Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Ahad, 26 Julai 2020

TEMU MURNI PELAJAR STPM SEMESTER 2

PROJEK Kecemerlangan STPM mengadakan Temu Murni dengan Ibu Bapa Pelajar Tingkatan 6 Atas di Bilik Mesyuarat Gemilang tengah hari ini.


Program temu murni ini dihadiri oleh ibu bapa dan penjaga pelajar Tingkatan 6 Atas yang akan menduduki STPM Semester 2 pada 13, 17 dan 18 Ogos ini.

Dalam pertemuan tersebut, Penolong Setiausaha Projek Kecemerlangan STPM, Puan Siti Zubaidah binti Fazai memberikan taklimat tentang hala tuju STPM di SMKSO pada tahun ini, di samping mengupas pencapaian pelajar dalam peperiksaan Percubaan STPM Semester 2 yang diadakan minggu lepas.

Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang, dan Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran, turut meluangkan masa bersama-sama dengan pelajar dan guru Tingkatan 6 Atas.

Rabu, 22 Julai 2020

DIALOG PRESTASI TIMBALAN PPD DUNGUN DENGAN PELAJAR SEMESTER 2 STPM DAN SPM

TIMBALAN Pegawai Pendidikan Daerah Dungun Sektor Pembelajaran, Tuan Haji Mohd Fadhilah bin Ibrahim mengadakan dialog prestasi dengan pelajar Tingkatan 5 yang akan menghadapi SPM dan Tingkatan 6 Atas yang akan menghadapi STPM Semester 2 pada pagi ini.


Pertemuan itu merupakan rangka jerayawara Pejabat Pendidikan Daerah Dungun ke semua sekolah menengah di daerah Dungun.

Kedua-dua pertemuan itu diadakan secara berasingan. Pertemuan dengan pelajar SPM diadakan di Dewan Warisan, kemudian diikuti dengan pertemuan dengan pelajar STPM Semester 2 di Bilik Mesyuarat Gemilang.

Dalam pertemuan dengan pelajar Tingkatan 6 Atas, Timbalan PPD itu menganalisis keputusan Percubaan STPM Semester 2 yang diadakan pada minggu lalu. Berdasarkan data, keputusan di SMKSO menunjukkan penurunan bagi semua mata pelajaran, malahan SMKSO berada pada kedudukan keempat di daerah Dungun, selepas SMK Durian Mas dan SMK Paka, dan SMK Tengku Intan Zaharah.

Dalam pertemuan itu, pegawai itu menyatakan keyakinan bahawa keadaan itu dapat dibaiki dalam tempoh yang ada ini sekiranya pelajar berusaha gigih. Beliau mahu pelajar menunjukkan keinginan yang tinggi untuk berjaya tanpa mengharapkan kesungguhan yang lebih daripada guru. Menurutnya, guru hanya boleh menunjukkan jalan, dan pelajar perlu berusaha untuk mengikuti jalan itu untuk sampai ke destinasi.

Rabu, 15 Julai 2020

PELAJAR BUKAN PEPERIKSAAN KEMBALI KE SEKOLAH

PELAJAR SMKSO yang tidak terlibat dengan peperiksaan awam mula kembali ke sekolah hari ini setelah "bercuti" akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula semasa cuti pertengahan penggal satu persekolahan.


Dengan hadirnya pelajar Tingkatan 1, 2, 3, dan 4 ke sekolah, semua warga pelajar kembali meneruskan pelajaran masing-masing secara rasmi, selepas pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 mula ke sekolah semula pada 24 Jun 2020 lalu.

Kedatangan mereka di sambut di pintu pagar utama sekolah dengan pemeriksaan suhu badan yang dikendalikan oleh guru yang bertugas khas. Mereka kemudiannya bergerak ke kaunter tingkatan masing-masing untuk mencatatkan suhu badan mereka pada kertas yang disediakan dengan dibantu oleh guru yang bertugas.

Tinjauan mendapati bahawa terdapat pelajar yang sudah tiba di sekolah pada pukul 6:45 pagi ketika guru bertugas sibuk menyediakan laluan mengikut tingkatan, mengagihkan pen, pencuci tangan, dan kertas catatan suhu di kaunter tingkatan yang disediakan.

Ahad, 12 Julai 2020

UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING MERAIKAN HARI LAHIR PELAJAR

SERAMAI 28 orang pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Lahir di Bilik Mesyuarat Gemilang pagi ini.


Majlis yang merupakan aktiviti di bawah Program Amalan Guru Penyayang dan dianjurkan Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKSO itu meraikan pelajar yang menyambut hari lahir pada bulan Januari hingga Julai tahun ini. Program itu diadakan lewat akibat daripada pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Dalam majlis ringkas yang disempurnakan oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO itu, pelajar menerima cenderamata, di samping aktiviti memotong kek hari lahir.