Sewajarnya...

TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "KEBERSAMAAN MENUJU DESSO GEMILANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Khamis, 17 Januari 2019

RUMAH SINGA RAMPAS TAKHTA KEJOHANAN MERENTAS DESA 2019

MESKI hujan turun agak lebat sebelum peserta Kejohanan Olahraga Peringkat Sekolah DESSO dilepaskan, perjalanan pertandingan berjalan lancar, dan menyaksikan pasukan Rumah Singa muncul sebagai johan pertandingan pada tahun ini.


Rumah Singa yang diketuai oleh Encik Ahmad Hamdany bin Ahmad Halimy dan menggunakan lambang warna merah, yang dikenali juga dengan nama Rumah Merah, memperoleh 2700 mata. Rumah sukan ini menduduki tempat ketiga pada tahun lepas; diatasi pasukan Rumah Garuda dan Rumah Pelanduk.

Naib johan bagi kejohanan kali ini ialah Rumah Pelanduk (Rumah Biru), yang mengekalkan kedudukan pada tahun lepas, dengan memungut 2260 mata, sementara Rumah Garuda (Rumah Hijau) menduduki tempat ketiga dengan pungutan 1914 mata, manakala Rumah Harimau (Rumah Kuning), sekali lagi menduduki tempat keempat, dengan pungutan 1877 mata.

Kejohanan kali ini dibahagikan kepada empat kategori, iaitu Bawah 13 (Tingkatan 1), Bawah 15 (Tingkatan 2 dan 3), Bawah 18 (Tingkatan 4 dan 5), dan PPKI (Pendidikan Khas).

Jarak larian peserta ialah 6.5 kilometer bagi peserta lelaki Bawah 18, dan 5 kilometer bagi kategori lain.

Pingat diberikan kepada peserta yang menduduki tempat pertama hingga ke-20 bagi setiap kategori, dengan mengasingkan pemenang lelaki dan perempuan. Pemenang tempat pertama hingga tempat ke-6 bagi setiap kategori (lelaki dan perempuan) akan mewakili DESSO ke kejohanan peringkat daerah Dungun pada minggu depan.

Selain Tuan Haji Zulkefly bin Abdul Rahim dan semua pengurusan sekolah yang hadir untuk menyampaikan hadiah, yang turut hadir ialah wakil PIBG, Encik Arif Tan bin Abdullah.

Selasa, 15 Januari 2019

KAIN LANGSIR UNTUK SEMUA BILIK DARJAH DESSO

TUAN Haji Zulkefly bin Abdul Rahim, Pengetua SKMSO menyampaikan kain langsir kepada semua bilik darjah pada pagi ini.


Kain langsir yang diperuntukkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu diterima oleh guru setiap tingkatan dalam Perhimpunan Kokurikulum di Dataran Perhimpunan.

Kain langsir yang belum berjahit itu diperuntukkan untuk bahagian atas tingkap sahaja. Penolong Kanan Pentadbiran, dalam ucapannya berharap agar guru dan pelajar segera menjahitnya dan perlu disiapkan serta dipasang selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Februari ini.

Beliau juga menggalakkan setiap tingkatan menyediakan langsir sepenuhnya melalui inisiatif sendiri agar bilik darjah cantik dan ceria.

Khamis, 10 Januari 2019

KESIBUKAN AKTIVITI KOKURIKULUM BERMULA

SELAIN urusan akademik, warga DESSO, sama ada pengurusan, guru atau pelajar, mula sibuk dengan aktiviti kokurikulum peringkat sekolah, zon, dan daerah.


Bermula pada 7 Januari 2019 (Isnin) dengan mesyuarat pertama Rumah Sukan (Garuda, Harimau, Pelanduk, dan Singa), diikuti pada 8 Januari 2019 (Selasa) mesyuarat Unit Beruniform, 9 Januari 2019 (Rabu) mesyuarat Kelab dan Persatuan Koakademik, dan 10 Januari 2019 (Khamis) mesyuarat Kelab Sukan dan Permainan. Semua mesyuarat diadakan pada pukul 2:30 hingga 3:30 petang.

Pada 17 Januari 2019 (Khamis) minggu hadapan, DESSO akan Kejohanan Merentas Desa Peringkat Sekolah. Oleh itu, mulai 13 Januari 2019 (Ahad) hingga 15 Januari 2019 (Selasa), pelajar DESSO akan menjalani latihan larian merentas desa yang bermula pada pukul 3:30 petang. Kejohanan ini mempertandingkan kategori Bawah 13 (Tingkatan 1), Bawah 15 (Tingkatan 2 dan 3), Bawah 18 (Tingkatan 4 dan 5), dan Pendidikan Khas (PPKI). Pemenang utama dalam kejohanan ini akan mewakili sekolah ke peringkat daerah Dungun.

Selain itu, pelbagai pertandingan permainan lain akan bermula pada minggu hadapan. Antara pasukan yang sudah mula berlatih ialah bola tampar, sepak takraw, dan beberapa permainan lain.