PENCAPAIAN STPM SMK Sultan Omar bagi sesi 2020 cemerlang dengan kelulusan 96.77% berserta dengan catatan kejayaan dalam beberapa kategori. Keputusan keseluruhan STPM 2020 diumumkan hari ini pada pukul 12:00 tengah hari.
Paling cemerlang ialah pencapaian Yusra Radhiah binti Ridzuan, pelajar Tingkatan 6 Atas Cemerlang, dengan memperoleh PNGK 4.00 setelah memperoleh A dalam semua empat mata pelajaran yang diambil, berada dalam barisan 55 orang pelajar terbaik STPM di negeri Terengganu. Pencapaian PNGK 4.00 ini menyamai pencapaian seorang calon STPM 2014.
Di peringkat Daerah Dungun, SMKSO menduduki tempat ketiga dengan pencapaian gred purata 3.18, berkongsi kedudukan dengan SMK Durian Mas. SMK Paka menduduki tempat teratas dengan nilai PNGK 3.23. Selain itu, mata pelajaran Sejarah yang memperoleh gred purata 3.32 menjadi satu-satunya mata pelajaran yang dapat mengatasi pencapaian sekolah lain di daerah Dungun.
Dengan pencapaian PNGK 3.18, SMKSO menduduki tempat ke-10 di peringkat negeri Terengganu bagi kategori Sekolah PNGK 3.0 Ke Atas, satu kedudukan di bawah SMK Tengku Intan Zaharah yang memperoleh PNGK 3.19. Selain itu, SMKSO merupakan antara 10 buah sekolah yang memperoleh Pencapaian Semua A Penuh dan Semua A (A dan A-) Tertinggi, dengan kedudukan pada tempat ke-10.
Selain Yusra dengan pencapaian 4A penuh, tiga orang pelajar lain memperoleh keputusan semua A, iaitu Nor Shaliha binti Muhyiddin (3A, 1A-) dengan PNGK 3.92, Nur Umairah binti Ahmad Yusri (3A, 1A-) dengan PNGK 3.92, dan Nurul Bashirah binti Mohammad (1A, 3A-) dengan PNGK 3.75.
Kumpulan yang dikenali sebagai Batch Ibnu Sina ini juga menampilkan 22 orang calon yang mendapat 3.0 ke atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan