakitangan DESSO.


Sambutan bermula apabila guru-guru diarak dengan iringan bunga manggar dari hadapan Pejabat Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah ke Medan Perhimpunan.

Pelajar yang hadir mengikuti bacaan perutusan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Menteri Besar Terengganu, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, dan Menteri Pendidikan Malaysia. Majlis disempurnakan perasmiannya oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua DESSO.

Selepas bersarapan di Kafe DESSO, guru dan pelajar yang hadir bergembira dengan permainan yang disertai sepenuhnya oleh guru, iaitu permainan congkak, dam aji, "musang berjanggut", dan sukaneka. Guru-guru bertanding mewakili rumah sukan masing-masing.

  

Khamis, 4 Mei 2017

PELAJAR 6 BAWAH MENDAFTAR

2 MEI 2017 (SELASA) - Enam puluh empat orang pelajar 6 Bawah yang terpilih untuk mengikuti pembelajaran peringkat prauniversiti mendaftar sebagai pelajar penggal pertama di Dewan Warisan DESSO hari ini.


Pelajar-pelajar tersebut merupakan lepasan SPM 2016 dari SMK Sultan Omar sendiri, SMK Seri Dungun, SMK Pulau Serai, dan SMK Kompleks Rantau Abang, di samping beberapa orang dari sekolah-sekolah tertentu.

Kesemua pelajar itu mula mengikuti minggu suai kenal hari ini yang dikendalikan oleh Unit Perkhidmatan dan Bimbingan Kaunseling dan Persatuan Prauniversiti SMKSO. Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua DESSO, turut menyampaikan ucapan alu-aluan kepada pelajar-pelajar berkenaan.

Dalam minggu suai kenal itu, pelajar-pelajar baharu itu didedahkan tentang perkembangan terbaharu sistem pembelajaran di tingkatan enam dan sistem penilaian dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pendedahan tentang kelebihan pengajian di tingkatan enam juga diberikan fokus agar pelajar kekal meneruskan pembelajaran di sekolah ini. 

Khamis, 27 April 2017

MAJLIS PENUTUPAN MINGGU STEM DAN ANUGERAH KECEMERLANGAN 2016

27 APRIL 2017 (KHAMIS) - DESSO mengadakan program tahunan, Majlis Anugerah Kecemerlangan DESSO 2016 di Dewan Warisan pagi ini. Dalam majlis itu, disampaikan anugerah kategori guru dan kategori pelajar. 


Majlis disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Din bin Adam, Pegawai Pembangunan Dungun, dan turut dihadiri oleh Encik Che Mohd Yusri bin Che Hashim, wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, dan Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG.

Kehadiran perasmi dan tetamu lain disambut dengan paluan gendang besar oleh pelajar Cina, dan pertunjukan silat oleh Muhammad Mustaqim, pelajar Pra-U Atas Gemilang.

Empat puluh sembilan orang guru diberikan anugerah kerana lonjakan dari segi kelulusan dan gred purata sekolah tahun 2016, manakala dan empat puluh tiga orang pelajar menerima hadiah kecemerlangan dalam peperiksaan PT3, SPM, dan STPM 2016.

Selain itu, tiga orang pelajar dipilih menerima hadiah khas. Pelajar terbaik SPM 2016, Norhafiefa Alieya binti Hamzah, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik, Muhammad Fakhrul Hakimin bin Haji Mokhtar menerima Anugerah Tokoh Sahsiah Unggul, dan Sharifah Aqilah Farhana binti Syed Ali, pemain petanque peringkat negeri dan kebangsaan, dipilih untuk menerima Anugerah Tokoh Koakademik.

Pada majlis yang sama, Minggu STEM 2017 juga ditutup dengan rasminya.

Ahad, 23 April 2017

MINGGU STEM BERMULA HARI INI

23 APRIL 2017 (AHAD) - SMK Sultan Omar menganjurkan Minggu STEM (Science, Technology, Engineering, and Mathematics) mulai hari ini hingga Selasa (25-04-2017) ini.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Haji Kassim bin Husin, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Dungun di Dataran Perhimpunan pagi ini.

Program Minggu STEM dipenuhi dengan aktiviti pameran dan pertandingan oleh panitia mata pelajaran STEM dan jualan oleh persatuan dan kelab.

Pelajar juga boleh menyertai pertandingan memanah dan menembak yang dikendalikan oleh pengusaha luar. Selain itu, pada hari kedua nanti, pihak UiTM Bukit Besi, Dungun, dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun akan mempamerkan ciptaan robot. UiTM Bukit Besi juga dijangka akan mempamerkan ciptaan kereta dan motosikal oleh pelajarnya.

Selepas perasmian, Tuan Haji Kassim melawat semua bilik pameran sambil beramah mesra dengan pelajar yang mengelolakan pameran.

Minggu STEM tidak melibatkan banyak hari kerana secara kebetulan pada minggu ini terdapat dua cuti umum, iaitu Hari Pertabalan KDYMM Yang di-Pertuan Agong VX pada hari Isnin, dan Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Terengganu pada hari Rabu.

Selasa, 18 April 2017

PERARAKAN APRESIASI KOKURIKULUM

18 APRIL 2017 (SELASA) - Perarakan Apresiasi Kokurikulum Peringkat SMKSO dilaksanakan pada pagi ini selepas Perhimpunan Kokurikulum.


Perarakan yang dilepaskan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO melalui Jalan Yahya Ahmad, Jalan Nibong Bawah, Jalan Tembusu, dan Jalan Merbuk, sebelum masuk semula ke kawasan sekolah.

Pelaksanaan perarakan itu mematuhi arahan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu sebagai satu aktiviti dalam Program Memperkasakan Transformasi Pendidikan Negeri Terengganu.

Semua unit uniform sekolah terlibat dalam perarakan tersebut yang tamat sepenuhnya pada pukul 9:00 pagi.


Rabu, 5 April 2017

TADARUS AL-QURAN DAN FESTIVAL NASYID ZON RANTAU ABANG DI DESSO

5 APRIL 2017 (RABU) - SMK Sultan Omar menjadi tuan rumah Majlis Tadarus al-Quran dan Festival Nasyid Peringkat Zon Rantau Abang pagi ini.


Empat pertandingan diadakan bagi majlis itu, iaitu tilawah al-Quran, hafazan, syarahan spontan, dan nasyid.

Dalam pertandingan tersebut, peserta DESSO mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tilawah lelaki, hafazan lelaki dan perempuan, dan nasyid, dan menjadi naib johan bagi pertandingan syarahan lelaki dan syarahan perempuan.

Zon Rantau Abang terdiri daripada SMK Sultan Omar, SMK Agama Kuala Abang, Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, SMK Seri Dungun, SMK Kompleks Rantau Abang, dan SMK Pulau Serai.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang dan majlis penutupan disempurnakan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMK Sultan Omar.


Selasa, 4 April 2017

PELANCARAN KEM MEMBACA 1MALAYSIA PERINGKAT DESSO

4 APRIL 2017 (SELASA) - Program Kem Membaca 1Malaysia yang diilhamkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dilancarkan di peringkat DESSO hari ini oleh Encik Ruslan bin Haji Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran.


Pelancaran diadakan di Dataran Perhimpunan DESSO, serentak dengan Perhimpunan Kokurikulum Sekolah.

Kem membaca ini bertema "Membaca Menjana Pemikiran 1Malaysia", yang berlangsung mulai hari ini hingga Khamis ini.

Dalam majlis pelancaran itu, pelajar dan guru membaca buku yang telah dibawa masing-masing selama sepuluh minit.

Ahad, 2 April 2017

FROG VLE DAN TV DESSO DILANCARKAN HARI INI

2 APRIL 2017 (AHAD) - Unit ICT SMK Sultan Omar mengadakan pelancaran Frog VLE dan perasmian TV DESSO dalam satu majlis khas semasa Perhimpunan Mingguan di Dataran Perhimpunan SMKSO pada pagi ini.


Pelancaran dilaksanakan untuk menghebahkan bahawa SMKSO merupakan sekolah perintis program Frog VLE bagi daerah Dungun. Kewujudan program ini mempunyai tujuan untuk memberi inspirasi kepada warga sekolah tentang keperluan kaedah pengajaran baharu, di samping memberikan kemahiran kepada guru dan pelajar untuk menggunakan Frog VLE dengan berkesan.

Perasmian TV DESSO pula untuk menjelaskan bahawa PSS mempunyai kumpulan pelajar yang mempunyai kebolehan mengendalikan peralatan video dan pelajar yang mampu berkomunikasi di hadapan penonton. Projek ini mendedahkan pelajar tentang aspek kewartawanan, undang-undang penyiaran, dan penulisan berita.

Kedua-dua program itu disempurnakan serentak oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman.

Dalam acara pelancaran dan perasmian itu, pelajar berpeluang untuk menjawab soalan spontan dan diberikan cenderahati. Selain itu, Puan Hajah Noor Maziah ditemu ramah oleh wartawan TV DESSO tentang kepentingan program Frog VLE dan kewujudan TV DESSO.

Puan Hajah Noor Maziah juga menyerahkan kata pengguna dan kata laluan VLE kepada pelajar yang membolehkan mereka mengakses Frog VLE dan memperoleh manfaat pendidikan dan hiburan yang disediakan secara dalam talian.

Khamis, 16 Mac 2017

SMKSO TIGA TERBAIK KEJOHANAN TREK DAN PADANG SEKOLAH DAERAH DUNGUN 2017

16 MAC 2016 (KHAMIS) - Kontinjen olahraga DESSO yang bersaing dalam Kejohanan Trek dan Padang Sekolah Daerah Dungun ke-48 menduduki tiga tempat teratas apabila meraih lapan emas, 12 perak, dan 8 gangsa.


Pencapaian tersebut membolehkan kontinjen DESSO menduduki tempat ketiga di belakang kontinjen SMK Paka dan SMK Seri Paka. Walaupun berada pada kedudukan ketiga, atlet DESSO mencatat peningkatan dengan memungut lebih satu pingat emas berbanding dengan tahun lepas.

Kejohanan tersebut berlangsung di Trek Olahraga SMK Sultan Omar bermula pada 12 Mac 2017 (Ahad) lalu dan berakhir pada tengah hari ini.

Selain itu, pasukan perbarisan DESSO memenangi hadiah pertama Pertandingan Perbarisan Olahraga kali ini yang diadakan semasa perarakan masuk kontinjen sebelum acara perasmian kejohanan bermula.

NORHAFIEFA PELAJAR TERBAIK SPM 2016

16 MAC 2017 (KHAMIS) - SMKSO sekali lagi tersenarai dalam kalangan sekolah menengah di daerah Dungun yang melahirkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pencapaian A dalam semua mata pelajaran yang diduduki bagi SPM 2016 yang diumumkan pada hari ini.



Dalam keputusan yang diumumkan di Dewan Warisan pagi ini, seorang pelajar dari Tingkatan 5 Premier, Norhafiefa binti Hamzah, memperoleh 9A dan muncul sebagai pelajar terbaik DESSO. Ibu dan bapanya turut hadir ke majlis itu.

Ahad, 12 Mac 2017

PSS LANCAR PROGRAM NILAM 2017

12 MAC 2016 (AHAD) - PUSAT Sumber Sekolah (PSS) melancarkan Program NILAM 2017 semasa Perhimpunan Mingguan Khas pada pagi ini.


Program NILAM kali ini yang mengemukakan tema "Membaca Membuka Minda", disempurnakan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMK Sultan Omar.

Semasa pelancaran itu, selain gimik aksi yang dilakukan oleh Pengawas PSS, turut mengemukakan soalan kuiz spontan yang dijawab oleh pelajar dan diberikan hadiah.


Rabu, 8 Mac 2017

PELANCARAN PROGRAM KECEMERLANGAN AKADEMIK 2017

8 MAC 2017 (RABU) - Unit Projek Kecemerlangan Akademik DESSO mengadakan Majlis Pelancaran Program Kecemerlangan Akademik 2017 di Dewan Warisan pada pagi ini.


Pelancaran melibatkan projek kecemerlangan PT3, SPM, dan STPM. Pelancaran disempurnakan oleh Tuan Haji Kassim bin Husin, Pegawai Pendidikan Daerah Dungun.

Dalam majlis itu, ibu bapa pelajar PT3 dan SPM turut hadir untuk mengambil slip keputusan TOV 2017 anak masing-masing.

Khamis, 2 Mac 2017

MESYUARAT AGUNG PIBG KE-45 SERENTAK DENGAN PENYERAHAN BKAP1M

2 MAC 2017 (KHAMIS) - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) DESSO mengadakan Mesyuarat Agung PIBG ke-45 di Dewan Warisan hari ini.


Perasmian mesyuarat agung disempurnakan oleh Encik Shamsul Baharie bin Shafie, Ketua Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, mewakili Yang Berbahagia Datuk Haji Din Adam, Pegawai Pembangunan Daerah Dungun.

Sebelum mesyuarat dijalankan, dirasmikan juga Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) kepada pelajar yang layak.

Mesyuarat agung PIBG kali ini mengadakan pemilihan ahli jawatankuasa yang baharu. Walau bagaimanapun, ahli-ahli mengekalkan Tuan Haji Mokhtar bin Omar sebagai Yang Dipertua.

Selain itu, majlis hari ini turut diserikan dengan cabutan bertuah yang terbuka kepada guru dan ibu bapa pelajar yang hadir.

Ahad, 26 Februari 2017

PELANCARAN PROGRAM SUMUR

26 FEBRUARI 2017 (AHAD) - Pengurusan SMK Sultan Omar mengadakan Majlis Pelancaran Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) di Dewan Warisan pagi ini.


Majlis pelancaran disempurnakan oleh Tuan Haji Hashim bin Sman, Ketua Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Daerah Dungun.

Program SUMUR memperkenalkan empat modul, iaitu Modul Berbudi Bahasa, Modul Jati Diri, Modul Penampilan Diri, dan Modul Mutadayyih. Program ini melibatkan semua pelajar, tetapi pelajar bukan Islam terkecuali daripada Modul Mutadayyih.

DESSO merupakan sekolah perintis bagi sekolah-sekolah di daerah Dungun dalam pelaksanaan program Kementerian Pendidikan Malaysia ini.

Selasa, 21 Februari 2017

TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT DESSO

21 FEBRUARI 2017 (SELASA) - Panitia Pendidikan Islam dan MAKDIS melaksanakan Majlis Tilawah al-Quran dan Syarahan Agama pada petang ini.


Majlis tersebut melibatkan pertandingan bacaan al-Quran, hafazan, nasyid, dan syarahan agama yang dilaksanakan serentak.

Pelaksanaan majlis tersebut untuk memilih wakil sekolah ke Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Dungun.


Ahad, 5 Februari 2017

PELANCARAN PROGRAM "PAKAT MARI SEKOLAH"

5 FEBRUARI 2017 (AHAD) - Program kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Polis Diraja Malaysia, Program Jom ke Sekolah, turut dilancarkan di SMK Sultan Omar pagi ini.


Program ini bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan, lagu negeri dan lagu sekolah, serta bacaan doa sebaik-baik sahaja semua pelajar dan guru berkumpul di Medan Perhimpunan DESSO. 

Tetamu khas, Sarjan Abu Khatir bin Haji Sudin, Penolong Pegawai Perhubungan Sekolah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun membaca perutusan daripada Ketua Polis Negara, diikuti Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO, membaca perutusan daripada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Dalam majlis itu, Peti Aduan Murid diserahkan dengan rasminya oleh Sarjan Abu Khatir kepada Puan Hajah Noor Maziah. Ketua Pelajar SMKSO, Saudara Muhamad Fitri bin Alias mengetuai bacaan ikrar yang disambut oleh beberapa orang anggota Kadet Polis dan diikuti oleh semua pelajar. Ketua Pelajar kemudiannya menyerahkan skrol ikrar kepada Pengetua SMKSO.

Majlis ditutup dengan penyampaian Hadiah Kelas Paling Bersih Bulan Januari 2017, Tingkatan 1 Premier 1.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Tuan Haji Mokhtar bin Omar, Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) DESSO.

Selasa, 24 Januari 2017

MAJLIS MERAIKAN PERSARAAN DAN PERTUKARAN GURU

24 JANUARI 2017 (SELASA) - Dua orang guru dan seorang kakitangan sekolah diraikan dalam satu majlis bersempena dengan persaraan masing-masing pada hari ini. Majlis bersama dengan pelajar diadakan di kafetaria sekolah, Excel Cafe, manakala majlis bersama dengan guru diadakan di Dewan Warisan selepas itu.


Dua orang guru yang bersara ialah Puan Hajah Hafsah Hayati binti Abdul Rahman yang bersara mulai 1 Januari 2017, dan Tuan Haji Mohd Zin bin Ibrahim yang akan bersara mulai esok. Sementara itu, kakitangan sekolah, Puan Zainani binti Ismail, bersara pada 1 Disember 2016.

Puan Hajah Hafsah Hayati yang berkhidmat di SMKSO mulai 16 Januari 2012, tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan masih dalam rawatan. Tuan Haji Mohd Zin pula merupakan bekas pelajar SMKSO pada tahun 1970 - 1975, dan selepas mengikuti kursus keguruan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, terus ditempatkan di sekolah pada 1 Januari 1980 hingga 30 November 1988. Selepas berkhidmat di SMK Paka (1989-1994) dan SMK Tengku Intan Zaharah (1994-2014), beliau kembali ditugaskan di SMKSO mulai 16 Januari 2014. Puan Zainani pula mula bertugas di SMKSO pada 16 September 2015, tetapi memilih untuk bersara awal.

Selain meraikan ketiga-tiga kakitangan yang bersara, majlis turut meraikan pertukaran tujuh orang guru. Dua orang daripada mereka merupakan guru pengurusan sekolah, iaitu Encik Wan Mohd Yusof bin Wan Mohamad, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang bertukar atas jawatan yang sama ke SMK Balai Besar, Tuan Haji Zunil Fauzi bin Mahmud, Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa yang dinaikkan pangkat menjadi Guru Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Jerangau.

Lima orang guru lain yang baru mendapat arahan untuk berkhidmat di sekolah yang baharu ialah Encik Jamil bin Sien ke SMK Padang Jambu, Puan Zainun binti Tengah ke SMK Padang Pulut, Puan Zairul Akmal binti Che Mood ke SMK Sura, Puan Sabtina binti Omar ke SMK Seri Dungun, dan Puan Azlina binti Ramli ke SMK Pulau Serai.

Turut hadir dalam majlis bersama dengan guru ialah Encik Noh bin Ayub, yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, dan Timbalan Yang Dipertua PIBG.

