Sewajarnya...

TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG KE LAMAN SESAWANG SMK SULTAN OMAR, DUNGUN, TERENGGANU ::::::::: "KEBERSAMAAN MENUJU DESSO GEMILANG" :::::: KAMI BERBANGGA DAPAT BELAJAR DAN BERKHIDMAT DI SMKSO :::::

Selasa, 24 Januari 2017

MAJLIS MERAIKAN PERSARAAN DAN PERTUKARAN GURU

24 JANUARI 2017 (SELASA) - Dua orang guru dan seorang kakitangan sekolah diraikan dalam satu majlis bersempena dengan persaraan masing-masing pada hari ini. Majlis bersama dengan pelajar diadakan di kafetaria sekolah, Excel Cafe, manakala majlis bersama dengan guru diadakan di Dewan Warisan selepas itu.


Dua orang guru yang bersara ialah Puan Hajah Hafsah Hayati binti Abdul Rahman yang bersara mulai 1 Januari 2017, dan Tuan Haji Mohd Zin bin Ibrahim yang akan bersara mulai esok. Sementara itu, kakitangan sekolah, Puan Zainani binti Ismail, bersara pada 1 Disember 2016.

Puan Hajah Hafsah Hayati yang berkhidmat di SMKSO mulai 16 Januari 2012, tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan masih dalam rawatan. Tuan Haji Mohd Zin pula merupakan bekas pelajar SMKSO pada tahun 1970 - 1975, dan selepas mengikuti kursus keguruan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, terus ditempatkan di sekolah pada 1 Januari 1980 hingga 30 November 1988. Selepas berkhidmat di SMK Paka (1989-1994) dan SMK Tengku Intan Zaharah (1994-2014), beliau kembali ditugaskan di SMKSO mulai 16 Januari 2014. Puan Zainani pula mula bertugas di SMKSO pada 16 September 2015, tetapi memilih untuk bersara awal.

Selain meraikan ketiga-tiga kakitangan yang bersara, majlis turut meraikan pertukaran tujuh orang guru. Dua orang daripada mereka merupakan guru pengurusan sekolah, iaitu Encik Wan Mohd Yusof bin Wan Mohamad, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid yang bertukar atas jawatan yang sama ke SMK Balai Besar, Tuan Haji Zunil Fauzi bin Mahmud, Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa yang dinaikkan pangkat menjadi Guru Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Jerangau.

Lima orang guru lain yang baru mendapat arahan untuk berkhidmat di sekolah yang baharu ialah Encik Jamil bin Sien ke SMK Padang Jambu, Puan Zainun binti Tengah ke SMK Padang Pulut, Puan Zairul Akmal binti Che Mood ke SMK Sura, Puan Sabtina binti Omar ke SMK Seri Dungun, dan Puan Azlina binti Ramli ke SMK Pulau Serai.

Turut hadir dalam majlis bersama dengan guru ialah Encik Noh bin Ayub, yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, dan Timbalan Yang Dipertua PIBG.

Ahad, 22 Januari 2017

PEMIMPIN PELAJAR TERIMA WATIKAH DARIPADA TIMBALAN KETUA POLIS DAERAH DUNGUN

22 JANUARI 2017 (AHAD) - Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superitenden Polis (DSP) Mohamad Zohan bin Seman merasmikan Penyampaian Watikah Pemimpin Pelajar DESSO di Dewan Warisan pagi ini.


Beliau yang mewakili Ketua Polis Daerah Dungun turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Pengawas Koperasi, dan Pembimbing Rakan Sebaya.

DSP Mohamad Zohan menasihati pelajar yang dilantik sebagai pemimpin agar mengelakkan diri daripada kegiatan yang tidak bermanfaat seperti terlibat dengan penyalahgunaan najis dadah, membuli, merempit, berlaku sumbang, dan sebagainya. Menurutnya, pemimpin pelajarlah yang bakal menjadi pemimpin masyarakat dan negara suatu masa nanti untuk menggantikan pemimpin-pemimpin sekarang.

Sementara itu, Yang Berusaha Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO, dalam ucapan alu-aluannya berharap agar pemimpin pelajar yang menerima watikah pada majlis hari ini menjadi suri teladan kepada pelajar-pelajar lain.

Konsep majlis hari ini memperlihatkan kelainan kerana pemimpin berkenaan hanya menerima surat pelatikan. Mereka akan dikurniai sijil perkhidmatan pada hujung tahun nanti.

Turut hadir dalam majlis itu ialah wakil Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Encik Che Mohd Yusri bin Che Hashim, dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Tuan Haji Mokhtar bin Omar. 

Khamis, 12 Januari 2017

RUMAH PELANDUK MERAMPAS GELARAN RENTAS DESA

12 JANUARI 2017 (KHAMIS) - RUMAH Pelanduk yang menggunakan lambang warna biru, merampas kejuaraan Rentas Desa Peringkat Sekolah daripada Rumah Harimau pada hari ini.


Kejohanan yang bermula pukul 8:45 pagi itu mempertandingkan tujuh kategori, iaitu Kategori Pendidikan Khas, Kategori Lelaki 13 Tahun, Kategori Perempuan 13 Tahun, Kategori Lelaki 15 Tahun, Kategori Perempuan 15 Tahun, Kategori Lelaki 18 Tahun, dan Kategori Perempuan 18 Tahun.

Peserta-peserta dilepaskan oleh Puan Hajah Noor Maziah binti A. Rahman, Pengetua SMKSO di pintu pagar utama sekolah, dan berakhir di padang sekolah. Semua kategori berlari sejauh 6 kilomter, kecuali Kategori Lelaki dan Perempuan 18 Tahun sejauh 8 kilometer.

Kejohanan kali ini menyaksikan pemberian hadiah yang lumayan yang berupa barangan elektrik kepada pemenang pertama hingga ketiga bagi semua kategori, manakala pemenang tempat keempat hingga keenam menerima hamper, juga bagi setiap kategori, di samping pingat kejohanan. Pemenang dari tempat ketujuh hingga kedua puluh pula menerima pingat kejohanan.

Hadiah kepada pemenang-pemenang utama disampaikan oleh Tuan Haji Mukhtar bin Omar, Yang Dipertua PIBG SMKSO.

Ahad, 1 Januari 2017

MINGGU ADAB MEMBUKA SESI PERSEKOLAHAN 2017

1 - 2 JANUARI 2017 (Ahad dan Isnin) - SMK Sultan Omar memulakan sesi persekolahan 2017 dengan menganjurkan program memahami etika sebagai pelajar melalui Minggu Adab selama dua hari.


Program yang telah diadakan semenjak 2012 itu mengetengahkan lima modul yang diikuti oleh semua pelajar DESSO.

Modul-modul tersebut dikendalikan mengikut tingkatan yang diharapkan memberikan kesedaran tentang peraturan, tanggungjawab, adab berkomunikasi, dan sebagainya dalam kalangan pelajar.

Program ini dimulai dengan Perhimpunan Mingguan kali pertama bagi sesi 2017. Perhimpunan diadakan di Dewan Warisan, dan turut dihadiri oleh pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.