Tarikh Kemas Kini
Khamis, 28 Julai 2022
PENUTUPAN MINGGU HALA TUJU 6 BAWAH SESI 2022/2023
JUARA KEJOHANAN OLAHRAGA MSSD DUNGUN 2022: IMPIAN MENJADI KENYATAAN
ATLET SMKSO melunaskan tanggungjawab yang dibebankan ke atas mereka apabila memungut 16 butir pingat emas, 8 butir pingat perak, dan 5 butir pingat gangsa yang membolehkan kontinjen DESSO muncul sebagai juara Kejohanan Olahraga MSSD Dungun Ke-52 yang berakhir tengah hari ini.
Jumlah pungutan pingat yang cemerlang itu meninggalkan pesaing terdekat yang merupakan juara beberapa edisi kejohanan, SMK Paka, yang hanya mampu memperoleh 8 butir pingat emas, 14 butir pingat perak, dan 10 butir pingat gangsa.
Kejohanan yang bermula pada 24 Julai 2022 itu juga menyaksikan dua orang atlet SMKSO muncul sebagai peserta terbaik. Nur Shafika binti Mohd Zuhimi muncul sebagai Peserta Terbaik Perempuan 15 Tahun dengan pungutan tiga butir pingat emas menerusi acara 100 meter, 200 meter, dan lompat jauh. Seorang lagi atlet, Mohamad Armin Zahryl bin Abdul Latif pula menjadi Peserta Terbaik Lelaki 18 Tahun dengan pungutan tiga butir pingat emas melalui acara 100 meter, 200 meter, dan 110 meter lari berpagar.
Kejayaan cemerlang atlet SMKSO meraih kejuaraan edisi ini merealisasikan harapan Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang, yang menetapkan wawasan SMKSO muncul sebagai juara dalam masa tiga tahun semenjak beliau menjadi Pengetua SMKSO pada tahun 2019. Beliau yang akan bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 8 Ogos 2022 ini menganggap kejayaan itu merupakan hadiah yang sungguh bermakna untuknya.
Ahad, 24 Julai 2022
LAWATAN ILMIAH SANTAI MINDA TINGKATAN 6
PELAJAR Tingkatan 6 Atas, Batch Al-Ghazali, mengadakan Lawatan Ilmiah Santai Minda yang menggabungkan elemen pengetahuan, hiburan dan kokurikulum di Mesra Mall, Kemasik hari ini.
Menurut Penyelaras Tingkatan 6. Encik Ahmad Fakhruddin bin Ismail, program itu dianjurkan untuk memberikan peluang kepada guru dan pelajar Tingkatan 6 mengurangkan tekanan setelah sangat sibuk dengan peperiksaan yang berlangsung dalam dua minggu ini. Sebelum ini, pelajar menghadapi Ujian Prapercubaan Semester 2 yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Dungun (5 - 7 Julai 2022), Ujian MUET Sesi 2 Tahun 2022 anjuran Majlis Peperiksaan Malaysia untuk peringkat kebangsaan (16 Julai 2022), dan Peperiksaan Percubaan STPM Semester 2 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (19 - 21 Julai 2022), di samping masih bertungkus-lumus untuk menyiapkan lapan buah esei berformat untuk Kerja Kursus Bahasa Melayu Semester 2, Kerja Kursus Kajian Ilmiah Pengajian Am Semester 2, dan Kerja Kursus Kajian Ilmiah Sejarah Semester 2 yang semuanya berlangsung serentak. Kerja Kursus Pengajian Am dan Sejarah pula memerlukan pelajar membuat pembentangan.
Dalam program ini, pelajar dan guru menonton filem pecah panggung, "Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan" di Pawagam TGV, dan pada sebelah petangnya pula mereka berentap dalam Pertandingan Boling Berpasukan di U-Bowl.
Isnin, 18 Julai 2022
SMKSO BOLOT EMPAT ANUGERAH KECEMERLANGAN STEM EXXONMOBIL SPM 2021
SMKSO menerima empat anugerah kecemerlangan STEM ExxonMobil dalam Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang STEM ExxonMobil Negeri Terengganu untuk pencapaian SPM 2021 hari ini.
Dalam majlis yang diadakan di Dewan Besar, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Negeri Terengganu di Marang itu, SMKSO memperoleh anugerah melalui tiga orang pelajar yang mendapat 10A dalam peperiksaan SPM 2021, dan satu anugerah diperoleh melalui kecemerlangan mata pelajaran Biologi dalam peperiksaan yang sama.
Pelajar yang mengharumkan nama SMKSO dan daerah Dungun tersebut ialah Hew Jia Jing, Yeow Jun Yu, dan Chong Zhi Hao. Kecuali Hew Jia Jing yang ada urusan lain dan diwakili oleh bapanya, dua orang penerima yang lain hadir dan naik ke pentas bersama dengan ibu bapa masing-masing. Anugerah Pencapaian Cemerlang Mata Pelajaran Biologi Terbaik Sekolah Harian diterima oleh Puan Hajah Wan Nooriman binti Wan Jaafar, Penolong Kanan Pentadbiran.
Pelajar menerima hadiah bernilai RM1000.00 setiap seorang, manakala mata pelajaran Biologi menerima hadiah bernilai RM2000.00.
Khamis, 7 Julai 2022
RUMAH SINGA JUARA LAGI...
RUMAH sukan yang menggunakan lambang warna merah, Rumah Singa, meneruskan rentak kecemerlangan apabila muncul sebagai juara Kejohanan Olahraga Tahunan Ke-56 SMKSO yang berakhir pada tengah hari ini.
Rumah Singa menewaskan tiga buah rumah sukan lain, iaitu Rumah Harimau (Kuning), Rumah Pelanduk (Biru), dan Rumah Garuda (Hijau).
Dalam kejohanan olahraga pada tahun 2019, Rumah Singa merampas kejuaraan dari Rumah Harimau, sebelum kejohanan tidak dijalankan pada tahun 2020 dan 2021 akibat penularan Cobid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di negara ini.
Kejohanan edisi ini berlangsung pada 4 dan 5 Julai lalu, dan mencapai kemuncaknya hari ini dengan perasmian disempurnakan oleh Tuan Haji Che Rashid bin Sulong, Pengetua Cemerlang SMKSO.
Sementara itu, pada hari ini juga, Tuan Haji Che Rashid mengumumkan penjenamaan semula rumah sukan. Nama baharu bagi rumah sukan ialah Rumah Tok Janggut (menggantikan Rumah Singa), Rumah Mat Kilau (menggantikan Rumah Harimau), Rumah Tun Perak (menggantikan Rumah Garuda), dan Rumah Tun Telanai (menggantikan Rumah Pelanduk), serta Rumah Dato; Bahaman (menggantikan Rumah Seladang PPKI).