Ahad, 22 Januari 2017

PEMIMPIN PELAJAR TERIMA WATIKAH DARIPADA TIMBALAN KETUA POLIS DAERAH DUNGUN

22 JANUARI 2017 (AHAD) - Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superitenden Polis (DSP) Mohamad Zohan bin Seman merasmikan Penyampaian Watikah Pemimpin Pelajar DESSO di Dewan Warisan pagi ini.


Beliau yang mewakili Ketua Polis Daerah Dungun turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Pengawas Koperasi, dan Pembimbing Rakan Sebaya.

DSP Mohamad Zohan menasihati pelajar yang dilantik sebagai pemimpin agar mengelakkan diri daripada kegiatan yang tidak bermanfaat seperti terlibat dengan penyalahgunaan najis dadah, membuli, merempit, berlaku sumbang, dan sebagainya. Menurutnya, pemimpin pelajarlah yang bakal menjadi pemimpin masyarakat dan negara suatu masa nanti untuk menggantikan pemimpin-pemimpin sekarang.

Sementara itu, Yang Berusaha Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO, dalam ucapan alu-aluannya berharap agar pemimpin pelajar yang menerima watikah pada majlis hari ini menjadi suri teladan kepada pelajar-pelajar lain.

Konsep majlis hari ini memperlihatkan kelainan kerana pemimpin berkenaan hanya menerima surat pelatikan. Mereka akan dikurniai sijil perkhidmatan pada hujung tahun nanti.

Turut hadir dalam majlis itu ialah wakil Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Encik Che Mohd Yusri bin Che Hashim, dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Tuan Haji Mokhtar bin Omar. 

Khamis, 12 Januari 2017

RUMAH PELANDUK MERAMPAS GELARAN RENTAS DESA

12 JANUARI 2017 (KHAMIS) - RUMAH Pelanduk yang menggunakan lambang warna biru, merampas kejuaraan Rentas Desa Peringkat Sekolah daripada Rumah Harimau pada hari ini.


Kejohanan yang bermula pukul 8:45 pagi itu mempertandingkan tujuh kategori, iaitu Kategori Pendidikan Khas, Kategori Lelaki 13 Tahun, Kategori Perempuan 13 Tahun, Kategori Lelaki 15 Tahun, Kategori Perempuan 15 Tahun, Kategori Lelaki 18 Tahun, dan Kategori Perempuan 18 Tahun.

Peserta-peserta dilepaskan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO di pintu pagar utama sekolah, dan berakhir di padang sekolah. Semua kategori berlari sejauh 6 kilomter, kecuali Kategori Lelaki dan Perempuan 18 Tahun sejauh 8 kilometer.

Kejohanan kali ini menyaksikan pemberian hadiah yang lumayan yang berupa barangan elektrik kepada pemenang pertama hingga ketiga bagi semua kategori, manakala pemenang tempat keempat hingga keenam menerima hamper, juga bagi setiap kategori, di samping pingat kejohanan. Pemenang dari tempat ketujuh hingga kedua puluh pula menerima pingat kejohanan.

Hadiah kepada pemenang-pemenang utama disampaikan oleh Tuan Haji Mukhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG SMKSO.

Ahad, 1 Januari 2017

MINGGU ADAB MEMBUKA SESI PERSEKOLAHAN 2017

1 - 2 JANUARI 2017 (Ahad dan Isnin) - SMK Sultan Omar memulakan sesi persekolahan 2017 dengan menganjurkan program memahami etika sebagai pelajar melalui Minggu Adab selama dua hari.


Program yang telah diadakan semenjak 2012 itu mengetengahkan lima modul yang diikuti oleh semua pelajar DESSO.

Modul-modul tersebut dikendalikan mengikut tingkatan yang diharapkan memberikan kesedaran tentang peraturan, tanggungjawab, adab berkomunikasi, dan sebagainya dalam kalangan pelajar.

Program ini dimulai dengan Perhimpunan Mingguan kali pertama bagi sesi 2017. Perhimpunan diadakan di Dewan Warisan, dan turut dihadiri oleh pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.