Sewajarnya...

TAHUN 2022 - ULANG TAHUN KE-64 SMK SULTAN OMAR... TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "SEPAKAT MENJULANG DESSO CEMERLANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Tarikh Kemas Kini

TARIKH KEMAS KINI: 16 April 2023 [11:40 pagi] +++++ MULAI TAHUN 2021, SMK SULTAN OMAR MELAKSANAKAN PROGRAM TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25) DAN PERINTIS PROGRAM SCIENCE, TECHNOLOGY, ENGINEERING, AND MATHEMATIC (STEM) DAERAH DUNGUN

Rabu, 16 Mei 2018

ANUGERAH GURU INSPIRASI McDONALD'S 2018: ISTIMEWA PADA HARI GURU PERINGKAT SMK SULTAN OMAR TAHUN INI

GURU dan pelajar SMK Sultan Omar menyambut Hari Guru Peringkat Sekolah hari ini, setelah sambutan yang dijadualkan pada 13 Mei 2018 (Ahad) lalu ditangguhkan kerana hari tersebut diisytiharkan sebagai hari cuti khas kerajaan Persekutuan bersempena dengan Pilihan Raya Umum Ke-14.


Selepas majlis rasmi diadakan di Dataran Perhimpunan dan sarapan di kafe sekolah, guru dan pelajar berkumpul di Dewan Warisan untuk acara sukaneka dan persembahan pentas. Sedang majlis berlangsung, Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO mempersilakan Tuan Haji Mazlan bin Mohd, Penolong Kanan Tingkatan Enam, yang ketika itu sedang bermain dam. Suasana penuh kejutan apabila Pengetua mengumumkan bahawa Penolong Kanan Tingkatan Enam menerima sepucuk surat. Dalam ucapannya, Tuan Haji Mazlan yang tidak mengetahui hal yang sebenar menggambarkan bahawa beliau akan mematuhi arahan sekiranya diarahkan untuk bertukar.

Walau bagaimanapun, apabila surat dibuka, yang tercatat ialah beliau merupakan pemenang Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2018. Ketika itulah, rombongan dari Restoran McDonald's Dungun tiba ke pentas membawa hadiah untuk anugerah tersebut. Tuan Haji Mazlan mendapat tepukan gemuruh dan ucapan tahniah daripada pelajar dan guru yang sedang berada di Dewan Warisan.

Mengikut wakil McDonald's itu, Tuan Haji Mazlan merupakan seorang daripada 25 orang guru yang terpilih dari seluruh negara daripada 3000 pencalonan yang dikemukakan oleh bekas pelajar atau individu yang pernah berdamping dengan guru berkenaan.


Tuan Haji Mazlan dicalonkan oleh seorang bekas pelajar Tingkatan Enam SMKSO, Encik Mohd Azmerruddin bin Abdullah. Dalam catatan pencalonannya, Mohd Azmerruddin menjelaskan bahawa Tuan Haji Mazlan telah mengubah perangainya yang sangat nakal, menghisap rokok, dan tidak disukai oleh guru lain kepada keadaan yang sangat baik. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Pengawas. Pada masa yang sama, beliau telah "dibasuh" dengan nilai-nilai agama oleh gurunya itu, dan dihantar mengikuti beberapa program kepimpinan. Dengan tindakan gurunya itu, beliau berjaya dalam pelajaran, dan kini sedang berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru. Beliau memilih untuk menjadi warden asrama, dan dapat mendekati pelajar yang nakal di sekolahnya dan memberikan nilai agama kepada mereka seperti yang dilakukan bekas gurunya terhadapnya. Menurutnya, beliau melihat perubahan yang ketara dalam tingkah laku pelajar-pelajar tersebut sekarang.


Tuan Haji Mazlan menerima hadiah berupa wang tunai RM5000.00, trofi, dan sijil penghargaan daripada penganjur.

Pengurniaan anugerah tersebut merupakan anugerah paling istimewa bagi sambutan Hari Guru SMKSO pada tahun ini.


Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Tuan Haji Mazlan bin Mohd, yang menjadi kebanggaan kepada semua anggota pengurusan, guru, pelajar, dan kakitangan lain sekolah ini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan