HAMPIR lima puluh orang guru SMKSO menerima anugerah kecemerlangan dalam Majlis Anugerah Kualiti Guru 2020/2021 hari ini.
Majlis yang disempurnakan perasmian dan penyampaian sijil anugerah oleh Tuan Haji Kasman bin Embong, Ketua Pegawai Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun itu meliputi bidang kurikulum, kokurikulum, dan hal ehwal murid.
Bagi bidang kurikulum, anugerah terdiri daripada kategori pencapaian SPM dan STPM 2020. Untuk kategori SPM, anugerah diberikan kepada guru yang mencapai 100% lulus, peningkatan CGPA dan lompatan saujana, 100% lulus dan peningkatan CGPA, peningkatan CGPA, dan 100% lulus peperiksaan Diploma Antarabangsa Bahasa Perancis. Untuk kategori STPM pula, guru menerima anugerah kerana peningkatan bilangan A dan peningkatan gred penuh, peningkatan bilangan A dan pencapaian 100% lulus, dan pencapaian 100% lulus MUET 2021.
Anugerah bagi bidang hal ehwal murid melibatkan penarafan gred A kantin sekolah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, kejayaan dalam Pertandingan Foto Pendek Kerjaya peringkat kebangsaan 2020, dan pencapaian hadiah sagu hati dalam Pertandingan Cerita Pendek Berkumpulan Transformasi Minda Pendidikan Pencegahan Dadah peringkat kebangsaan 2020.
Dalam bidang kokurikulum, penyampaian anugerah yang melibatkan penyertaan dan kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain itu, Puan Azida binti Abdul Aziz dan Encik Fazri bin Mohd terpilih menerima anugerah e-RPH terbaik.
Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Ustaz Saiful Bahari bin Abdul Ghani, Pegawai SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, dan Encik Chong Yep Kin, Timbalan Yang Dipertua PIBG SMKSO.