PELAJAR STPM sesi 2020, yang sepatutnya menghadapi peperiksaan awam itu pada hujung tahun lepas, mula menduduki peperiksaan pada hari ini.
Gambar hiasan - Peperiksaan dalaman 2021 |
Sebahagian besar daripada pelajar kumpulan ini akan menduduki peperiksaan STPM Ulangan Semester 2 mulai hari ini dan berakhir pada 15 Mac 2021. Pada hari ini mereka menduduki peperiksaan mata pelajaran Pengajian Am 2 (U2), diikuti oleh mata pelajaran Pengajian Perniagaan 2 (U2) dan Bahasa Melayu 2 (U2) esok, serta Ekonomi 2 (U2) dan Sejarah 2 (U2) Isnin ini.
Selepas itu, kumpulan yang mengambil Ulangan Semester 1 (U1), akan menduduki peperiksaan Pengajian Am 1 (U1) pada 17 Mac 2021, Pengajian Perniagaan 1 (U1) dan Bahasa Melayu 1 (U1) pada 18 Mac 2021, serta Ekonomi 1 (U1) dan Sejarah 1 (U1) pada 22 Mac 2021. Pada hari dan waktu yang sama, 50 orang calon STPM sesi 2021 pula menduduki peperiksaan Semester 1 (S1), dengan menjawab soalan yang sama seperti yang dijawab oleh calon Ulangan Semester 1 (U1).
Selepas cuti pertengahan penggal pertama, pelajar STPM sesi 2020 akan menghadapi peperiksaan akhir, iaitu STPM Semester 3, bermula pada 6 April 2021. Kesemua 31 orang calon kumpulan ini akan mengambil peperiksaan Pengajian Am 3 (S3) pada hari pertama itu, diikuti dengan Pengajian Perniagaan 3 (S3) dan Bahasa Melayu 3 (S3) pada 7 April 2021, dan menamatkan pengajian mereka dengan menduduki kertas Ekonomi 3 (S3) dan Sejarah 3 (S3) pada 8 April 2021.
Sebagai rekod, kumpulan sesi 2020 ini merupakan pelajar yang paling panjang berada di sekolah; bermula Julai 2019, sepanjang tahun 2020, dan berakhir pada April 2021. Sesi mereka yang sebenar adalah dari Julai 2019 hingga Disember 2020 sahaja, tetapi peperiksaan ditangguhkan akibat penularan Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan